rencana
Drama 1.5 juta warga Bangladesh – Saifuddin Abdullah
Pada 19 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan persekutuan membekukan serta-merta pengambilan pekerja asing, termasuk dari Bangladesh.
Ini kenyataan terbaru kerajaan tentang isu pekerja Bangladesh. Ia bermula apabila, beberapa bulan lalu, Zahid mengumumkan yang kita akan merekrut 1.5 juta pekerja Bangladesh.
Ia mencetuskan bantahan ramai. Ini kerana, pada hari ini pun, kita sedia ada berjuta-juta pekerja asing, termasuk yang haram, dan kerajaan tidak kelihatan serius dalam menyediakan dan melindungi pekerjaan yang sesuai (bukan sekadar asal ada pekerjaan) untuk rakyat sendiri.
Bantahan menjadi lebih meluas apabila tersebar cerita yang adiknya dikatakan terlibat dengan syarikat pemasaran pekerja Bangladesh itu dan syarikat tempatan yang membawa masuk mereka diketuai seorang bekas menteri.
Zahid memberikan 2 sebab mengapa kita perlu membawa pekerja dari Bangladesh. Pertama, kerajaan sekadar memenuhi permintaan daripada majikan/pengilang.
Tetapi, persatuan yang mewakili pihak tersebut menafikan mereka ada membuat permohonan sedemikian. Zahid membalas dengan menyatakan ada beberapa ahli persatuan itu yang memohon. Macamlah orang akan percaya.
Kedua, kerana pekerja kita tidak mahu melakukan kerja kotor, susah dan berbahaya (3D). Alasan ini tidak munasabah. Hakikatnya ramai orang kita yang bekerja 3D, tetapi hidup sengsara.
Kerana gajinya amat rendah. Sekiranya gajinya sesuai, ramai orang kita yang bekerja dalam sektor itu. Contohnya, di Singapura, Australia, di pelantar minyak dan sebagainya.
Dulu, untuk kerja 3D, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menswastakannya kepada kontraktor. Kontraktor membayar gaji sebanyak RM450 sebulan. Tentulah orang tempatan tidak berminat.
Hari ini, MPSB mengambil sendiri pekerja. Mereka dibayar gaji pokok RM850 sebulan. Dengan elaun rumah dan sebagainya, mereka mendapat RM1,200-RM1,300 sebulan. Ditambah dengan bayaran kerja lebih masa, mereka boleh mendapat kira-kira RM2,000 sebulan. Sebab itu, hari ini, 3,000 pekerja tersebut orang tempatan.
Jika Zahid fikir pengumumannya pada 19 Februari itu meredakan keadaan, beliau tersilap. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun mengkritik sesetengah pemimpin kerajaan persekutuan yang mengambil masa terlalu lama untuk menjelaskan isu 1.5 juta Bangla ini.
Zahid membuat pengumuman itu di Sarawak. Justeru, ia dilihat sebagai politikal, kerana pilihan raya Sarawak akan diadakan tidak lama lagi. Lebih politikal ialah kerana ia dibuat sehari selepas Menteri Sumber Manusia Richard Riot menandatangani MoU di Dhaka tentang pengambilan 1.5 juta pekerja dari Bangladesh dalam tempoh 3tahun.
Lebih bertambah politikal ialah sekembalinya ke Kuala Lumpur, Richard mengatakan yang 1.5 juta itu bukan untuk Malaysia saja.
Tetapi, kalaupun Zahid membuat pengumuman itu di tempat lain, dan pilihan raya Sarawak masih lambat lagi, dan tiada cerita Richard itu, dalam suasana kerajaan yang mengalami krisis keyakinan paling teruk dalam sejarah ini, siapa pun tidak percaya apa-apa yang mereka katakan.
Sebab itu, kita perlu menukar dan melakukan perubahan sebenar, termasuk dasar baharu pekerjaan. Apa yang diperlukan ialah Pekerjaan 2.0.
Pekerjaan 2.0 mesti holistik. Ia mesti meliputi, antaranya: faktor jangka panjang dan jangka pendek yang mempengaruhi pertumbuhan ekonomi, jenis pekerjaan baharu, geografi pekerjaan, peranan seimbang para majikan (kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil), penstrukturan semula sesetengah sektor ekonomi, automasi, gaji minimum, kebajikan pekerja, kesaksamaan (gender, ras, OKU, dan sebagainya), hak pekerja, perlindungan sumber manusia tempatan, dasar telus tentang pekerja asing, kebolehkerjaan belia kita dan brain drain. – sinarharian.com.my, 1 Mac, 2016.
* Datuk Saifuddin Abdullah ialah ketua setiausaha Pakatan Harapan dan bekas timbalan menteri pengajian tinggi.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments