rencana
Drama Melayu, terhibur atau hancur? – Syarifah Nadiah Syed Mat Daud
Usai melihat senarai rancangan drama yang ada di televisyen, keluhan berat pasti dilepaskan. Senarai drama seperti Love You Mr Arrogant, Playboy itu Suami Aku, kemudian yang terbaru Tundukkan Playboy Itu yang semuanya jelas bertuhankan cinta dilihat semakin berlumba memenuhi slot televisyen.
Namun begitu, hakikat yang paling menyedihkan ialah lambakan drama bertuhankan cinta dan miskin moral ini dilihat begitu luar biasa sambutannya.
Jika tidak, masakan pula kadar tontonan episod akhir Love You Mr Arrogant mencecah 4.6 juta penonton. Drama Hati Perempuan berjaya mencecah 3.3 juta penonton sepanjang siaran. Kemudian, drama Hello Mr Perfect pula mencecah 3.8 juta penonton sepanjang siaran dan episod akhir dengan 4 juta penonton.
Keseluruhan jalan cerita bagi drama ini kebanyakannya sama. Kisah konflik percintaan antara teruna kaya dan gadis tidak berharta, konflik ibu mertua dan menantu, konflik kisah lelaki playboy dan jahat yang mahu insaf kerana bertemu dengan seorang perempuan dan jalan cerita lain yang hanya berakarkan emosi semata-mata.
Kisah dan jalan cerita yang digambarkan pula miskin dalam memberikan nilai fikir dan moral pada masyarakat. Paling menyedihkan, drama sebegini seolah-olah merupakan satu situasi di mana masyarakat kita mahu lari daripada realiti semasa.
Manakan tidak, kebanyakan drama Melayu yang dihidangkan mesti berpihak pada si jejaka yang punya syarikat gah, berkereta besar, berkot dan bergaya. Si perempuan pula dilihat seolah-olah ada jalan alternatif untuk hidup mewah asalkan mampu mencuri hati si teruna. Sedangkan, hakikat yang pahit ditelan ialah kebanyakan teruna dan dara di Malaysia ini merupakan siswazah yang baru keluar universiti dan antara 400,000 individu yang sedang menganggur dalam negara.
Realiti ini lagi menggigit kerana dijangkakan pada 2016, kadar pengangguran ini akan meningkat kepada 3.3% ekoran unjuran ekonomi yang kurang memberangsangkan. Jika tidak menganggur pun, teruna dan dara itu pula merupakan golongan yang sedang bergelut dengan hutang PTPTN, hutang kereta, hutang rumah dan sebagainya. Nah, ini realiti kejam yang tidak dihidangkan drama Melayu kita. Ya, hakikat hidup ialah, ia tidak berkisar tentang cerita romantik teruna dan dara semata!
Rancangan drama Melayu sepatutnya menjadi bahan alternatif yang digunakan sebagai sumber dalam membantu menjadikan masyarakat lebih terdidik dalam mendepani arus semasa. Ia juga sepatutnya berperanan sebagai salah satu medium pembentuk moral bagi penonton dan seharusnya lebih berani dalam menghidangkan cerita bersifat kemanusiaan, sains, kemasyarakatan dan sebagainya.
Contoh drama Barat yang mampu memberi nilai tambah dalam diri penonton ialah Grey’s Anatomy. Kisah ini berkisar tentang 5 doktor yang menempuh pelbagai liku dalam usaha menjadikan mereka doktor berjaya. Ia juga memfokuskan kepada watak utama Meredith Grey yang tabah mendepani hidup dalam usaha memahami erti persahabatan, percintaan dan hubungannya dengan masyarakat.
Drama lain seperti Prison Break, The Breaking Bad, The Walking Dead dan beberapa senarai lagi merupakan antara drama yang boleh menjadi contoh bagi penggerak media tempatan. Tidak dinafikan, elemen cinta sememangnya ada dalam cerita sebegini, tetapi ia tidaklah menjadikan cinta itu sebagai nadi utama penggerak cerita.
Penstrukturan dan pemerhatian semula kepada lambakan drama tempatan ini penting. Ini kerana kebanyakan masyarakat dan anak muda seolah-olah dibiuskan dengan hakikat yang cinta teruna dara saja menjadi penggerak dunia. Apabila terlalu dimomokkan yang cinta romantis teruna dara itu tentang hal indah semata, maka anak muda senang untuk khayal dengan perkara ini.
Mereka menjadikan cinta dan perkahwinan merupakan tujuan utama dalam kehidupan.
Sesetengahnya yang masih bersekolah sanggup menipu dan melawan ibu bapa demi semata kerana perkara yang mereka anggap itu adalah cinta. Golongan remaja pula terlalu tergesa-gesa melangkah ke alam rumah tangga tanpa memikirkan elemen prinsip, tanggungjawab dan ilmu dalam membentuk keluarga.
Ya, kerana mereka begitu percaya cinta saja cukup untuk semuanya. Siri lamunan masyarakat ini perlu disedarkan, supaya mereka lekas bangun daripada hal cinta teruna dara dan bangkit tersedar yang negara kita ini berdepan dengan begitu banyak konflik yang memerlukan pemikiran dan pemerhatian anak muda.
Diharapkan penerbit kepada drama tempatan dapat lebih peka dalam usaha menerbitkan drama yang lebih membentuk intelektual. Masyarakat juga diharapkan lebih bijak dalam memilih hiburan yang bukan sahaja mampu menenangkan, tetapi penting untuk mencari hiburan yang tidak membunuh daya fikir dan moral. – 21 Februari, 2016.
* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments