rencana
Dunia barbarian – John Bennet
Chaos dalam jiwa
Kiranya, sudah banyak filem menayangkan realiti penindasan, eksploitasi, perseteruan kelas hasil kejahatan kapitalisme di layar.
Filem begini dibikin begitu kreatif dengan jalan cerita yang menarik mengharapkan para penonton bukan saja dapat berhibur, tertawa mahupun bersedih, tetapi yang lebih penting mesej pengarah dan krew filem mendarat ke lapangan jiwa para penonton.
Terserah sama ada para penonton sekadar mahu berhibur atau langsung berfikir sejurus menjejak kaki keluar dari panggung "oh, beginilah rupanya peranan kuasa dan wang membentuk dunia sekarang".
Filem Kingsman: The Secret Service (2014) arahan Matthew Vaughn adalah salah satu filem hebat tersebut. Berkisar tentang romantisme ejen perisikan rahsia British yang wujud sejak ratusan tahun dulu berdepan dengan keghairahan penjahat dunia yang mahu memporak-perandakan masyarakat global.
Ringkasnya, seorang "maniac" bernama Valentine mahu menjana wang untuk projek kad sim percumanya untuk diberikan kepada seluruh penduduk dunia. Wang modal yang diperoleh Valentine adalah daripada seluruh orang kaya di dunia termasuk raja Skandinavia, golongan elitis, borjuis, politikus dan juga kaum bangsawan.
Sebagai tukar ganti kepada laba mereka, orang kaya yang bertindak sebagai pemodal projek Valentine akan dijamin untuk terus hidup. Menariknya filem ini, ia berbicara mengenai isu perubahan iklim yang mana Valentine merasakan dunia sudah tidak boleh diselamatkan. Lagi pula, konflik yang berlaku adalah kerana tangan jahat manusia juga.
Namun cara yang terbaik untuk memulihkan dunia bagi pendapat Valentine ialah dengan mengurangkan populasi manusia. Di sinilah relevannya projek kad sim percuma Valentine. Kad sim yang diciptanya berkemampuan mempengaruhi pengguna untuk meragut nyawa manusia lain. Dengan cara itu jumlah manusia akan berkurang, yang merosakkan bumi kononnya juga akan berkurang dan yang dijamin untuk terus hidup ialah manusia yang mempunyai kuasa wang/modal (yang terlibat sebagai pemodal bagi projek kad sim Valentine).
Di akhir filem ini,, ia berjaya berkata kepada kita "hei, kamu tengoklah sendiri bagaimana sikap orang kaya yang memiliki modal dan kuasa. Apabila berhadapan krisis, kerap kali mereka akan melepaskan diri begitu mudah tetapi yang menjadi korban ialah kamu; masyarakat kelas bawahan”.
Inilah realiti dunia yang masyarakat global saksikan.
Dunia di mana manusia berbangga dengan kasta yang dicipta sehinggakan pengaruh kapital dimartabatkan di langit membuatkan yang berkuasa akan terus meraja, yang di bawah akan sentiasa diperbudakkan.
Kita bisa saja melihat setiap hari kuasa kapital merosakkan kemanusiaan dan alam semula jadi. Ritual kapitalisme diamalkan setiap jam dan mata-mata kita menyaksikan segalanya.
Lihat saja iklan membazir mengeksploitasi kaum wanita untuk melariskan produk bertujuan keuntungan. Syarikat minyak besar seperti Shell terliur akan sumber petroleum di Artik. Seperti dilaporkan di laman web earthjustice.org, syarikat Bureau of Ocean Technology Management sedang mendraf pelan menggali minyak di lautan Artik dan Atlantik untuk tempoh 5 tahun dari 2017-2022. Pelan penggalian ini akan kemudian diluluskan kerajaan Amerika.
Bukan itu saja di Afrika, peningkatan penggunaan tenaga buruh kanak-kanak di sektor perladangan koko telah naik dengan begitu dahsyat. Tokey coklat seperti Hershey, Nestle sedang rancak meratah tenaga kudrat kanak-kanak Afrika. Manakala di India, sedekad yang lalu seramai 250,000 petani yang menanam kapas bertindak mengambil nyawa sendiri disebabkan hutang yang tidak mampu diselesaikan. Petani berhutang untuk membeli baja kapas yang sudah dikimia. Baja sejenis ini dikatakan mampu mempercepatkan pertumbuhan kapas, malang sekali pulangannya begitu kecil.
Malapetaka jerebu terhasil daripada pembakaran hutan di Indonesia bukan saja mengganggu kesihatan penduduk, tetapi banyak binatang terbinasa, antaranya orang utan. Dilaporkan sekurang-kurangnya hutan sebesar 300 padang dimusnahkan setiap jam korporasi besar untuk tujuan perladangan.
Inilah kekejaman kapital. Mereka kaum yang menjana keuntungan daripada pencerobohan alam, mengerah tenaga buruh/petani/pekerja dengan kejam dan membakar hutan demi lambakan keuntungan.
Sebagai seorang individu yang hidup bermasyarakat, tidakkah kita menganggap apa yang berlaku ini sebagai jenayah berat?
Atau kita hanya bersikap tidak peduli? Ataupun kita merasa tidak penting kerana bukan kita atau ahli keluarga kita yang menjadi korban buruh di Afrika, atau isteri kita yang dimanipulasi maruahnya untuk melariskan produk syarikat, atau kerana kita menganggap perubahan iklim sebahagian daripada cerita akhir zaman sebelum kiamat, atau kerana bukan kesihatan kita yang terjejas kerana krisis jerebu, perlombongan dan pembalakan yang berleluasa?
Atau yang sebenarnya kita tidak percaya di situ ada alternatif kepada krisis yang dirancakkan kaum kapitalis?
Karl Marx satu ketika pernah menulis, imejan kapitalisme akan terlihat terang ketika berada dalam situasi krisis. Pada saat itu, apa yang tersembunyi sebelumnya akan kelihatan nyata sistem kapitalisme itu sesungguhnya berputar pada kepentingan keuntungan dan bukan pada kepentingan keperluan manusia.
Masalahnya, bukan kita tidak sedar tetapi kegagalan sejati kita untuk mengupayakan keyakinan membawa satu alternatif masih belum bermula.
Michael A Lebowitz seorang profesor ekonomi di Universiti Simon Fraser, Kanada berkata;"Kita pada saat ini tengah berada dalam kebodohan atas hidup bersama,dan kebodohan itulah yang memungkinkan kita untuk dipecahbelahkan, untuk saling bertarung satu sama lain dan dieksploitasi pemilik mata rantai aktiviti manusia (baca : kaum kapital, elitis borjuis, kerajaan, ahli politik, monarki)
Kemudian, Lebowitz mencadangkan masyarakat global untuk memikir satu pengetahuan lain, suatu pengetahuan yang didasarkan pada kesedaran akan kebersatuan masyarakat, pengetahuan yang didasarkan pada konsep solidariti (perpaduan). Katanya lagi, dalam pengetahuan sebegini serta merta membawa kita sebagai makhluk yang hidup di tengah masyarakat, memberi kita pemahaman tentang asas bagi segenap kehidupan kita. Dari situ kapital akan ranap dan hilanglah kebergantungan kita kepada kaum kapitalis.
Dunia baru adalah munasabah. Dunia di mana pengaruh kapital, wang dan kuasa ditundukkan dengan prinsip solidariti. Dunia yang memartabatkan kemanusiaan, keadilan, kesamarataan dan kepentingan menjaga planet bumi adalah dunia impian masyarakat global namun bagi kapitalis ia adalah dunia binasa.
Kita mesti mula mempercayai diri sendiri. Kita bertanggungjawab untuk membaja kesedaran, memupuk semangat perpaduan dan mula berorganisasi untuk meruntuhkan hegemoni kapitalisme. Dunia barbarian yang bermegah dengan penindasan mesti ditumbangkan digantikan dengan dunia lebih cerah akan kebenaran.
Oleh demikian, yang diperlukan masyarakat sekarang ialah keberanian, untuk memberontak, merusuh dan meragut semula segalanya yang dirompak kapitalis.
"Dalam hidup kita, satu yang kita punya iaitu keberanian. Kalau tidak punya itu, lantas apa harga hidup kita ini?" - Pramodyea Ananta Toer. – 15 Februari, 2016.
* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments