rencana
Ego antara PAS dan Amanah – Rasyid Mansoor
PAS yang dahulu adalah parti terbaik di kalangan semua parti Pakatan Rakyat (PR). Itu pandangan saya. Tetapi tidak kini.
Mana-mana parti pun akan menjadi semakin lemah jika berlaku perpecahan di kalangan pemimpin dan ahli. Hanya PAS sahaja yang ingin menentang penilaian ini dengan menegaskan ia semakin kuat selepas lahirnya parti pecahannya Parti Amanah Negara (Amanah).
Amanah adalah parti yang lahir selepas kelompok pengasasnya gagal menguasai PAS melalui pemilihan parti pada 2015.
Mereka adalah golongan yang kecewa terhadap apa yang berlaku dalam PAS tetapi mereka kerap menafikannya.
Itu adalah contoh sikap ego yang wujud di kalangan pemimpin parti Islam.
Perlukah ego menjadi sebahagian daripada ciri-ciri kepimpinan parti Islam? Soalan yang masing-masing sedar dan tahu jawapannya.
Sama ada PAS atau Amanah, ego menjadi antara faktor utama sebagai penghalang kepada pembangunan parti dan peningkatan keahlian.
Ego pemimpin PAS kini, bukan bermula selepas wujudnya Amanah, bahkan sebelum parti itu berpecah.
Bermula ketika penyertaan PAS dalam PR cuba dinilai semula, kemudian serangan demi serangan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR sehingga berlaku pertikaman lidah antara mereka dan pemimpin utama DAP.
Apabila muncul reaksi dan pendirian berbeza dalam kepimpinan utama PAS pada 2014, ego-ego itu makin melonjak-lonjak. Terbuka. Di hadapan lensa kamera dan rakaman media. Baik jemaah kecik A mahupun jemaah kecil B.
Bermula di situ, sering kali jalan keluar menjadi resolusi akhir. "Jika tidak boleh bersama sila keluar membawa haluan sendiri". Begitu mesejnya.
Lantaran itu, gelombang keras terus memuncak di persada atas parti. Pelbagai “lagu” muncul.
Malaysia negara demokrasi. Rakyat bebas bergerak. Jangan bersikap parasit. Jangan merosakkan parti dari dalam. Inilah pembersihan oleh Tuhan. Kita tidak terancam. Kami semakin gagah.
Juga muncul lagu-lagu dari arah berbeza. Pemimpin itu lemah. Gagal memahami realiti. Ditipu perancangan licik musuh politik. Gerakan membuang kelompok profesional.
Bermacam-macam kenyataan dikeluarkan yang kesemuanya adalah cerminan sebuah keegoan yang tidak mampu lagi dihijabi. Itu sahaja.
Kini Amanah muncul dengan harapan baharu disandarkan kepada kerjasama Amanah, PKR dan DAP.
Pemimpin Amanah boleh terus bersikap ego seperti mereka zahirkan di dalam parti lama. Dan ia hanya akan menzahirkan kelemahan dan menipiskan harapan baharu yang mereka canangkan.
Pemimpin PAS kini boleh terus meninggikan ego sedia ada dan terus merendahkan kemampuan yang dimiliki lawan politik, jika mereka hanya ingin menjadi sebuah jemaah yang suci dan kebal kritikan.
Akhirnya, pada pandangan saya, parti yang cepat membuang ego, meraikan kehendak masyarakat dan menzahirkan profesionalisme dalam kepimpinan dan kerja berpasukan, akan menjadi pilihan rakyat. Jika tidak pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, ia adalah jalan kejayaan jangka panjang.
Saya senyum menyaksikan pimpinan PAS dan Amanah Selangor berpolitik sehari dua ini. Ingat, jauhi perangkap ego. Ila liqa'. – 9 Februari, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments