rencana

Elok kenali ular dan lintah – A Kadir Jasin

Dalam tampalan (posting) kali ini, saya akan menulis hal yang mudah. Saya nak cerita berkenaan ular guni buruk. Ada orang panggil "ular belalai gajah".

Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil “elephant trunk snake” atau istilah saintifiknya Acrochordus javanicus daripada famili Acrochordidae. Ia adalah daripada kumpulan ular primitif yang tidak berbisa.

Kawasan taburan ular ini adalah Indonesia, Malaysia, Thailand, Kemboja dan Vietnam.

Sesiapa dalam generasi saya yang membesar di kawasan sawah atau paya pada tahun 1950-an dan 60-an tentu tahu ular ini.

Mereka sama ada pernah bertembung secara fizikal dengannya atau, setidak-tidaknya pun, melihat ular itu hidup atau mati.

Saya bertembung dengan ular ini ketika menahan taut, menyerkap atau memasang bubu. Ular ini suka membenamkan diri di dalam lumpur sambil menunggu mangsa yang lazimnya ikan.

Apabila menyerkap kita kerap terserkap ular ini dan menyangka ia ikan. Apabila kita menyeluk untuk menangkap “ikan”, rupa-rupanya kita tertangkap ular guni buruk.

Orang Kedah memanggilnya “ular guni buruk” atau “ular karung guni” kerana apabila terpegang, rasanya macam guni buruk yang terendam di dalam bendang.

Ular ini lebih menyerupai belalai gagah dengan kulit yang kasar. Menurut ensiklopedia atas talian Wikipedia, kulit ular ini apabila diproses dipanggil karung. Mungkin kerana teksturnya kasar macam karung guni atau mengkuang.

Sekali saya tertangkap ular guni buruk betina. Apabila saya mengangkatnya keluar dari lumpur ia melahirkan berekor-ekor anak. Ular guni buruk adalah daripada kumpulan reptilia Ovoviviparity yang mengeram telur dalam kandungan dan menetaskan anak.

Kenali ular anda

Di sinilah ilmu, pengetahuan dan pengalaman penting. Apabila kita hidup dalam persekitaran yang ada ular, kita kena kenal jenis-jenisnya.

Jangan lari lintang-pukang sampai patah kaki dan tercabut gigi kerana terserempak ular belalai gajah, ular lidi, ular tikus dan ular air yang tak bisa, tapi mati terpatuk kerana tunjuk berani dengan ular tedung selar, ular tedung, ular kapak dan ular katam tebu yang sangat bisa atau dibelit oleh ular sawa.

Jangan sangka ular hanya ada di dalam hutan dan belukar di kampung, desa dan Felda. Sekarang ini di bandar dan di padang golf pun ada ular tedung, ular sawa dan macam-macam jenis lagi. Saya tahu sebab banyak dah masuk rumah saya.

Ada orang beritahu saya, di Putrajaya pun banyak ular. Tak menghairankan. Tapak Putrajaya adalah ladang kelapa sawit. Di ladang kelapa sawit banyak tikus. Di mana ada tikus, di situ adalah ular yang makan tikus.

Jadi saya tidak terkejut kalau di Putrajaya ada banyak ular. Ini terbukti apabila seorang kawan saya – pembahas tetap blog ini – dipatuk ular tedung di Putrajaya pada suatu malam beberapa tahun lalu. Dekat-dekat mati sebab 2, 3 hospital yang dia minta rawatan tak ada penawar gigitan ular (antivenom).

Lain kali pembaca dan pembahas blog ini pergi Putrajaya, berhati-hatilah. Ada ular berbisa di Putrajaya. Oleh sebab Putrajaya masih ada ladang kelapa sawit dan paya “wetlands”, saya rasa ular sawa, ular tikus, ular kapak, ular air dan ular daun pun ada juga.

Di Kedah, orang yang berlagak pandai dan hebat tapi kosong di atas dipanggil ular air. Ular berbisa yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Tapi ular air, panjatlah Menara Berkembar Petronas pun tidak akan jadi bisa.

Lain kali kalau terjumpa ular di persisiran tasik Putrajaya dan ia lari daripada kita, itu mungkin ular air. Ular tedung pun lari juga, tapi tidaklah lintang-pukang macam ular air atau ular liar. 

Insya-Allah, kalau kita berilmu atau sedia belajar kita akan selamat daripada segala jenis ular. Malah kita boleh pelihara ular sebagai binatang kesayangan (pet) atau perah racunnya untuk diproses jadi penawar.

Pada macam zaman Firaun, mereka guna ular berbisa untuk bunuh musuh mereka. Cukup berkesan. Tak ada peguam negara, tak kira sepintar mana pun dia, boleh dapat 90% bukti untuk tuduh si penjenayah.

Zaman dulu wanita jelita dan ular berbahaya

Dalam agama Hindu pula, ular adalah antara haiwan yang “dipooja”. Ada tuhan orang Hindu namanya Manasa Devi atau Ratu Naga yang menyerupai ular tedung. Ia juga dikenali sebagai Vishahara – penawar segala racun. Dalam alam nyata, bertuahlah sesiapa yang ada wanita yang menjadi penawar segala penyakit dan masalah.

Tapi kalau tak berilmu dan tak berpengetahuan, ular guni buruk disangka lintah raksasa atau binatang ajaib. Itulah yang saya baca dalam Internet. Ada orang tak tahu jadi mereka sangka ular guni buruk adalah lintah besar atau binatang ajaib.

Lintah lain. Ia tak mematuk macam ular. Lintah hisap darah. Orang yang tak pernah digigit lintah atau pacat, tak sedar mereka digigit. Bila kenyang pacat dan lintah jatuh dengan sendirinya. Lepas itu barulah mangsanya sedar kerana rasa gatal dan bila diselidik, darah dah banyak keluar.

Darah daripada luka gigitan lintah lambat beku sebab disuntik kimia pencegah beku (anticoagulant) oleh haiwan itu. Jadi kita kena juga ambil tahu pasal pacat dan lintah takut habis darah kita kena hisap lintah darat. Wallahuaklam. – kadirjasin.blogspot.my, 10 Februari, 2016.

* A. Kadir Jasin merupakan bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments