rencana

Februari, mengenang seorang pelopor agung, pejuang reformasi yang dikurung dan Tok Guru yang diusung – Nik Fatma Nik Muhamad

Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Assyahid Imam Hasan Albanna.

Februari menjadi bulan yang signifikan dalam mengenang 3 tokoh yang tidak asing lagi untuk masyarakat Malaysia dan dunia.

Kehadiran mereka secara jelas dapat mengubah landskap pemikiran, perjuangan, pemerintahan, pentadbiran dan sebagainya.

Perjuangan yang mereka cipta serta legasi yang mereka tinggalkan masih lagi releven dan terus diperjuangkan dan masih membumi dalam jiwa setiap rakyat yang mahukan perubahan untuk dunia secara amnya dan Malaysia secara khususnya.

Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, seorang ulamak dan ahli politik yang disegani kawan dan lawan.

“Nyawa kita diumpamakan api pelita yang pada bila-bila masa saja boleh terpadam” (Tuan Guru Nik Aziz)

Pemergian seorang ulamak pada akhir zaman adalah satu kehilangan yang sangat besar yang mana ia adalah antara pemutus kepada pewarisan ilmu yang bermakna.

Tanggal 12 Februari 2015, setahun yang lepas, kita dapat merasai sebuah kehilangan yang besar dalam landskap politik, ilmu, dan kepimpinan ulamak selepas berita kematian Mantan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Bin Hj Nik Mat tersebar luas di media seluruh dunia.

 

Hari ini 12 Februari 2016, adalah tarikh memperingati perginya seorang ulamak dan pejuang ini yang disayangi  rakyat Malaysia secara amnya, rakyat Kelantan secara khususnya tidak kira Islam atau bukan Islam.

Kehilangannya terus dirasai dan hingga sekarang masih tiada yang dapat menggantikannya.

Kebijaksanaannya dalam berpolitik membuatkan ramai senang mendekatinya tidak kira Islam atau bukan Islam.

Pendekatannya yang sangat ramah dan rahmah, membuatkan persepsi masyarakat bukan Islam terhadap Parti Islam Malaysia (PAS) juga baik dan hubungan antara kaum juga harmoni di saat beliau memimpin parti dan sewaktu di dalam pakatan rakyat.

Beliau juga merupakan “stabilising factor” yang sentiasa mengemukakan resolusi yang terbaik untuk masa depan parti itu.

Prinsipnya yang kuat dan tegas membuatkan parti tersebut muncul sebagai parti yang sangat disegani lawan dan kawan.

Hingga hari ini, masih tiada lagi yang dapat menggantikannya.

Semoga semangat perjuangan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz terus meresap dalam diri anak muda yang cintakan perubahan untuk Malaysia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang tokoh pejuang reformasi

"Allah menjadi saksi, saya berjanji tidak akan didiamkan, saya akan berjuang untuk kebebasan dan keadilan dan saya tidak akan menyerah!" (Anwar Ibrahim, 2015)

Inilah kata-kata terakhir yang diungkapkan dengan penuh berani tokoh reformasi ini di saat beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun kerana didakwa meliwat Saiful Bukhari Azlan.

Kata-kata tersebut bukan saja bergema di mahkamah pada ketika itu, bahkan ia bergema di dalam hati dan jiwa anak muda dan menjadi penyuntik semangat untuk mereka meneruskan perjuangan untuk kebebasan dan keadilan.

Tanggal 10 Februari 2016, genap 365 hari Datuk Seri Anwar ditahan sebagai tahanan politik. 

Kecekalannya dalam menempuh pelbagai liku cabaran dalam perjuangan ini menjadikan beliau diangkat sebagai idola oleh segolongan anak muda yang mahukan perubahan untuk Malaysia.

Bukan semua mampu untuk menghadapi sebagaimana beliau hadapi pada saat ini dan tidak hairanlah, walaupun beliau dipenjara, tetapi masih ramai anak muda di luar sana sedang meneruskan perjuangan menegakkan keadilan dan menumbangkan rejim Umno-BN yang semakin hari semakin terserlah ketidakadilannya dan terlibat dengan pelbagai korupsi.

Cukuplah dengan semangat tokoh ini untuk bangkit memperjuangkan masa depan Malaysia, bersatu bersama rakyat dalam memperjuangkan nasib mereka menjadi inspirasi dan pembakar semangat untuk rakyat Malaysia terus bangkit.

Walaupun jasad terpenjara, tetapi mindanya berlegar di luar sana untuk menyelamatkan dunia keseluruhannya.

Salam perjuangan dan salam reformasi!

Assyahid Imam Hassan Al Banna, mujaddid atau pelopor agung

“Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan jasa yang ditaburkan.”

Ungkapan ini tepat untuk diperkatakan mengenai keperibadian seorang tokoh mujaddid iaitu Assyahid Imam Hassan Al Banna. Walaupun  berpuluh tahun Almarhum meninggalkan kita semua, namun perjuangan dan kegigihannya dalam menegakkan kembali Islam di bumi Mesir tetap kukuh bersemadi dalam hati sanubari masyarakat Islam hingga ke hari ini.

Tanggal 12 Februari 1949, berlaku satu sejarah hitam dan pilu bagi masyarakat Islam.

Pada tarikh itu dunia Islam telah kehilangan seorang ulama dan mujahid yang menjadi pelopor dalam mengembalikan kegemilangan Islam.

Pemergiannya merupakan suatu pembunuhan kejam hasil konspirasi musuh Islam yang berselindung di sebalik Raja Farok, pemerintah Mesir pada ketika itu.

Beliau  mengarang satu kitab iaitu “Risalah Taalim” yang mana kitab tersebut ditulis untuk menyatukan kembali masyarakatnya yang pada ketika itu bergolak dek perbezaan mazhab dan fahaman.

Hadirnya Hasan Albanna untuk menyatukan kembali perpecahan yang berlaku dan menyeimbangkan fahaman atau sikap berlebih-lebihan dalam sesuatau hal dan tindakan serta risalah ini menjadi panduan atau wasilah untuk mengatur dan menyusun kembali landasan Islam.

Kupasan buku ini masih lagi relevan untuk zaman sekarang dan ia menjawab isu terkini yang berlaku pada dunia hari ini.

Ramai aktivis dakwah sedang dalam proses membumikan kandungan buku ini dalam kehidupan mereka supaya mereka dapat mengembalikan semula fahaman Islam yang syumul atau komprehensif kepada masyarakat melalui interaksi dan qudwah yang ditunjukkan.

Apa yang ditinggalkan Hasan Albanna juga adalah 10 wasiat yang kekal menjadi pedoman dan panduan bagi pejuang agama. 10 wasiatnya ialah:

Jika terdengar azan, maka segeralah bangun untuk menunaikan solat berjemaah walaubagaimana sekalipun keadaan seseorang itu.

Perbanyakkan bacaan al-Quran, selalu membuka kitab-kitab untuk menambah ilmu, pergi ke majlis Ilmu, perbanyakkan zikrullah dan jangan membuang masa dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah.

Berusaha untuk bertutur dalam bahasa Arab yang Fushah kerana Bahasa Arab yang betul (Fushah) adalah lambing (syiar) Islam.

Janganlah bertengkar walau dalam apa jua keadaan sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Janganlah terlalu banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah sentiasa saja akan tenteram dan tenang.

Janganlah terlalu banyak bergurau kerana orang Islam yang sedang berjuang itu tidak mengerti erti bergurau melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.

Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa yang memberi kebajikan.

Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.

Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, maka gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.           

Tiga tokoh hebat yang  kita kupas di atas membina legasi mereka sendiri dan perjuangan mereka disahut rata-rata masyarakat yang hidup pada zamannya.

Dan sudah tiba masanya sekarang kita pula yang membina hala tuju, visi dan misi yang jelas untuk masa depan ummah, negara dan masyarakat.

Ayuh, mengorak langkah mengambil inspirasi perjuangan 3 tokoh ini! – 12 Februari, 2016.


* Penulis adalah pelajar sarjana Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments