rencana
Filem Ola Bola sarat mesej kesepaduan dalam kepelbagaian – Azwan Rahman
Filem fiksyen Ola Bola ini mengisahkan tentang perjalanan hebat wira bola sepak Malaysia sekitar era 1970-an dan 1980-an.
Berdasarkan filem ini, semangat juang yang tinggi dipamerkan pasukan bola sepak Malaysia, biarpun mengetahui negara pada waktu itu memboikot Sukan Olimpik di Moscow atas sebab pencerobohan USSR di Afghanistan.
Secara abstraknya, filem ini berjaya menyentuh jiwa bagi yang menonton dengan penuh kesedaran khususnya melalui tema unggul yang ingin disampaikan dalam Ola Bola.
Tema di dalam filem ini adalah jelas meraikan kesepaduan dalam kepelbagaian dan menolak kepada polarisasi dalam apa jua bentuk yang menghalang kepada kemajuan dan matlamat utama negara dan masyarakat.
Tema unggul ini dilakonkan dengan baik semua aktor Ola Bola sebagai memberi pencerminan kemuafakatan rakyat Malaysia yang berbilang etnik pada waktu itu.
Malah karya ini juga berjaya mencetuskan semula kesedaran tentang betapa pentingnya kesepaduan di kalangan rakyat Malaysia.
Buktinya, rata-rata pengguna media sosial yang menonton filem ini mengakui Ola Bola berjaya mengembalikan keyakinan tentang kepentingan keharmonian perpaduan kaum di Malaysia.
Merujuk kepada artikel Dina Zaman seperti dilaporkan dalam The Malaysian Insider menjelaskan kemunculan filem Ola Bola ini adalah signifikan dan sangat tepat di saat Malaysia menghadapi semangat perpaduan yang kian terhakis.
Berdasarkan premis tersebut, tidak dinafikan pengaruh dan genre filem sangat berkesan sebagai instrumen untuk ditanamkan dengan idea kesepaduan dan moral.
Medium melalui filem adalah sangat berperanan penting selain mudah untuk diterima dan diproses idea yang ingin disampaikan khususnya di kalangan anak muda dan belia generasi kini, dan usahanya perlu disebar luas.
Usaha ini juga ialah sebagai mengatasi keterdedahan anasir ‘Kuasa Ke-3’ (third force) yang tidak bertanggungjawab dalam memecahbelahkan keperekatan etnik di Malaysia.
Contohnya kenyataan bersifat kontroversi yang sering dikeluarkan pihak ‘Kuasa Ke-3’ tertentu (third force) sebagai advokasi kepada isu perkauman yang diperjuangkan tanpa memikirkan implikasi terhadap masa depan negara.
Malah yang lebih ekstrim lagi apabila terdapat segelintir ‘Kuasa Ke-3’ di Malaysia yang mengadu-domba berhubung isu perkauman sebagai memenuhi kepentingan politik dan strategi dalam memperoleh sokongan dan legitimasi pengikutnya.
Namun bukan semua ‘Kuasa Ke-3’ bersifat sedemikian.
Walau bagaimanapun, harus diingatkan autoriti dan tanggungjawab kuasa k-3 tidak sepatutnya berperanan sebagai menambahkan ketegangan dan perasaaan skeptikal antara etnik dalam mencapai tujuan politik.
Malah, gunakanlah landasan itu sebagai usaha memperkasakan dan menyatupadukan kepelbagaian masyarakat di Malaysia.
Tambahan, idea kesepaduan ini juga sememangnya mempunyai cabaran dan kekangan untuk dimurnikan jika kepentingan politik pihak tertentu mendahului iltizam rakyat.
Hal ini jelas kerana idea kesepaduan acap kali menjadi retorik apabila hanya tiba pilihan raya saja dan bukan dijadikan amalan harian sebagai rutin politik yang jujur.
Berbalik kepada pemahaman berhubung kesepaduan dalam kepelbagaian, perkara ini sebenarnya perlu disebarkan kebaikannya semua pihak sama ada golongan rakyat, pemimpin parti politik, penggiat filem, ahli akademik dan lain-lain agar dapat “membisukan” hasutan berbaur perkauman daripada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.
Maka pujian seharusnya diberikan kepada pengarah, serta para pelakon Ola Bola yang mencetuskan fenomena ini dan berjaya mengembalikan keyakinan rakyat dalam meraikan masyarakat majmuk yang wujud di Malaysia.
Pada pandangan penulis Ola Bola juga bukanlah sekadar menaruh sebuah karya yang berkualiti kepada penggemar filem, tetapi mengharapkan sebuah kesedaran dapat dikecapi semua rakyat Malaysia apabila menonton filem ini.
Maka dengan wujudnya filem seperti ini maka ia sangat berkesan dalam memberi kesedaran dan menjelaskan citra sebenar masyarakat Malaysia.
Berdasarkan hujah tersebut, maka adalah perlu bagi pengarah dan penerbit filem Malaysia untuk memikirkan harapan filem yang mengangkat kepada tema penting seperti yang ditonjolkan Ola Bola.
Perkara ini jelas kerana walaupun kebanyakan barisan pelakon yang ditampilkan di dalam filem ini mempertaruhkan muka baru, akan tetapi plot cerita, penghayatan watak, kesefahaman yang ditunjukkan para pelakon daripada pelbagai etnik, dan penelitian yang tinggi terhadap situasi pada waktu itu sudah cukup untuk dilabelkan filem ini sebagai sebuah karya yang bernilai tinggi dan mempunyai nilai estetika seni yang tersendiri.
Sehubungan itu, tidak kira penggiat filem ataupun sesiapapun, semua pihak harus berintegriti dalam menggunakan apa saja medium supaya tidak mendorong ke arah tindakan dan idea yang negatif tetapi lebih bijak untuk menghalakan pemikiran rakyat Malaysia ke arah bentuk pengajaran nilai murni yang bersifat holistik.
Sebagai penutup kata, dan juga sebagai menghargai hasil karya seni Chiu, penulis merasakan beliau merupakan antara pengarah yang genius dalam dunia perfileman tanah air selain Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, khususnya dalam aspek menyesuaikan minda dan hala tuju masyarakat yang sebenar melalui filem.
Justeru, syabas kepada filem Ola Bola sekali lagi, selain mendapat kutipan pecah panggung, karya ini juga berjaya meletakkan satu penanda aras baru kepada industri perfileman Malaysia, khususnya dari segi garapan jalan cerita, pilihan tema yang mengikut acuan kebangsaan, selain disesuaikan dengan kehendak penggemar filem kontemporari. – 13 Februari, 2016.
* Azwan Rahman adalah pelajar PHD IKMAS, di Universiti Kebangsaan Malaysia.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments