rencana

Gianni Infantino dan pelan reformasi FIFA – Muthanna Saari

Kongres Luar Biasa FIFA yang berlangsung di Zurich semalam menyaksikan badan induk bolasepak dunia itu memilih presidennya yang baharu.

Gianni Infantino, dari Switzerland dipilih melalui undian pusingan ke-2 menewaskan calon pilihan, Sheikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa dari keluarga diraja Bahrain dengan kelebihan 27 undi.

Pemilihan ini sekaligus menamatkan drama dan pelbagai skandal yang menyelubungi badan induk bolasepak dunia itu selama lebih 8 bulan. Menggantikan bekas presiden, Sepp Blatter yang memenangi pemilihan presiden pada tahun 2015 bagi penggal ke-5 berturut-turut (meletak jawatan dan turut digantung FIFA pada Oktober 2015), cabaran terbesar Infantino adalah untuk memastikan pelan reformasi FIFA yang disokong 179 ahli bersekutu badan bolasepak itu dilaksanakan.

Ini selaras dengan manifesto kempen Infantino yang menekankan reformasi, demokrasi dan penyertaan serta pembangunan bolasepak. Pencalonannya untuk pemilihan presiden FIFA turut disokong UEFA, kesatuan bolasepak Eropah setelah peranannya melaksanakan beberapa projek UEFA di bawah bekas presidennya, Michel Platini (yang turut digantung FIFA pada Oktober 2015).

Antaranya ialah mengembangkan Kejohanan Bolasepak Eropah kepada pertandingan melibatkan 24 pasukan dan Financial Fair Play Rules yang bertujuan untuk menggalakkan tatakelola kewangan yang baik di kalangan kelab bolasepak yang terlibat di dalam pertandingan bolasepak anjuran UEFA.

Tambahan pula Infantino juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa FIFA Reform Committee yang dilantik pada Ogos 2015. Ini merupakan suatu kelebihan dan peluang buat Infantino untuk terus melaksanakan pelan reformasi tersebut, dan kali ini dengan kapasitinya yang lebih berpengaruh selaku orang nombor 1 dalam badan induk bolasepak dunia itu.

Pelan reformasi FIFA yang akan berkuatkuasa selepas 60 hari kongres tersebut tamat, menggariskan beberapa pembaharuan serta penambahbaikan terhadap urustadbir dan tatakelola badan bolasepak tersebut.

Hasrat besar pelan ini adalah untuk ia turut diangkat setiap ahli bersekutu badan induk bolasepak tersebut, ini bermakna Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga akan terlibat melaksanakan pelan ini di FAM sendiri.

Antara yang ketara adalah bagi menjadikan badan induk bagi sukan utama di dunia ini lebih telus dan bebas daripada salahguna kuasa, rasuah serta pelanggaran hak asasi manusia.

Struktur jawatankuasa eksekutif badan tersebut yang sebelum ini bersifat eksklusif akan dikembangkan kepada 37 orang ahli (termasuk presiden) yang akan dipilih semua ahli bersekutu badan induk itu.

Peranan majlis (FIFA Council) yang baharu ini juga dianjakkan kepada fungsi strategik dan pemantauan, berbanding jawatankuasa eksekutif sebelum ini yang berperanan sebagai kuasa eksekutif dan politik. Tempoh lantikan pemegang kuasa juga dihadkan kepada 3 penggal sahaja (1 penggal bersamaan 4 tahun).

Selain itu, pelan reformasi ini juga berhasrat untuk menambahbaik pengurusan yang lebih bertanggungjawab terhadap dana yang diperolehi dan dibelanjakan badan induk tersebut.

Justeru, peranan FIFA Council melalui pelan reformasi ini juga diasingkan antara strategik dan operasi bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan yang pada amalan biasanya akan menjurus kepada amalan rasuah di kalangan pemegang kuasa sesebuah organisasi.

Satu isu utama yang diutarakan di dalam pelan ini adalah komitmen FIFA dalam menghormati dan memastikan pihak kontraktor, penganjur kejohanan FIFA serta ahli bersekutunya mematuhi prinsip hak asasi manusia.

Kertas fakta berkaitan pendekatan hak asasi manusia FIFA yang dikeluarkan pada Februari 2016, menyatakan FIFA sentiasa komited dalam mengangkat prinsip hak asasi manusia di dalam sebarang strategi dan amalannya sejak tahun 1960-an lagi.

FIFA dalam kertas tersebut mengakui situasi berkaitan keadaan tenaga buruh bagi kerja persiapan gelanggang Kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar turut di dalam perhatiannya.

Dengan nada optimis, kertas fakta itu menjadikan faktor tarikan unik dan tumpuan dunia terhadap Kejohanan Piala Dunia adalah pencetus yang kuat untuk perubahan terhadap isu yang membabitkan pelanggaran hak asasi manusia di negara dengan populasi hanya 2.2 juta orang tersebut.

Laporan Amnesty International 2015/16 yang dilancarkan baru-baru ini pula menganggarkan seramai 1.6 juta orang pekerja asing di Qatar, yang mewakili lebih 90% tenaga buruh di Qatar, secara berterusan menghadapi eksploitasi dan penyalahgunaan majikan.

Laporan khas tentang situasi buruh di Qatar yang dikeluarkan Gabungan Kesatuan Sekerja Antarabangsa (ITUC) pada Mac 2014 banyak mendedahkan situasi yang buruk dan tidak berperikemanusiaan ini.

Amnesty International dalam laporannya menyatakan Emir dan Menteri Luar Qatar memberi komitmen untuk memperbaiki sistem kafala yang memberi kuasa yang luas kepada majikan dalam merekrut pekerja dan menentukan pelbagai peraturan yang menindas pekerja.

Namun ini mungkin hanya sekadar suatu penzahiran komitmen bagi mengendurkan sedikit tumpuan masyarakat dunia terhadap pelanggaran hak asasi manusia khususnya di tapak pembinaan stadium dan infrastruktur awam menjelang kejohanan berprestij pada 2022 nanti.

Ini kerana agak mustahil bagi sistem ekonomi neoliberal untuk berundur setapak dan memberi ruang kepada usaha memperkasa hak pekerja. Amalan ekonomi ini terbina kekuatannya melalui kepelbagaian sumber tenaga buruh khususnya dari “dunia selatan”.

Bagi mengejar produktiviti dan sekaligus memaksimakan keuntungan, aspek manusiawi jarang sekali diberi perhatian. Masa semakin singkat untuk situasi buruh benar-benar terbela kerana Kejohanan Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar hanya tinggal lebih kurang 6 tahun sahaja lagi sebelum sepak mula perlawanan pertama.

Cabaran besar bagi Infantino selain membersihkan imej buruk urustadbir dan tatakelola FIFA serta skandal rasuah badan induk bolasepak itu, adalah menangani isu berkenaan hak asasi manusia yang menjejaskan reputasi badan induk itu selaku penaung kepada sukan dan industri bolasepak dunia.

Sekiranya tidak, Hallenstadion tidak lebih daripada hanya merakam retorik politikal yang tipikal bagi sesebuah organisasi, reformasi dan penambahbaikan.

Kerana reformasi bukan sentiasa bertujuan untuk suatu perubahan yang radikal, tetapi kadangkala dilakukan untuk menghalang suatu perubahan radikal daripada berlaku. – 28 Februari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments