rencana
GST: Isi rumah berpendapatan rendah paling teruk terjejas – Dzulkefly Ahmad
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan isi rumah berpendapatan rendah paling teruk terjejas akibat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tidak memeranjatkan sesiapa kecuali Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Putrajaya.
Apakah baru sedar dan celik? Tentunya tidak. Mungkin buat-buat terkejut.
Mengambil kira kadar sebenar kenaikan kos (inflasi) setelah pelbagai kenaikan dibuat Najib mutakhir ini, seperti tol dan kos pengangkutan awam, kedudukan adalah sebenarnya lebih parah.
Indeks Harga Pengguna (IHP) rasmi tidak membayangkan keperitan kehidupan rakyat menanggung perbelanjaan harian sebenarnya.
Termasuk kenaikan levi pekerja asing (100%-300%) rakyat perlu tahu siapa yang membayarnya nanti adalah rakyat/pengguna sebab pemilik industri dan pengilang akan 'memindahkan' tambahan levi kepada pengguna.
Mereka tidak mahu menanggung segalanya sebab mahu mengekalkan margin keuntungan. Maka satu lagi sebab kenaikan kos inflasi. Mujurlah harga petrol turun buat masa ini.
Bagi mereka yang dibuang kerja dan kini menganggur, sementara menantikan kerja dan perlu bersaing dengan pekerja asing yang tidak lagi hanya berkerja di bidang 3D - maka bertambahlah kesengsaraannya.
Petronas saja akan memberhentikan 51,000 pekerja mereka. Yang diberhentikan sejak kebelakangan ini pun sudah mencecah puluhan ribu.
Dengarnya 50,000 pekerja awam kontrak bakal diberhentikan. Aduh, lebih 50% profesor berada dalam kontrak itu berumur 61-70 tahun, dikatakan akan juga diberhentikan.
Tak apalah...duit pencen sudah cukup menyara kehidupan. Namun yang berpendapatan rendah-sederhana, bagaimana hari-hari mendatang di Tahun Sengsara ini?
Menurut laporan itu, isi rumah di bawah spektrum pendapatan bawah 40% (B40) (jumlah 2.7juta) menikmati pendapatan RM2,537 purata pada tahun 2014 iaitu peningkatan sebanyak 12.8% sejak 2009.
Bagaimanapun, perbelanjaan juga meningkat dengan purata isi rumah B40 membelanjakan RM2,015 atau 79% daripada pendapatan bulanan mereka.
Dengan GST pada kadar 6% pada awal 2015, 40% baki pendapatan isi rumah akan berkurangan kepada RM400 berbanding RM522 sebelum ini. Bermakna defisit atau kurang RM122 sebulan.
Laporan juga mengakui disebabkan GST memberi kesan kepada semua isi rumah, mereka yang berada di spektrum bawah B40 pastinya akan merasa kesan yang lebih daripada mereka di bahagian atas spektrum.
Sememang sudah kami katakan GST adalah regresif atau songsang iaitu lebih parah ke atas golongan miskin berbanding golongan kaya.
Betul BRIM membantu, tetapi banyak mana sangatlah. Daripada maklumat laporan ini sahaja sudah jelas BRIM memberikan RM950, sementara laporan ini mengakui tambahan perbelanjaan isi rumah B40 ialah RM122 sebulan. Bermakna, defisit RM80 sebulan. Bak pepatah "Untung secupak, rugi segantang"!
Kalau sudah tahu perbelanjaan isi rumah dan domestik itu penting bagi memacu pertumbuhan, mengapa mendera rakyat dengan kos kehidupan yang terus naik?
Untuk rakyat boleh berbelanja diizinkan pula tidak membayar 3% sumbangan KWSP mereka. Aneh, kerana 2 kali ditimpa tangga kerana rakyat dipaksa membelanjaka simpanan masa tua mereka sementara hutang isi rumah juga membengkak ke paras 90% KDNK. Alahai Najib...cukup-cukuplah. – 24 Februari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments