rencana

Hanya bangang anggap tindakan Dr Mahathir keluar parti sia-sia – Zainudin Maidin

Banyak orang termasuk "bangang" dan "gurkha" Umno yang sinis dengan  tindakan Tun Dr Mahahtir keluar parti seolah-olah tindakan yang sia-sia semata tanpa dapat melihat kesan positifnya.

Jika mereka mahu melihat daripada segi kejayaannya maka mereka pasti akan turut bimbang kepada kedudukan Datuk Seri Najib Razak. Bila berbunyi loceng Dr Mahathir keluar parti kali ini, maka itu adalah loceng  untuk Najib dan bukan untuk orang lain.

Tanpa tindakan Dr Mahathir keluar parti pada 2008 untuk menekan Pak Lah supaya berhenti, maka apakah  Najib akan menjadi perdana menteri dengan merelakan dirinya menunggangi Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kemudian"menembak" Muhyiddin untuk survival beliau dan isterinya?

Pada hakikatnya tindakan itu juga yang memberi peluang kepada hamba sahayanya, terutamanya Datuk Seri Nazri Aziz yang hanya laku di kawasan pilihan rayanya dan tidak diterima lagi parti untuk terus menjadi menteri.

Demikianlah juga tindakan penyingkiran Dr Mahathir daripada parti selepas peristiwa 13 Mei, 1969 kerana "menderhaka" pada perdana menteri pertama,  Tunku Abdul Rahman yang menjadikannya lebih disanjung daripada sebelumnya dan menyebabkan Tun Razak melihat,menilai dan memilihnya sebagai perdana menteri.

Dalam beberapa perisitiwa tragis terhadapnya yang penuh dengan kotroversi dan sensasi, Dr Mahathir keluar sebagai wira kerana rakyat melihatnya sebagai penyelamat dan nampak jelas akan kebenarannya.

Adakah rakyat dan orang Umno sendiri mahu Pak Lah terus menjadi perdana menteri? Tidakkah tindakannya keluar daripada parti sesuai dengan citarasa rakyat dan keseluruhan ahli Umno pada masa itu yang tidak mahu  negara  terus berada di bawah pimpinan yang lemah?

Apakah jika kemudiannya Najib membawa negara kepada kemusnahan setelah membelakangi Muhyiddin maka Dr Mahathir juga harus dipersalahkan?

Kenapakah orang-orang Umno tidak berterima kasih kepadanya dan hanya melihat daripada sudut keburukan kepada parti tetapi sebaliknya menyelamatkan Umno, rakyat dan negara

Jadi, tindakan Dr Mahathir keluar parti kali ini demi untuk menggulingkan Najib tidak boleh dipandang ringan dan diperkecilkan sebagai tidak memberi kesan.

Tidak pernah dalam sejarah negara semua part pembangkang  bersatu untuk memberikan sokongan kepada bekas perdana menteri daripada Umno yang pernah menjadi musuh utama mereka.

Sokongan mereka adalah kerana kepercayaan kepada keikhlasannya, dan demikian juga kesediaan Dr Mahathir untuk bersama mereka adalah kerana beliau berada dalam keyakinan yang sama – negara mesti di selamatkan. Dr Mahathir lebih menilainya kerana beliau yang banyak membinanya.

Dr Mahathir akan terhutang budi kepada semua parti pembangkang. Walaupun beliau tidak lagi bersedia untuk mengetuai mereka, tetapi beliau  akan menjadi pendorang utama ke arah meruntuhkan tembok halangan ke arah membangunkan satu perpaduan nasional parti-parti politik untuk menggantikan Barisan Nasional (BN) yang tidak bererti lagi (MIC dan MCA hanya tinggal nama saja).

Yang pastinya tindakan Dr Mahathir keluar Umno akan memberi sumbangan besar dalam menukar struktur politik negara ke arah yang lebih progresif, dinamik dan sezaman yang melampaui batas kaum dan agama.

Matlamatnya adalah suci untuk menegakkan sebuah kerajaan yang bersih, menerusi penyusunan semula imej politik negara yang memerlukan pengorbanan daripada setiap parti politik untuk membuat penyesuaian.

Bagaimanapun, matlamat utama yang akan didahulukan ialah penyingkiran Najib sebelum menubuhkan perpaduan yang konkrit.

Masa depan BN amat gelap jika Umno tidak dapat membaca langkah politik Dr Mahathir yang nekad dan berani ini. Beliau mahu mengubah Umno dari luar. – zamkata.blogspot.my, 4 Mac, 2016.

* Tan Sri Zainudin Maidin ialah bekas menteri penerangan.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments