rencana

Hentikan kebanjiran pendatang asing demi produktiviti bakal graduan – Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi mengumumkan kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh menerusi perjanjian Malaysia-Bangladesh yang baru ditandatangani dan berkuatkuasa pada Febuari 2016 ini.

Kemasukan ini mendatangkan pelbagai respon sama ada baik atau buruk.

Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Pekerja Malaysia (MEF) juga membuat satu jangkaan berdasarkan trend tahun lepas, 2016 merupakan tahun mencabar buat para graduan dalam mencari kerja.

Dengan pengumuman kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ini, Mahasiswa Amanah berpendapat ia adalah satu tindakan yang tidak patut dibuat kerajaan demi kepentingan anak muda khususnya mahasiswa bakal bergraduasi.

Kami dengan ini mendesak supaya beberapa perkara dapat dilakukan kerajaan dalam menangani lambakan pekerja asing tidak kira Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Vietnam mahupun apa saja warga asing dalam negara kita. Antara cadangan kami ialah:

1. Menghadkan jenis pekerjaan yang boleh diberikan kepada warga asing hanya pada sektor industri berat dan pertukangan seperti pembinaan bangunan dan sektor buruh serta pembantu rumah sahaja.

2. Mengenakan tindakan pada majikan yang mengambil pekerja asing dalam industri makanan dan restoran seperti "fast food", stesen minyak dan lain-lain yang mana industri-industri ini masih lagi boleh diramaikan pekerja-pekerja tempatan.

3. Mendesak pihak imigresen untuk lebih peka dengan segala tindakan dan aktiviti pendatang asing supaya segala masalah sosial tidak terjebak akibat lambakan pendatang asing ke dalam negara.

Mahasiswa Amanah dengan ini menegaskan isu pendatang asing ini perlu dibincangkan secara mendalam dan terperinci kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan sektor pekerjaan bahkan ia boleh mengubah corak demografi negara Malaysia.

Kami juga ingin melahirkan kerisauan sekiranya kedatangan pendatang asing ini disalah guna pihak berkepentingan menjelang pilihan raya Sarawak yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Soalan kami sebelum kerajaan meneruskan hasrat ini; adakah kerajaan lupa lebih 200,000 graduan dan anak muda masih gagal mendapat kerja?

Adakah kerajaan juga lupa dalam penstrukturan semula Bajet 2016 baru-baru ini kerajaan mengumumkan akan memberikan permit semula pada pendatang asing tanpa izin (Pati) yang pernah ditahan?

Demi kepentingan anak muda khususnya bakal graduan serta seluruh rakyat Malaysia, kami menyeru semua ibu bapa bersama-sama mahasiswa membantah kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh dan menghentikan kebanjiran pendatang asing di bumi berdaulat Malaysia! – 15 Februari, 2016.   

* Penulis adalah exco Pemuda dan pengarah Biro Mahasiswa Parti Amanah Negara (Amanah).

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments