rencana
Iktiraf UEC, martabatkan STAM – Jofri Jaraiee
Kerajaan persekutuan (Kementerian Pendidikan) sepatutnya mengembalikan “kuasa autonomi” berhubung dengan pelajaran kepada Sarawak seperti termaktub dalam perkara asas pembentukan Malaysia dalam Perkara 15: Pelajaran “Sistem pendidikan yang sedia ada perlu dikekalkan di bawah kawalan kerajaan negeri”.
Sarawak perlu diberi kuasa autonomi dalam bidang pelajaran di mana kerajaan Sarawak boleh meningkatkan lagi prestasi pelajar dalam bidang pelbagai kemahiran. Pelajar zaman sekarang perlu menyiapkan diri mereka dengan berbagai bidang kemahiran atau kepakaran untuk masa depan mereka.
Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)
Usaha berterusan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dalam memastikan UEC diterima sewajarnya diberi pujian. Biarpun tidak mendapat pengiktirafan kerajaan Barisan Nasional (BN) peringkat persekutuan, sikap konsisten beliau dalam perkara autonomi pendidikan diharap memberi manfaat pada rakyat Sarawak keseluruhannya.
Kementerian Pendidikan Tinggi kekal dengan keputusan tidak mengiktiraf UEC bagi tujuan kemasukan ke universiti awam.
Walaupun kerajaan persekutuan tidak mengiktiraf UEC, menurut beliau, UEC yang ditawarkan sekolah persendirian Cina di Sarawak diterima universiti swasta termasuk Swinburne Universitiy of Technology, Curtin University selain universiti luar negara. Bagaimanapun tegasnya hanya universiti awam di Malaysia sahaja yang tidak memberi pengiktirafan kepada UEC.
Di peringkat negeri Selangor di bawah kerajaan Pakatan Rakyat sebagai contoh, Universiti Selangor (Unisel) yang merupakan universiti milik penuh kerajaan negeri akan mengiktiraf UEC bagi sekolah menengah persendirian Cina mulai 2016 ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu bertujuan menangani masalah penghijrahan cendekiawan yang semakin serius.
"Statistik menunjukkan seramai 3,000 pelajar menamatkan pengajian mereka dengan UEC setiap tahun," kata Azmin semasa membentangkan bajet di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sesi lalu.
Sesungguhnya, peranan besar yang dimainkan sekolah jenis kebangsaan Cina dalam membangunkan modal insan haruslah diiktiraf.
Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM
Di samping pendidikan akademik, dalam masa yang sama PAS turut menyeru pendidikan Islam juga haruslah dimartabatkan. Usaha Tun Abdul Taib Mahmud sebelum ini dalam penawaran STAM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud seharusnya diteruskan ketua menteri Sarawak sekarang.
Sekolah ini menjadi sekolah luar bandar pertama di Sarawak menawarkan STAM kepada pelajarnya. Ini merupakan satu proses transformasi pendidikan yang diperkenalkan bagi membolehkan pelajar sekolah di Sarawak mendapat sijil tersebut dalam negeri sendiri.
STAM merupakan peperiksaan yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bagi membolehkan pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar dan yang setaraf dengannya.
Secara amnya, peperiksaan ini diambil selepas mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia atau semasa di Tingkatan 6. STAM diperkenalkan untuk memastikan pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) melalui satu sistem pendidikan yang seragam dan diiktiraf di dalam dan luar negara.
STAM juga diperkenalkan untuk memastikan pelajar Malaysia yang diterima masuk ke Universiti Al-Azhar dan universiti setaraf dengannya di dalam dan di luar negara, terdiri daripada mereka yang benar-benar berkelayakan dan dapat memiliki ijazah dalam jangka masa paling singkat.
STAM mula diperkenalkan pada 2000 hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Universiti al-Azhar. Ia bertujuan menyelaraskan dan menggantikan beberapa peperiksaan persendirian yang wujud sebelum itu, contohnya Sijil Tinggi Kolej dan Sijil Tinggi Ugama.
Kelebihan STAM
- Hampir setaraf dengan STPM kerana kerajaan/Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) iktiraf STAM setaraf STPM.
- Tempoh pengajian lebih pendek iaitu setahun.
- Bilangan kursus ditawarkan banyak meliputi IPTA, UIA, UKM, UM, Usim, UUM, dan UDM.
- Tidak terhad pada kursus agama semata, boleh memasuki kursus Sains Sosial dan Kemanusiaan seperti Sains Politik, Komunikasi Mass Media, Sejarah, Antropologi (UKM,UIA), Undang-undang (Usim,UDM), Ekonomi (UDM,USIM), Perbankan dan Kewangan (UUM) dan Pengajian Islam (UIA,UKM,UM,UDM), Keusahawanan (UMK) dan lain-lain kursus kesenian.
- Boleh ke Universiti Al-Azhar, Mesir.
-Yuran dan kos pengajian yang murah (yuran sekolah).
Pelajaran agama juga amat penting untuk rakyat Sarawak terutama kepada golongan muda Muslim yang masih memerlukan bimbingan antara kepentingan keduniaan dan akhirat.
Kesimpulannya, dengan kuasa autonomi pendidikan ini, PAS menggesa pengiktirafan UEC yang diusahakan ketua menteri Sarawak diteruskan di samping pengukuhan pendidikan Islam di Sarawak dengan penambahbaikan STAM di sekolah terpilih. Pendidikan yang berkualiti akan menjamin kesejahteraan rakyat Sarawak.
Kita mengharapkan agar Adenan sebagai memastikan pendidikan Islam terjamin dan diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Mereka yang mempunyai pendidikan agama bukan semata-mata untuk keagamaan saja tapi ia merangkumi pendidikan akademik dan profesional. Maka sewajar diberi pengiktirafan kerajaan Sarawak untuk keseimbangan antara keduniaan dan akhirat.
Usaha Adenan mendapatkan kuasa autonomi dari kerajaan persekutuan patut diberi sokongan. Kita tidak mahu kuasa autonomi itu nanti disalahgunakan pihak tertentu yang ada kepentingan dan menyusahkan kehidupan rakyat tempatan yang masih memerlukan kemudahan asas dan juga hak milik tanah sendiri daripada dicerobohi atau diambil alih oleh mereka berkuasa. – 12 Februari, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments