rencana
Import 1.5 juta buruh, rakyat terjerat – Yasir Tamizi
Isu 1.5 juta buruh import, apa kesannya pada kadar upah buruh?
Saya teringat suasana di Cameron Highlands. Saya pernah bertugas di sana.
Lebih kurang bertahun dulu di Cameron Highlands ada ramai pendatang asing yang mencari rezeki sebagai buruh.Ramainya berasal dari Bangladesh.
Mereka sangat rajin bekerja. Macam-macam pekerjaan mereka ceburi seperti pembinaan dan pertanian.
Pengusaha dan pemaju pun gemar mengambil mereka bekerja untuk mengusahakan kebun-kebun dan binaan-binaan mereka.
Kenapa pengusaha dan pemaju di Cameron Highlands gemar mengambil buruh pendatang asing?
Salah satu sebabnya adalah kerana upah mereka lebih murah berbanding buruh tempatan.
Ya, gaji atau upah mereka lebih murah daripada buruh rakyat Malaysia.
Tetapi langit tak selalunya cerah. Suatu hari, selepas insiden banjir Lembah Bertam dan pembongkaran isu di Cameron Highlands, kerajaan melancarkan operasi memburu pendatang asing tanpa izin.
Polis membuat sekatan jalan raya, agensi-agensi kerajaan menggasak dengan serbuan.
Operasi tersebut sangat berkesan, sehingga ketiadaan buruh asing di Cameron Highlands dapat dirasai di Ringlet, Tanah Rata atau Brinchang.
Perniagaan pengusaha di Cameron Highlands pula mula terjejas. Sumber buruh murah mereka mula tiada sebab buruh asing diberkas.
Permintaan untuk buruh mula meningkat dan mendesak. Pengusaha terpaksa mencari buruh tempatan untuk meneruskan perniagaan mereka.
Lalu mereka mula menawarkan kerja kepada buruh tempatan, Orang Asli, pada kadar upah murah seperti buruh asing, puluhan ringgit sehari.
Tetapi Orang Asli di Cameron Highlands menolak, proses rundingan gaji bermula dan pengusaha akhirnya setuju menaikkan upah Orang Asli daripada puluhan ringgit naik kepada ratusan ringgit sehari.
Taktik Orang Asli berhasil, mereka dapat upah lebih tinggi bagi kerja yang dahulunya upah lebih rendah.
Nampaknya mereka cekap dengan teori bekalan dan permintaan dalam ekonomi yang akhirnya menguntungkan Orang Asli, menguntungkan buruh tempatan, buruh rakyat Malaysia. Baguskan?
Jadi, apa persoalan yang boleh kita dapat daripada kisah buruh asing dan tempatan di Cameron Highlands?
Apa kaitan dengan import buruh 1.5 juta?
Apa kesan kepada kadar upah di Cameron Highlands semasa buruh asing berlambak di sana?
Apa kesan pada kadar upah apabila buruh asing yang berupah rendah itu berkurangan?
Apa kaitan skop Cameron Highlands dengan Malaysia?
Apa kaitan cerita di skop kecil, Cameron Highlands dengan skop yang luas, Malaysia?
Jika lambakan buruh asing yang berupah murah masuk ke dalam pasaran kerja buruh, apa jadi pada kadar upah buruh kita?
Bayangkan pula jika 1,500,000 orang buruh asing dengan kadarupah murah dibawa masuk? Apa jadi pada kadar upah sedia ada? Lebih tinggi?
Bukankah keadaan lebih baik untuk buruh jika pengusaha di Malaysia bergantung kepada buruh tempatan dengan upah lebih munasabah?
Sekurang-kurangnya, jika buruh tempatan diambil, rakyat kita mempunyai pekerjaan, upahnya mungkin lebih baik seperti hal di Cameron Highlands tadi dan upah penyelia serta pengurus barangkali juga boleh naik, bukan?
Mungkin inilah antara punca purata kenaikan gaji kita di Malaysia ini hanya sedikit sahaja saban tahun, tidak mampu mengejar kadar inflasi yang naik menggila.
Dasar gaji murah di Malaysia juga sudah tidak berdaya saing lagi untuk menarik pelabur luar untuk kekal dalam negara.
Syarikat luar mula membuang pekerja tempatan dan berpindah ke negara yang mempunyai kadar gaji lebih rendah demi survival perniagaan mereka.
Mungkin, jika kerajaan meneruskan projek mengimport berjuta buruh asing ini, dibimbangi yang terjerat nanti rakyat Malaysia lagi.
Sudahlah harga barang mencanak-canak naik, kenaikan gaji tak lebih baik.
Kita tidak menolak peranan buruh asing, malah berterima kasih kepada semua buruh asing kerana bersama-sama membangunkan negara kita.
Cuma kerajaan berwaspadalah, timbang-timbanglah sebaiknya supaya tidak terjadi kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan (lagi). Rakyat dah banyak hilang sabar. – 13 Februari, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments