rencana
Jadilah seperti penyokong Liverpool – Shamiel Fikri Ishak
Liverpool adalah antara kelab bola sepak yang mempunyai penyokong terbaik di dunia. Jadilah seperti penyokong Liverpool.
Sudah lebih 26 tahun pasukan Liverpool tidak memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Namun penyokong mereka tetap berbangga mengangkat selendang Liverpool yang tertulis “You’ll Never Walk Alone”.
Telinga mereka sudah pekak mendengar berbakul kutukan dan sindiran dari luar tentang Liverpool. Mereka tak kisah digelar “history channel” kerana bila bicara soal kejayaan Liverpool, mereka hanya mampu mengimbau sejarah lama era 80-an dan sebelumnya. Paling terbaru mungkin sepuluh tahun yang lalu bila menjulang kejuaraan Piala Juara-Juara Eropah 2005.
Semuanya hanya nostalgia. Liverpool seperti pasukan bola sepak Malaysia, yang hanya boleh berbangga dengan zaman retro saat pemain mereka berambut afro.
Cumanya kisah Liverpool belum difilemkan seperti pasukan Malaysia dalam Ola Bola sahaja.
Namun, Liverpool punya pemain ke-12 yang sangat setia dari dulu. Mereka itulah penyokong Liverpool. Mereka tetap akan menyokong Liverpool, mereka tetap menyarung jersi Liverpool.
Mereka tidak pernah berpaling tadah berpindah jadi lalang ke kelab lain, meski posisi mereka hanya penyokong di belakang bangku simpanan dan di kerusi kedai mamak.
Penyokong Liverpool baik. Jadilah seperti penyokong Liverpool.
Namun itulah, bukan mudah menjadikan mereka penyokong terbaik semata-mata. Bukan kerana fanatik tidak tentu hala. Bukan kerana romantis gila. Bukan kerana semangat dan cinta sahaja.
Hari ini, penyokong Liverpool menggambarkan mereka memang penyokong terbaik. Penyokong Liverpool mengadakan protes besar-besaran dikenali sebagai “Walk Out On 77”.
Protes ini menyaksikan ribuan penyokong Liverpool keluar meninggalkan stadium pada minit 77 ketika Liverpool menentang Southampton malam tadi sebagai simbolik kepada tanda tidak setuju dengan kenaikan harga tiket stadium yang mencecah 77 Pound sekepala.
Ini sebenarnya adalah imej yang sangat cantik. Ia gambaran bagaimana protes dan penentangan itu bukan tanda kebencian semata-mata.
Sebaliknya protes itu adalah gambaran ada rasa “sense of belonging” dan tanggungjawab.
Dalam protes ini, tergambar semua nilai itu dalam komuniti peminat bola sepak.
Dalam protes ini, penyokong Liverpool mengangkat sepanduk yang tertulis “Let me tell you a story of a poor boy” sebagai meraih simpati.
Bagi mereka, penyokong adalah penyokong, bukan pelanggan.
Namun mereka tetap mengangkat selendang “You’ll Never Walk Alone” bersama-sama.
Mereka protes, namun mereka tetap cinta kelab mereka, Liverpool.
Ironinya dalam protes “Walk Out On 77” yang banyak sekali tempat duduk yang kosong, terzahir kuasa penyokong dalam sebuah pasukan.
Liverpool yang semalam mendahului 2-0 serta merta bolos 2 gol pada minit 82 dan 88 menjadikan keputusan seri.
Mungkin kerana kecuaian pemain pertahanan. Mungkin juga kerena kelemahan Liverpool dalam menghadapi serangan “set piece” pasukan lawan.
Tapi yang pasti salah satu sebabnya ialah Liverpool tidak mampu berjuang tanpa penyokong terbaik mereka bersama-sama di belakang!
Ya, ini bukan rencana sukan. Tapi ini renungan kemasyarakatan. Ini gambaran nilai masyarakat sivil yang menjalankan tugas mereka yang wujud meski dalam sebuah komuniti peminat bola sepak.
Ini juga renungan kepada diri kita rakyat Malaysia.
Betullah, Liverpool hanyalah sebuah pasukan bola sepak, yang melalaikan dan menghiburkan.
Namun penyokong mereka melakukan perkara yang sepatutnya, meski semuanya sekadar soal harga tiket stadium.
Bagaimana pula kita, rakyat di Malaysia.
Apakah kita akan terus menerus mengaku mengangkat semangat patriotism dengan berdiam diri bila harga cukai, barangan dan tiket pengangkutan awam naik?
Apakah kita akan terus menerus mengaku cinta tanah air, tapi sekadar berdiam diri menatap tugu negara saat harga diri negara kita jatuh kerana perjanjian TPPA?
Apakah kita masih bangga bila mengibarkan negara kita saat bermacam skandal kehilangan wang negara diketahui negara lain?
Bukan kerana benci, bukan kerana marah, bukan kerana pentingkan diri.
Tapi kerana tanggungjawab, kerana cinta, kerana rasa kebersamaan dan rasa “sense of belonging” kita, malah kerana rasa sokongan kita, kita tidak wajar berdiam diri!
Jika ada contoh penyokong terbaik di dunia, maka ianya adalah penyokong Liverpool.
Kita patut contohi penyokong Liverpool. – 7 Februari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments