rencana
Jangan sampai Najib malukan Bangla yang bakal tiba – Shahbudin Husin
Apa agaknya yang sedang berputar ligat dalam kotak fikiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekarang apabila membaca kenyataan terbaru pengarang The Wall Street Journal (WSJ)?
Tidur lenakah Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali malam tadi?
Apa lagi yang mahu mereka lontarkan apabila pengarang kewangan WSJ, Ken Brown secara terbuka memberitahu dunia yang pihaknya menolak andaian wang RM2.6 bilion diterima Najib merupakan derma daripada keluarga Diraja Arab Saudi, sebaliknya dengan yakin menyatakan ia datang daripada pelbagai syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Laporan kami selama berbulan-bulan menunjukkan wang itu bukan datang daripada keluarga Arab Saudi tetapi daripada syarikat dan akaun bank yang mempunyai hubungan dengan 1MDB.
"Dan seperti anda sedia maklum, laporan kami tidak pernah dipertikaikan lagi dan kami ada banyak bukti sokongan," tegas Ken dalam wawancara dengan ABC News Australia.
Bagaimana Najib dan Apandi mahu menepisnya sedangkan dalam masa yang sama WSJ juga menegaskan mereka mempunyai banyak bukti sokongan?
Beranikah mereka terus mempertahankan wang itu tetap derma daripada keluarga Diraja Arab Saudi?
Bersediakah Najib dan Apandi menghadapinya jika WSJ dalam laporannya selepas ini mendedahkan satu demi satu bukti-bukti sokongan yang mereka miliki?
Pilihan kini di tangan Najib. Berterus terang dan berlaku jujur dengan mengiakan wang itu memang daripada 1MDB barangkali bukanlah pilihan yang kita harapkan akan dilakukan Najib.
Sempena 40 tahun penceburannya dalam politik yang bakal diraikan Sabtu ini, Najib hakikatnya tiada pilihan lain selain melakukan saman berganda terhadap WSJ bagi mempertahankan dirinya.
Hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ berkaitan pendedahan wang RM2.6 bilion yang dulunya diheboh-hebohkan tetapi sehingga ini masih belum menjadi kenyataan mesti disekalikan dengan saman terhadap dakwaan terbaru yang mengatakan wang itu daripada 1MDB.
Jika tidak berani mengambil tindakan saman terhadap WSJ, adalah memalukan bagi 30 juta rakyat Malaysia, lebih 5 juta pendatang asing sedia ada dan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang bakal tiba, untuk terus mempunyai perdana menteri yang mempunyai gelaran paling panjang dalam dunia sebagaimana selalu disebut oleh tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin iaitu "Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone Mohd Najib Abdul Razak". – shahbudindotcom.blogspot.com, 19 Februari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments