rencana

Jawatan perdana menteri cuma 2 penggal – Muhammad Muhd Taib

Banyak negara di dunia mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri atau presiden kepada 2 penggal sahaja.

Contohnya Amerika Syarikat (AS). Yang terdekat dengan negara kita di Indonesia juga sudah ikut memutuskan jawatan presiden cuma boleh dipegang seseorang maksima 2 penggal.

Obama akan tamat tempoh jawatan presidennya awal tahun depan. Begitu juga Susilo Bambang diganti dengan Jokowi sebagai presiden Indonesia.

Sebenarnya kedua-dua Obama dan Bambang masih muda dan masih mampu menjawat jawatan presiden di negara masing-masing.

Mengapa mereka tidak boleh meneruskan memegang jawatan presiden ?

Ini disebabkan daripada segi undang-undang di AS dan di Indonesia seseorang itu cuma dibenarkan memegang jawatan presiden selama maksima 2 penggal sahaja. Itu pun jika rakyat merestui.

Seorang perdana menteri atau presiden yang memegang terlalu lama jawatannya sudah pasti akan mewujud dan mempunyai pengikut yang ramai dan setia. Pengikut-pengikut yang setia ini akan wujud dari peringkat atas hingga ke bawah (ke akar umbi).

Ini perlu supaya pemimpin nombor satu akan sentiasa kukuh dan kuat dan mempunyai pengikut ‘hardcore’ yang ramai lagi setia.

Ukuran setia ini tidaklah semestinya mereka cerdik dan pandai. Pengikut yang cerdik dan pandai kadangkala boleh menyusahkan pemimpin di atas.

Cukup sekadar ramai pengikut ‘hardcore’ dan fanatic, tetapi setia.

Rakyat di AS dan Indonesia barangkali sudah sedar, membenarkan seseorang itu memegang jawatan tertinggi di negara masing-masing terlalu lama lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Bila seseorang itu memegang jawatan tertinggi terlalu lama sudah tentu dia memerlukan sokongan yang kuat dari para pengikut.

Dia akan mewujudkan kumpulan pengikut yang setia membuta tuli. Yang tidak sehaluan dengan dia akan disisih dan tidak diendahkan.

Lama kelamaan pemimpin ini akan menjadi angkuh kerana dia berasa dia sangat kuat. Dia akan hanya dikelilingi dengan 'Yes man'. Dia akan bertambah angkuh dan tidak lagi menjadi seorang yang mudah ditegur.

Jika seseorang pemimpin itu sedar dia cuma akan menjawat jawatan tertinggi maksima 2 penggal, dia tidak perlu mencari dan mewujudkan begitu ramai pengikut yang setia.

Sebaliknya dia boleh melantik ramai pemimpin yang cerdik dan boleh membantu beliau untuk memajukan negara. Sama ada seseorang itu pengikut beliau atau tidak, tidaklah penting. Yang lebih penting pimpinannya baik dan diterima rakyat.

Selepas beliau tamat tempoh maksima 2 penggal, orang lain boleh mengambil alih jawatan beliau.

Orang yang mengambil alih jawatan ini juga kemudian boleh melantik mereka yang cerdik dan berkaliber ikut sama mentadbir negara. Dia tidak perlu risau sama ada dia mempunyai pengikut atau tidak. Cukup 2 penggal dia boleh diganti dengan orang lain pula. Begitulah seterusnya.

Di Malaysia, mungkin di peringkat awal dahulu seseorang pemimpin boleh memegang jawatan perdana menteri selama 22 tahun.

Tapi saya berpendapat sudah sampai masanya negara hari ini perlu menghadkan seseorang itu dari menjawat jawatan tertinggi terlalu lama melebihi lebih dari 2 penggal. Sama ada dia boleh menyambung ke penggal ke-2 bergantung sama ada pemimpin itu mendapat sokongan dari rakyat atau tidak.

Apa yang diperlukan negara ialah pemimpin yang dipilih untuk memegang jawatan tertinggi ini menumpu sepenuh tenaga untuk memajukan rakyat dan negara. Dia tidak perlu kepada pengikut dan penyokong ‘hardcore’ dan fanatik. – 26 Februari, 2016.

* Tan Sri Muhammad Muhd Taib adalah bekas naib presiden Umno, menteri Kabinet dan menteri besar Selangor.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments