rencana

Kanun Keseksaan patut dipinda dengan hukuman tembak sampai mati – Syed Iskandar

Dewan Rakyat akan terus bersidang tidak lama lagi. Tidak semua pindaan rang undang-undang harus bermula daripada Jabatan Peguam Negara sebelum dihantar ke Kabinet khususnya jika yang hendak dipinda itu secara tidak langsung berkaitan tugas peguam negara serta pihak yang berada dalam Kabinet.

Mekanisme meninggalkan Jabatan Peguam Negara dan Kabinet atas sebab kemungkinan konflik kepentingan boleh ditentukan menerusi perintah mahkamah sekiranya peguam cara negara ingin mengambil sikap berkecuali.

Seksyen 218 Kanun Keseksaan yang baru-baru ini dirujuk dengan spesifik seorang bekas pengarah badan pencegah rasuah di Malaysiakini adalah mengenai penjawat awam yang cuba membantu seseorang supaya terlepas daripada hukuman undang-undang dengan membentuk suatu rekod atau tulisan tidak betul.

Seksyen 218 Kanun Keseksaan juga merujuk kepada perbuatan penjawat awam yang membantu seseorang mengelakkan daripada harta hartanya dirampas atas pelbagai kesalahan jenayah.

Hukuman ke atas penjawat awam untuk kes sebegini amat ringan sekali iaitu penjara 3 tahun dibandingkan dengan kesalahan puluhan bilion ringgit yang mungkin dilakukan seseorang yang dibantu beberapa penjawat awam.

Ini kerana sekiranya ada yang menerima suapan satu bilion ringgit seorang, hukuman penjara 3 tahun tidak akan memberi apa-apa kesan kerana kekayaan serta kemewahan yang dimiliki akan bertambah semasa berada di dalam penjara dengan memastikan beberapa pihak menjaga dengan baik kepentingan pelaburan dan lain-lain aktiviti perniagaan semasa dalam penjara.

Di China umpamanya hukuman mati dikenakan kepada pesalah rasuah khususnya penjawat awam.

Justeru sudah tiba masanya Seksyen 218 Kanun Keseksaan dipinda untuk mengenakan hukuman tembak sampai mati oleh skuad penembak tentera kepada mana-mana penjawat awam hatta yang paling kanan sekalipun yang cuba melindungi mana-mana orang yang melakukan jenayah serius seperti menjadi dalang pembunuhan kejam bersiri, memindahkan harta dan wang negara dengan puluhan alasan yang diketawakan rakyat Malaysia mahupun program bual bicara perniagaan stesen TV asing beberapa negara utama seluruh dunia.

Penjenayah berat melakukan kesalahan berat sudah jelas cuma menunggu dibuktikan bersalah dalam perbicaraan di mahkamah terbuka sahaja. Namun jika ada yang dipertanggungjawabkan dalam menguatkuasakan undang-undang menyalahgunakan kuasa mereka, tiada salahnya supaya undang-undang hukuman tembak sampai mati di perkenalkan secara retrospektif oleh Parlimen.

Tiada pengecualian sekalipun penjawat awam berkenaan sudah tua bangka sekalipun patut ditembak sampai mati sebagai pengajaran mengambil contoh undang-undang tegas beberapa negara dunia kepada penjawat awam yang menerima suapan. 

Namun untuk lebih berperikemanusiaan suapan yang dimaksudkan mestilah berjumlah berbilion ringgit dan penjenayah utama dikaitkan pula dengan pelbagai pembunuhan kejam bersiri sebagai dalang utama.

Parti PAS yang kini sudah terlihat menjalinkan kerjasama dengan Umno  mengejutkan umum apabila timbalan presiden PAS membuat kenyataan yang peguam negara patut mengkaji untuk mengenakan hukuman lebih berat pada penjawat awam yang melindungi pesalah/penjenayah. Tahniah.

Terkejut umum bila mengetahui ada “Arab gila” yang sanggup menderma berbilion ringgit malah dilaporkan ada pertemuan dengan penderma dan selepas itu ia menjadi lebih menarik bila pelbagai perkara mula terdedah, tiba tiba penderma dilaporkan mati.

Ia tiada perbezaan dengan watak Ramlee, Aziz dan Sudin dalam filem Pendekar Bujang Lapok yang mengatakan mereka cuma belajar 4 huruf sahaja sebelum cikgu mereka mati.

Sidang akhbar oleh penjawat awam yang mengumumkan derma, kemudian penderma mati kini bertambah menarik bila terbit laporan media seorang dibayar untuk mengaku memberikan derma dan bertambah meragukan selepas itu bila ada putera Arab mengaku yang ia bukan wang derma tetapi pelaburan walhal penjawat awam mengadakan sidang akhbar ia derma.

Mengumumkan wang berkenaan satu pelaburan bermakna Arab berkenaan bertindak bijak mendapat wang percuma secara mudah dari negara kita. Lagipun bukti pemulangan wang tidak jelas memandangkan serata negara membekukan pelbagai akaun.

Bolehkah wang berpindah secara dalam talian dari satu negara ke satu negara bila akaun dibekukan? Tidak, selagi arahan pembekuan tidak dibatalkan.

Malah sebuah artikel yang disiar di laman jebatmustdie.wordpress.com pada 2 Februari 2016 menyenaraikan  40 jawapan bercanggah yang diberikan mengenai status wang  berkenaan.

Saranan penjawat awam berkenaan untuk meminda Akta Rahsia Rasmi untuk mengenakan hukuman berat kepada pembocor rahsia patut diabaikan kerana sila Google artikel terdahulu, ‘Tiada kerahsiaan terpakai bagi perbuatan jenayah’.

Lagipun jika ia dipinda sekalipun orang pertama yang patut didakwa ialah penjawat awam berkenaan kerana bukan sahaja membocorkan rahsia malah memanggil sidang media ketika rahsia dibocorkan dengan mempamerkan gambar rajah carta berwarna pergerakan wang-wang haram yang dipindahkan.

Namun definisi rahsia negara patut cuma dihad dan dikekalkan kepada hal keselamatan dan pertahanan negara yang tiada kaitan langsung dengan jenayah peribadi seseorang atau beberapa orang tertentu yang berkebetulan memegang jawatan tinggi ataupun menjadi pasangan aktif dalam melakukan jenayah.

Kini sejarah Imelda Marcos Filipina sedang berulang di mana ketika melarikan diri pada 1986, kira kira AS$4 bilion dibekukan kerajaan Switzerland yang mengambil masa 20 tahun untuk dipulangkan sepenuhnya dan tahun ini 2016 kira kira AS$4 bilion milik kepentingan Malaysia juga dibekukan negara itu.

Ini tidak termasuk pembekuan akaun-akaun pelbagai negara seluruh dunia termasuk Singapura, Hong Kong, Amerika dan negara Timur Tengah.

Namun amat malang sekali jika negara mempunyai beberapa penjawat awam kanan yang masih berdegil, keras kepala, keras keng, keteqaq untuk terus bersama penuh bergaya mutu dan keunggulan dalam melindungi penjenayah.

Justeru, eloklah Seksyen 218 Kanun Keseksaan dipinda segera dengan kesan retrospektif oleh Dewan Rakyat. Negara akan beruntung besar jika penjawat awam sebegini dihukum tembak sampai mati oleh skuad penembak tentera malah patut bergembira jika undang-undang baharu dicadangkan ini dapat dilaksanakan ke atas mereka berkenaan, insya-Allah. Wallahualam. – 9 Februari, 2016.

* Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar adalah peguam bela dan peguam cara di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments