rencana

Keghairahan memegang jawatan – Azizi Ahmad

Sesetengah orang amat gembira dan bangga jika mereka diberi atau dilantik untuk memegang jawatan di dalam sesebuah organisasi.  Ada juga yang sanggup melobi sama ada dengan cara yang baik mahupun secara tidak beretika.

Jika dilantik mereka turut akan mendapat gelaran seperti pengarah, ketua jabatan, ketua bahagian atau ketua unit yang menunjukkan mereka kini memegang sesuatu jawatan atau kedudukan dan akan mengetuai sesuatu jabatan, unit dan sekumpulan kakitangan lain.

Ketika dilantik mereka sering menyatakan akan sedaya upaya menjalankan amanah dan tanggungjawab serta meminta kerjasama daripada semua kakitangan dan rakan setugas. 

Kenyataan retorik seperti  “bekerjalah bersama saya, berdampinglah dengan saya” dan “pintu saya sentiasa terbuka” merupakan ayat manis dinyatakan dan biasanya hanya mampu bertahan dalam masa yang singkat. Pemegang jawatan kemudiannya akan berubah daripada segi sikap dan tingkah laku mereka.

Mereka sebenarnya diuji Allah tanpa disedari. Dan ini juga diterangkan di dalam hadis yang bermaksud “Ingatlah! Masing-masing kamu adalah pemimpin dan masing-masing kamu akan dimintai pertanggungjawaban atas apa yang dipimpinnya.” ( Riwayat Muslim)

Melobi untuk mendapat jawatan membayangkan seseorang itu seakan-akan gila kuasa apatah lagi jika selepas memegang jawatan dan sudah sampai tempoh masih mahu terus menyambung kedudukan yang dipegang.

Abdul Rahman Ibnu Samurah berkata, Nabi berkata kepadaku: Hai Abdul Rahman Ibnu Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Menjadi seorang ketua bukanlah perkara mudah. Mereka yang ghairah memburu pangkat dan kedudukan belum tentu dapat memikul sesuatu tanggungjawab itu dengan baik. Orang yang ghairah dengan jawatan berkemungkinan besar mempunyai kepentingan tertentu.

Keghairahan tersebut akan menyebabkan timbulnya huru-hara dan rasa tidak puas hati daripada golongan penentang. 

Jika jawatan itu ditawarkan kepada seseorang yang paling layak, insya-Allah bebanan tanggungjawab itu walau bagaimana berat sekali pun, akan mendapat bantuan daripada Allah. Hakikatnya, seseorang itu dilantik secara sebulat suara dan dipersetujui. 

Sabda Nabi lagi yang bermaksud: Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu. 

Adapun pemimpin yang jahat di kalangan kamu ialah orang yang kamu benci mereka, dan mereka pun benci kepada kamu. Kamu melaknat mereka dan mereka juga melaknat kamu. Auf bin Malik bertanya kepada Rasulullah: Apakah kita tidak boleh menentang mereka? Sabda baginda: Jangan menentang mereka selama mereka masih mendirikan sembahyang di kalangan kamu. (Hadis riwayat Muslim) 

Setiap pemegang jawatan yang berkedudukan hendaklah menjalinkan hubungan baik dengan rakan sekerja supaya tidak berlaku keadaan benci-membenci di antara satu sama lain. 

Islam melarang umatnya menentang ketua sekalipun ketua itu melakukan kesilapan atau kesalahan selagi mana dia mendirikan sembahyang sebagai bukti dia masih lagi Islam. 

Salah satu daripada tanda keadilan seseorang yang bergelar ketua ialah wujudnya ikatan kasih sayang dan kemesraan di antara seorang ketua  dengan rakan sekerja .

Betapa banyak manusia tertipu kerana pangkat, jawatan, kedudukan, tertipu terhadap diri sendiri kerana kedudukan dan tertipu kerana kemaqamannya. Jangan kita jadikan gelaran di dunia untuk keangkuhan.

Jawatan, gelaran dan kedudukan itu melalaikan dan membuat kita berasa kita adalah orang yang terbaik sekali dalam semua bidang.

Pangkat dan jawatan biasanya membuatkan kita lupa diri tanpa kita sedari.  Hasil kerja yang berkat lebih penting daripada gelaran, jawatan dan anugerah. – 2 Februari, 2016.       

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments