rencana

Keputusan lulus usul TPPA bukan kehendak rakyat – Mohd Nizam Mahshar

Walaupun Parlimen sudah pun bersetuju dengan majoriti memilih untuk “menandatangani dan meratifikasi” Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), BantahTPPA ingin menegaskan sekali lagi kelulusan usul ini di Parlimen bukanlah berdasarkan kehendak rakyat, pandangan yang sepatutnya didengari ahli Parlimen.

Pada 27 Januari 2016, Dewan Rakyat mengundi usul TPPA dengan sebanyak 127 undi menyokong berbanding 84 undi menentang.

Pada keesokan harinya, Dewan Negara juga mengambil langkah yang sama. Ini menjadikan dewan yang mulia ini hanyalah tempat untuk pengesahan sahaja tanpa melihat kesan perjanjian ini yang lebih teruk kepada rakyat Malaysia dan generasi masa hadapan.

TPPA dijangka ditandatangani pada 4 Februari ini di New Zealand. Walaupun Malaysia menegaskan keputusan untuk menyertai perjanjian perdagangan bebas itu adalah hak mutlak Putrajaya, namun keputusan untuk membahaskan TPPA ke Parlimen adalah berpunca daripada tekanan rakyat yang merasakannya ia satu perjanjian yang tidak adil.

Malah sehingga kini, tiada keputusan yang jelas untuk menandatangani TPPA memandangkan terdapat analisis lain yang bercanggah mengenainya.

Begitu pun, peluang yang diberikan untuk membahaskan usul ini membantu ahli Parlimen terutamanya daripada pembangkang memberikan hujah yang bernas dan disokong oleh fakta serta analisa bagi menyatakan Malaysia tidak patut menyertai TPPA.

Antara perkara dikhuatiri adalah persoalan mengenai keuntungan ekonomi untuk Malaysia, sebagaimana yang dimaklumkan dalam kajian kos dan manfaat yang dibuat PriceWaterhouse Coopers (PWC).

Laporan itu menjangkakan Malaysia akan mengalami ketidakseimbangan perdagangan hasil penyertaan dalam TPPA.

Malah, unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang akan meningkat juga adalah hasil daripada andaian yang tidak munasabah yang realitinya tidak sama seperti yang terkandung di dalam teks TPPA.

Lebih memburukkan keadaan, terdapat 24 bab bukan perdagangan di dalam TPPA seperti pengukuhan perlindungan harta intelek terhadap ubat-ubatan akan menyebabkan kemasukan ubat generik ke pasaran menjadi lebih sukar di samping mengakibatkan kebarangkalian harga ubat di Malaysia akan kekal mahal.

Hal yang sama turut boleh berlaku kepada bidang pendidikan, sekiranya tempoh perlindungan hak cipta dipanjangkan akan menyebabkan bahan untuk pendidikan akan kekal mahal dan sukar untuk dimiliki.

Di samping itu, Malaysia juga turut terdedah kepada tindakan saman berbilion ringgit melalui mekanisme Penyelesaian Pertelingkahan Pelabur dan Negara (ISDS), sekiranya sebarang tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi menguntungkan rakyat, ditafsirkan sebagai merugikan pihak pelabur.

Ini adalah sebahagian kesan yang terpaksa ditanggung rakyat, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Malangnya, kerajaan masih berkeras ingin meneruskan agenda TPPA dengan bersungguh sungguh, tanpa memikirkan kesan negatifnya kepada rakyat.

Mengapa kerajaan perlu tergesa gesa untuk menandatanganinya, sedangkan implikasi terhadap perjanjian yang kompleks ini masih lagi perlu diperhalusi?

Mengapa meminta Parlimen bersetuju untuk “meratifikasi” sedangkan kajian untuk melihat kesan pindaan tersebut masih belum dijalankan?

Lebih teruk, Malaysia akan terpaksa meminda perundangan negara semata-mata hanya ingin menjayakan TPPA berdasarkan kemahuan Amerika Syarikat, malah melebihi daripada jumlah 26 pemindaan perundangan yang dinyatakan kerajaan.

Ini bermakna Amerika Syarikat akan meminta Malaysia mengubal dengan sangat terperinci seperti mana yang mereka mahukan, sehingga mengganggu polisi dan perundangan negara sama seperti yang mereka lakukan terhadap negara lain di dalam perjanjian perdagangan bebas yang hampir sama.

Bantah TPPA sekali lagi ingin mengingatkan keputusan Parlimen untuk “menandatangani dan ratifikasi” TPPA adalah bercanggahan dengan roh demokrasi sebenar.

Oleh itu, sebarang langkah bagi menandatangani TPPA kerajaan pada 4 Februari ini di New Zealand bukanlah di atas kehendak rakyat.

Bantah TPPA sekali lagi menegaskan Malaysia tidak perlu untuk memilih jalan yang penuh dengan berliku ini. Ia masih tidak terlewat untuk melakukan perkara yang betul demi kebaikan rakyat Malaysia.

Bantah TPPA akan terus meneruskan kempen serta bantahan terhadap TPPA. – 2 Februari, 2016.

* Mohd Nizam Mahshar ialah pengerusi, Bantah TPPA.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments