rencana
Kerana Tuhan atau ego tidak bersempadan – Nizam Bakeri
Kita sudah menganggap perbezaan agama dan ras yang wujud sebagai 1 pertarungan yang perlu dimenangi. Kalau kita berlembut, agama kita diinjak. Kalau kita bertolak ansur, maknanya kita sudah kalah.
Minggu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berura-ura mengeluarkan garis panduan pengasingan penggunaan troli bagi barangan halal dan tidak halal di pasar raya.
Hal ini tidak mengejutkan bagi yang mengikuti perkembangan isu ini sejak tahun lalu.
Puncanya? Seperti biasa, media sosial yang kini sudah dinaik taraf sebagai mahkamah segera. Muat naik, komen, dan hukum. Semudah 1-2-3 bukan?
Banyak foto yang dipapar tentang penggunaan troli yang dianggap kurang sesuai, dari pembelian daging babi sehinggalah anjing peliharaan yang dibawa bersiar-siar di dalam troli.
Semua ini sudah pasti menakutkan umat Melayu di Malaysia.
Saya lebih selesa dengan pendirian pendakwah bebas Ustaz Wan Ji dalam isu ini.
Tidak perlu asingkan troli, kerana daging babi yang dijual di pasar raya dijual dalam bungkusan.
Ini logik mudah yang dapat diperhatikan semua pengunjung pasar raya. Tidak pernah lagi saya lihat daging haiwan apa sekalipun dicampak terus ke dalam troli selepas selesai dilapah sehingga wujud titis darah yang mampu dikesan dari bahagian lauk mentah sehingga ke kaunter pembayaran.
Tidak ada. Belum pernah saya jumpa. Sekalipun ada, mengapa pula tidak kita perjuangkan pengurusan inventori yang lebih bersih? Mengapa bersegera mahu menampal label dan melakar garis pemisah?
Inilah yang lebih menggamit perhatian saya, betapa isu ini sebenarnya bukan bertitik-tolak tentang hukum fiqh, apatah lagi perbahasan antara mazhab dalam soal bersuci.
Ini soal sikap.
Kita sudah menganggap perbezaan agama dan ras yang wujud sebagai 1 pertarungan yang perlu dimenangi. Kalau kita berlembut, agama kita diinjak. Kalau kita bertolak ansur, maknanya kita sudah kalah.
Kalah dengan siapa? Yang menang dapat apa? Di manakah gelanggang pertarungan ini? Siapakah peserta dan pengadilnya?
Saya bukan agamawan, namun izinkan saya untuk memetik sepotong ayat suci yang semerta hinggap di fikiran tentang hal ini:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). (Al-Hujurat:13)
Kita mahu berkenalan dan beramah mesra, yang mustahil untuk dilakukan andai kita lebih gopoh mahu memisah dan membezakan.
Lebih malang apabila tindakan sebegini menyebabkan Islam sudah tidak lagi dilihat sebagai agama damai dan toleran namun sekadar mengajar penganutnya pantas menuding jari dan melolong “haram! haram! haram!”
Dunia ini kita kongsi bersama. Bersederhanalah dalam melayani ragu dan was-was dalam hati. Jika tidak, lebih banyak lagi pengasingan yang bakal berlaku.
Mungkin umat Melayu selepas ini perlu sentiasa menggalas beg berisi pinggan mangkuk dan alatan dapur setiap kali keluar dari rumah. Manalah tahu pinggan mangkuk di kedai pernah disentuh daging nan haram.
Atau kita perlu ruang pejalan kaki yang berbeza di sekitar Kuala Lumpur. Manalah tahu ada kasut dan selipar orang lain yang terpijak tinja anjing dan babi dalam perjalanan ke kota.
Manalah tahu, manalah tahu, manalah tahu.
Dalam dunia yang terlalu luas ini, pengasingan hanya akan menjadikan kita lebih jauh dan saling curiga. Semakin lama kita akan semakin percaya kita dalam pertarungan yang sebenarnya tidak wujud.
Kali terakhir manusia diasingkan menurut ras dan agama sehingga perlu dipakai lencana pelbagai warna, kalau tidak silap saya, 80 tahun lalu di kem tahanan yang membunuh jutaan manusia di bawah telunjuk Hitler.
Ada petikan yang saya kurang pasti milik siapa, namun kerap juga disebar di media sosial. Saya fikir mesejnya manis dan perlu kita insafi:
“Andai dengan beragama itu menjadikan kita pantas menghukum, biadab, kasar, dan pengumpat; maka harus disemak semula, apa yang kita sembah itu Tuhan atau ego yang tidak bersempadan.” – nizambakeri.com, 6 Februari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments