rencana

Kisah demokrasi palsu vs Kisah cinta palsu - Ahmad Mustaqim Zolkafali

Dalam mana-mana kisah cinta palsu, paksinya jelas berkiblatkan nilai materialisme, ketidakikhlasan dan berkepentingan. Demi secebis kemewahan dan kebendaan, cinta menjadi taruhan.

Itulah kisah cinta palsu yang tak perlu dihuraikan lagi kerana semua sedia maklum luarannya indah, hakikatnya membinasakan.

Perkembangan produk ‘palsu’ secara global

Tinggalkan sejenak kisah cinta palsu. Kini beralih kepada produk “palsu”. Diakui, produk palsu merupakan produk yang menjadi sokongan terhadap industri.

Contohnya, dalam seni hiburan, inovasi produk bulu mata palsu dikatakan dapat memberikan kesan yang lebih dramatik terhadap pemakainya (meskipun terdapat larangan dalam agama). Manakala gigi palsu (artificial) pula merupakan produk inovatif yang dihasilkan Cosmetic Dental Industry yang mampu menyelesaikan masalah gigi.

Lebih menakjubkan apabila seorang warga Palestin berjaya mencipta kaki palsu bionic yang membantu orang lumpuh untuk berdiri (sumber: Shehab News Agency). Semua produk palsu tersebut mampu memberikan kesan yang baik kepada pengguna.

Industri palsu yang membinasakan

Bukan semua produk palsu memberikan kesan positif kepada masyarakat. Antaranya sindiket penjualan sijil palsu (daripada diploma hinga PhD), menjadi semakin berleluasa sehingga pernah ditulis saudari Debra Chong dalam artikelnya beberapa tahun lalu.

Industri palsu juga pernah melahirkan ‘intelektual palsu’ akibat fenomena plagiat penulisan tesis yang turut berlaku terhadap ahli akademik yang ternama.

Masalah demokrasi palsu

Ramai yang mengambil berat masalah-masalah yang tercetus dalam produk palsu, malangnya begitu sedikit yang ambil peduli dengan masalah demokrasi palsu sedangkan natijahnya amat besar.

Ada apa dengan demokrasi palsu?

Menurut Dr Maszlee Malik, demokrasi palsu atau pseudo democracy adalah masalah yang membelenggu negara umat Islam. Ramai yang menyangka dengan adanya sistem pilihan raya, sesebuah negara itu adalah negara demokratik. Hakikatnya demokrasi yang subur bukan hanya disebabkan wujud pilihan raya.

Jom kenali demokrasi palsu. Apakah pula kesannya?

Ciri-ciri utama demokrasi palsu ialah apabila hak  rakyat dinafikan. Penafian hak boleh berlaku dalam banyak keadaan antaranya dengan menafikan kebebasan mengundi, kebebasan bersuara dan kebebasan berekspresi.

Kesan buruk demokrasi palsu adalah pengekalan kuasa rejim autoritarian yang tidak akan berlaku sama sekali walaupun rakyat mengundi dalam setiap siri pilihan raya.

Demokrasi palsu benih kepada ekstremisme

Demokrasi palsu atau pseudo democracy berdasarkan ciri sekatan terhadap kebebasan bersuara akan menyemarakkan lagi ekstremisme dan radikalisme kerana idea yang ekstrim tersebut tidak dicabar.

Apabila idea tersebut terpendam, semakin mudah untuk mereka bertanggapan idea mereka benar. Masalah ini terjadi akibat daripada sekatan kebebasan bersuara yang ditunjangi demokrasi palsu.

Cara nak banteras?

Menurut pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu lagi, bagi membanteras ekstremisme, pintu kebebasan bersuara melalui pentas dialog harus diperbanyakkan.

Hal ini benar kerana melalui ruang kebebasan bersuara, idea pemikiran anak muda dapat diketengahkan meskipun kadang kala idea mereka bersifat fallacy, mengarut dan salah.

Namun melalui ruang kebebasan yang ada seperti ruang berdialog, idea ekstrim mereka dapat diperbetulkan kerana masyarakat akan menghakimi mereka.

Oleh yang demikian, corak pemikiran anak-anak muda tersebut berpeluang untuk diperbetulkan dan dapat diselamatkan dari tergelincir kepada fahaman ekstremisme. Maka ketika itu, mereka akan sedar mereka berpegang pada bentuk pemikiran yang salah.

Ketakutan terhadap kebebasan berdialog dan kebebasan media?

Apabila dibuka ruang kebebasan berdialog dan kebebasan media segelintir kita membayangkan akan wujud peluang bagi fahaman ekstremisme mengambil kesempatan untuk mengembangkan pemikiran mereka kepada ruangan awam.

Hakikatnya ekstremisme dan radikalisme lebih cepat membiak dalam negara umat Islam yang ditadbir rejim autokratik yang menyekat segala bentuk kebebasan.

Apabila mulut ditampal dari bersuara dan penipuan dalam pilihan raya atas nama demokrasi maka akan wujud kumpulan yang putus asa dengan sistem demokrasi.

Mereka beranggapan demokrasi bukan sahaja sebuah sistem yang tidak Islamik malah ia adalah boneka Barat yang harus diperangi. Realitinya, ia bukan demokrasi dalam erti kata sebenar, sebaliknya demokrasi palsu.

Peluang Isis mempromosi pemikirannya

Bagi aktivis Isis yang menggunakan retorik perjuangan negara ‘khilafah’ mereka beranggapan demokrasi adalah boneka Barat yang berfungsi untuk menghancurkan negara umat Islam.

Hal ini berlaku dalam model intervensi Barat yang dilakukan terhadap negara Libya yang kononnya untuk mempromosi pendemokrasian, hakikatnya untuk menghancurkan Libya.

Akhirnya, muncul kumpulan yang menolak sistem demokrasi dan melancarkan ‘jihad’ bagi melawan negara kufar dan sekutunya. Sedangkan, kebanyakan negara  Islam sedang dibelenggu dengan masalah demokrasi palsu.

Pemikiran ekstrim terus tertanam  iaitu demokrasi adalah ciptaan musuh Islam dan ia adalah pertembungan antara Islam dan kufar. Akhirnya kumpulan ekstrimis ini terus menerus mencemari maksud sebenar jihad sehingga dikaitkan dengan keganasan.

Bendung dari peringkat rebung sebelum jadi buluh!

Mahasiswa merupakan kumpulan yang diakui mempunyai paling banyak akses terhadap maklumat bersesuaian dengan tahap intelektualisme mereka. Oleh itu, gerakan anti ekstrimisme juga harus digerakan aktivis dan gerakan mahasiswa.

Dengan mengambil contoh beberapa gerakan mahasiswa di Malaysia seperti IKRAM Siswa, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gerakan Demokratik Belia dan Remaja Malaysia (DEMA) wajar untuk terus diberikan ruang untuk mengekspresi pandangan mereka dalam banyak ruangan sama ada media massa, media alternatif mahupun pentas pidato serta dialog.

Sebagaimana yang terkandung dalam Gagasan Kampus Harmoni iaitu warga kampus bebas bersuara dan diiktiraf. Restuilah golongan mahasiswa untuk terus beraksi dalam “rancangan realiti kehidupan” dan biarkan masyarakat menjadi juri yang akan menilai ‘suara’ dan idealisme mahasiswa.

Ia jauh lebih baik daripada berlaku pemendaman idea yang ekstrim lalu diterjemahkan dalam bentuk keganasan akibat proses pencerapan maklumat yang salah serta tidak berlaku berbahasan idea yang sihat dalam kalangan mahasiswa.

Politik nilai dalam pilihan raya kampus

Menyedari kepentingan generasi muda yang akan mewarisi kepimpinan negara, maka masyarakat kampus perlu mendokong idea politik nilai dalam universiti.

Politik nilai yang dimaksudkan perlu berasaskan hujah dan fakta yang benar bukan politik adu domba dan politik pembunuhan karakter.

Ayuh mahasiswa mulakan langkah dengan menyuburkan nilai demokrasi dalam politik kampus kita seterusnya membaiki masalah demokrasi palsu yang kini sedang membelenggui kebanyakan negara umat Islam.

Semoga seluruh institusi pendidikan di Malaysia dapat menuju sebuah kampus yang harmoni seterusnya dapat memacu Malaysia yang kita cintai menjadi sebuah negara yang rahmah. – 5 Februari, 2016.       

* Penulis merupakan sarjana Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta aktivis IKRAM Siswa.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments