rencana
Kisah di zaman Kesultanan Melayu Melaka – Noor Muhammad Md Norani
Petang semalam, penulis berborak dengan rakan dalam Whatsapp. Berbeza dengan hari-hari lain, petang ini penulis berbicara mengenai faktor kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka seperti mana yang penulis dengar daripada kuliah bulanan Profesor Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, 2 minggu lepas.
Bagi penulis, ia amat penting untuk dikongsi bersama kerana penulis tidak mahu rakyat Malaysia mengulangi sejarah yang berlaku beratus tahun lamanya.
Sejarah membuktikan sebuah tamadun yang begitu hebat seperti Melaka itu pun boleh hancur kerana tamak haloba, rasuah dan wanita. Sama-sama kita ikuti ringkasan kuliah beliau, semoga beroleh manfaat.
Prof memulakan cerita dengan 2 kata kunci penting. Sejarah yang kita belajar hari ini adalah catatan terpilihdan dipersembahkan dalam konteks sempit.
Ramai mengatakan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka salah orang Cina dan India pada ketika itu. Macam selalu kita dengar, bukan? Kita ikuti kisahnya terlebih dulu.
Kisah bermula apabila Bendahara Seri Maharaja (Tun Mutahir) mengahwinkan anaknya, Tun Fatimah dengan Tun Ali. Orang dulu, mereka cukup menjaga maruah anak dara mereka, sehinggakan selain daripada ahli keluarga mereka sendiri tidak pernah tahu bagaimana rupa paras sang dara.
Sehinggalah tiba hari perkahwinan, Sultan Mahmud juga diundang Bendahara Seri Maharaja ke majlis perkahwinan Tun Fatimah dan Tun Ali.
Tersangat anggun dan indah rupa paras Tun Fatimah, sehinggakan apabila pertama kali wajahnya dijamah pandangan Sultan Melaka (Sultan Mahmud), saat itu juga baginda jatuh cinta, lalu menanam dendam berahi yang teramat kepada anak bendahara.
Suatu hari, datang seorang saudagar bernama Nina Sura Dewana untuk memohon perlindungan daripada Syahbandar Melaka, Raja Mendaliar. Disebabkan hari sudah gelap, maka disuruhnya saudagar pulang ke rumahnya.
Tetapi Nina Sura Dewana tidak berpuas hati, lalu berkata di dalam hati:"Raja Mendaliar itu kaya orangnya. Sekiranya dia mendekati Datuk Bendahara, pasti aku kalah."
Lalu sang saudagar pergi berjumpa dengan Bendahara Tun Mutahir pada malam itu juga, sambil membawa bersamanya emas sebahara.
"Tunku, emas ini persembah sahaya akan pembeli sirih pinang," kata Nina Sura Dewana kepada Bendahara.
Bendahara menjawab, "Baiklah, tuan hamba memberi hamba, hamba ambillah."
Perkara di atas diketahui seorang ahli keluarga Nina Sura Dewana bernama Kitul. Kitul ini berhutang dengan Raja Mendaliar sekati emas.
Lalu keesokan malamnya, beliau bertemu dengan Raja Mendaliar, membawa khabar berita, "Malam tadi Nina Sura Dewana datang kepada Datuk Bendahara, persembah 10 kati emas, hendak menyuruh bunuh tuan hamba, tuan hamba hendak dikerjakannya".
Apabila mendengar kata-kata Kitul itu, Raja Mendaliar menjadi sangat marah, lantas mengambil surat hutang Kitul dan mengoyakkannya.
"Yang hutang tuan hamba sekati emas itu, halallah dunia akhirat, tuan hambalah saudara kepada hamba, kembalilah tuan hamba."
Raja Mendaliar lalu bergegas menghadap Laksamana Khoja Hassan, yang merupakan Laksamana (pahlawan) yang rapat dengan Sultan Mahmud pada ketika itu.
Datangnya Syahbandar bukan dengan tangan kosong, tetapi bersama dengannya emas sebahara, permata dan pakaian yang indah.
Berkata Syahbandar, "Sahaya mengadap Orang Kaya ini, sahaya berlepas taksir, supaya jangan sahaya dikatakan orang sebicara dengan penghulu sahaya (Bendahara); kerana sahaya ketahui Datuk Bendahara hendak derhaka.
Orang Kaya persembahkanlah ke bawah Duli Yang DiPertuan, sudah ia (Bendahara) berbuat takhta kerajaan, menempa ciu dan kaus emas; kasadnya hendak naik raja dalam negeri Melaka ini."
Setelah Laksamana melihat harta yang terlalu banyak itu, maka hilanglah pertimbangan akalnya yang waras. Berkata Laksamana,
"Hei emas, Tuhan bukan engkau, tetapi kehendak hati berlaku olehmu."
Setelah menerima harta yang banyak itu, lantas dikhabarkan sang Laksamana yang Bendahara ingin derhaka kepada Sultan.
Maka Sultan yang dipenuhi hatinya dengan dendam berahi terhadap Tun Fatimah itu, tanpa berfikir panjang terus mengarahkan seluruh keluarga Bendahara termasuk Tun Ali dihukum bunuh kerana derhaka kepada Sultan Melaka.
Lalu diambil Sultan mengambil Tun Fatimah sebagai isteri Baginda.
Tidak lama selepas itu, semua tembelang Si Kitul dan Raja Mendaliar pun pecah.
Dikhabarkan seluruh keluarga Si Kitul dibunuh Sultan dan tapak rumahnya dicabut lalu dicampakkan ke dalam laut. Maka tamatlah kisah sang pengadu domba,
Dengan mangkatnya Bendahara Seri Maharaja, Melaka kehilangan seorang pembesar yang sangat pandai mentadbir negeri. Peristiwa ini berlaku ketika Portugis sedang menyusun strateginya untuk menakluk kota Melaka.
Maka benarlah seperti kata bijak pandai Arnold Toynbee, "Tamadun mati kerana membunuh dirinya sendiri, bukannya kerana dibunuh."
Kisah di atas hanya secebis daripada perkara yang Prof Hafidzi kupas dengan begitu santai.
Apa yang lebih penting adalah pengajaran yang boleh kita ambil daripada sejarah yang berlaku pada zaman nenek moyang kita.
Penulis sebagai anak kelahiran Melaka, merasa sangat terkesan dengan kemungkaran yang sudah berlaku pada zaman itu dan berazam untuk mencegahnya daripada berlaku di zaman ini.
Tetapi, sekiranya pembaca pandai mengubah nama karakter dan plot berdasarkan cerita di atas, bukankah ianya sedang berlaku sekarang ini? – 20 Februari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments