rencana

Kisah sebuah pelangi hidup – Syafiq Syahmi Sazali

Agak sukar pada mulanya ingin mendekati jejaka berusia 25 tahun ini. Bukan kerana sifatnya yang sombong tetapi lantaran sikapnya yang terlalu merendah diri.

Baginya episod kisah hidupnya bersama Yayasan Ikhlas (YI) tidak perlu menjadi tatapan umum, cukup sekadar menjadi simpanan kemas milik peribadi.

Namun atas dasar mahu menggalakkan anak muda sepertinya mencintai bidang sukarelawan, dia cuba membongkar satu persatu rahsia hidupnya.

Permulaan kanvas hidupnya bersama YI, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bukanlah kehendak hati.

Bahkan tidak pernah terlintas dalam benak hatinya, dia bakal menjadi “tulang belakang” kepada badan yang baru berusia 7 tahun ini.

Sehingga dia digelar rakan sebagai orang yang paling ikhlas bekerja bersama YI.  Tetapi disebabkan kerja sukarelawan ini berkait rapat dengan perjalanan hidupnya selama 25 tahun dia “ikhlas” untuk sama-sama memacu YI.

Menyingkap kembali penyertaanya sebagai Pegawai Khas YI bermula apabila dia dipanggil untuk ditemuduga YI 2 tahun lepas. Dia juga pada mulanya tidak mengenali secara rapat YI, tetapi selepas terlibat dengan beberapa projek bersama YI semasa di universiti, serba sedikit dia mengetahui tentangnya.

Secara kebetulan pula, semasa berada di tahun akhir pengajian dia memegang jawatan sebagai Ketua Biro Bakti Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) di Universiti Putra Malaysia (UPM) membolehkan dia merancang projek sukarelawan dengan YI.

“Saya ingat lagi, masa itu berlaku banjir besar. Saya bertanggungjawab mengumpulkan sukarelawan dari UPM untuk menyertai projek pembersihan di Pahang. Jadi saya hantar segerombolan pelajar untuk bersama dengan YI,” katanya.

Sejak daripada itu persatuannya seringkali bekerjasama dengan YI untuk menjalankan projek sukarelawan seterusnya dipelawa untuk menjadi sukarelawan sepenuh masa di YI.

Pada mulanya dia agak keberatan menerima tawaran tersebut memandangkan dia punya perancangan hidup yang tersendiri. Ditambah pula dengan gaji yang bakal diterima mungkin tidak seberapa. Pada masa yang sama, datang pula pelbagai tawaran kerja dari syarikat besar dengan gaji yang tinggi memandangkan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa ini sering menjadi pelajar terbaik menambah kekeliruan untuknya memilih jalan.

Tetapi akhirnya dia memilih untuk terus bersama dengan YI, bukan kerana gaji atau nama tetapi nilai dan pengalaman yang bakal dia kutip bersama YI akan lebih beharga. Bahkan pengalaman hidupnya boleh dijadikan sebagai nilai tambah untuk memacu YI.

Saat ditebak dengan soalan kisah silam hidupnya, riak wajahnya bertukar keruh dan suram. Terhenti seketika sesi temubual ini lantaran dia diam buat seketika. Lama Syafiq mahu membuka mulut berkenaan pelangi hidupnya.

“Saya datang dari keluarga yang bercerai-berai. Sejak daripada itu kehidupan kami adik beradik susah dan sayalah yang terpaksa menjadi ketua keluarga kepada adik beradik dan emak,” ungkapnya perlahan.

Dilahirkan sebagai anak sulung daripada 4 beradik. Penceraian itu juga menjadi suatu tamparan yang hebat buat diri dan keluarganya. Apabila orang kampung memandang jelik kepada penceraian itu. Sedikit sebanyak perkara itu menjadi palitan dalam dirinya.

Perkara yang jadi itu boleh menjadikan dia seorang remaja yang memberontak dengan tekanan masyarakat sekeliling. Tetapi dia memilih untuk menjadi “lelaki” matang pada usia 14 tahun dengan berazam mengembalikan maruah keluarga.

Berdikit-dikit dia mendekati aktiviti kemasyarakatan di kampung. Membantu penduduk kampung mengadakan kenduri, bahkan menyertai pasukan silat dan Rakan Muda.

Penglibatannya yang aktif menjadi kepercayaan untuk dia dilantik menjadi ketua silat pemuda kampung seterusnya mengusir sedikit demi sedikit tanggapan negatif terhadap keluarganya.

Emaknya yang bekerja sebagai pekerja kilang, tidak mampu menampung kehidupan mereka. Atas desakan dan keadaan yang dilihat dengan mata sendiri, Syafiq berusaha membantu pak cik di kebun getah, kebun kelapa sawit, dan dalam masa yang sama menjadi pelajar antara terbaik disekolahnya.

Rutin hariannya akan bermula dari pagi hingga ke malam. Pagi disekolah, petang di sekitar kampung melakukan kerja-kerja seperti menyawit, berkebun, bertukang dan bermacam-macam lagi. Tanggungjawab yang sepatutnya digalas seorang ayah itu diteruskan sehingga ke universiti.

Kepayahan hidupnya lebih mendesak apabila masuk ke universiti, apabila dia tidak dapat melunaskan bayaran yuran kemasukan.

“Masa hari pendaftaran UPM, saya lihat semua orang keluarkan kertas bukti pembayaran yuran. Tapi saya masa itu tidak ada wang yang cukup untuk membayar yuran. Sewaktu menghampiri meja pendaftaran saya hanya bertawakal pada Allah. Saya cakap pada diri, kalau ada rezeki saya masuk u, adalah. Kalau tidak ada saya balik,” ujarnya yang berasal dari Johor.

Mujur, rezeki berpihak padanya apabila dapat meneruskan pengajian di universiti. Malahan duit biasiswa dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diterimanya diberi separuh pada emak dikampung buat menampung pebelanjaan adik-adik yang masih bersekolah.

“Sepanjang berada di universiti, saya menampung kehidupan dengan berniaga nasi lemak. Saya juga akan berusaha berjimat cermat dalam berbelanja,” katanya.

Flash back hidupnya tidak terhenti disitu. Dia ingat lagi semasa pengajiannya di Matrikulasi Perak dia mengutip baju dari ampaian yang jatuh di kolej kediamannya untuk dipakai dan diberi pada adik lelakinya.

 “Saya tunggu sampai berbulan longgokan baju yang dikumpul makcik cleaner. Daripada terbiar baik ambil. Jadi setiap kali balik saya bagi baju bola pada adik bongsu lelaki,” ujarnya yang sebak bila mengingati kembali kisah hidupnya.

Bahkan sepanjang menjadi seorang mahasiswa dia tidak pernah membeli baju baru sehingga baju yang dipakainya kelihatan amat lusuh.

Katanya terlalu banyak kisah hidupnya, tapi cukup sekadar itu. Apa yang dia mahukan sekarang adalah berusaha membantu kelompok yang masih berada dalam kemiskinan dan keciciran ilmu.

Dia mahu setiap bantuan yang diusahakan YI benar-benar dapat memberi manfaat buat mereka yang memerlukan.

“Kisah hidup saya sangat berkait rapat dengan apa yang YI lakukan. Jadi setiap kali bantuan dihantar kepada orang miskin dan susah, saya amat memahami keperluan tersebut. Bahkan saya dapat merasai keperitan hidup yang mereka alami kerana saya terlebih dahulu merasainya,” katanya.

Kini Syafiq disamping bekerja sebagai Pegawai di YI, dia juga menguruskan Aryan Training & Consultant yang memfokuskan remaja dan belia. Selalu dijemput ke sekolah rendah dan menengah, juga institut pengajian tinggi bagi menyampaikan motivasi dan beberapa slot yang diminta. – 13 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments