rencana
Kita pun dulu kanak-kanak – Shamiel Fikri Ishak
Ini ingatanku.
Kali pertama aku ke sekolah, aku menangis ditinggalkan ibu ayah.
Benar!
Dan aku sedar, kita yang dahulunya seorang kanak-kanak. Yang sensitivitinya luar biasa sekali. Waktu itu, hati kita kaya dengan nilai emosi dan kasih sayang.
Kita mudah menangis. Mudah tersentuh. Mudah terasa.
Lembutnya hati kita saat itu. Bila tiba program motivasi, kita menangis di malam muhasabah.
Kita mudah dibuai dengan bunyi instrumen dan suara-suara ustaz dan guru yang suaranya garang, menusuk hati kita yang lembut.
Hari ini, air mata kita terlalu sukar untuk tumpah.
Kita abaikan muhasabah. Kita buang rasa sensitif. Kita abaikan emosi kita. Bila tiba rasa hiba, kita selalu cuba keluar daripada rasa hiba itu.
Bila emosi kita bereaksi, kita lari mengalih tumpuan, tidak mahu tersentuh. Kita tak mahu air mata kita tumpah.
Kita terlalu sukar untuk lafazkan kasih. Kita lebih suka berbalah.
Kita tak sama seperti kita yang kanak-kanak dahulu. Dahulu kita mudah-mudah menangis di riba ibu mengadu rindu.
Kita senang-senang memeluk ayah riang berkata sayang.
Hari ini kita ego untuk menyatakan cinta dan kasih. Kita lebih suka berselisih.
Ini ingatanku.
Kali pertama aku ke sekolah, aku tak segan silu bertegur sapa pada kawan di sebelah mejaku.
Mudah-mudah sahaja aku membuat kawan tak sampai seminit dua. Mudah-mudah sahaja hati kita terpaut sehari dua.
Tidak pernah kita peduli kita hitam atau putih. Langsung tidak kita kira kita kurus atau gemuk. Kita tak pernah kisah darah kita mengalir dari urat saraf yang tak sama.
Kita hanya fikir mahu berkawan. Kita bisa ketawa. Hingga kita lupa rasa hiba dan sedih. Kita hanya mahu berkawan dengan semua orang.
Kita saling gembira bersama!
Kita yang dahulunya, kanak-kanak yang sangat budiman. Kanak-kanak yang sangat penuh kasih sayang. Kita dahulunya, adalah gambaran kemanusiaan.
Hari ini, kita terlalu sukar untuk bertegur siapa. Berjiran setahun dua tak pernah bersua muka. Jalan berselisih tak pernah berjabat tangan.
Sebenarnya kita semakin berdosa.
Kita semakin hilang rasa cinta.
Kita semakin sombong dan angkuh.
Sebab itu, kita perlu renung waktu-waktu muda. Saat kita kanak-kanak yang suci. Waktu kita budak kecil yang pengasih. Meski kita masih comot-comot, namun hati kita waktu itu bersih.
Kadangkala, aku tersenyum mengenang masa muda. Aku rasa rindu dengan aku yang itu. Kemudian aku rasa sayu melihat kita yang sudah berubah sekarang.
Kini, kuliahku di bilik kuliah. Pensyarahku bersyarah
Tapi selalu aku persoalkan, apa yang sebenarnya aku belajar? Kenapa aku yang kecil dahulu lebih berguna daripada aku yang sekarang?
Bukan salah pensyarahku, tapi salah aku. Aku merasa aku sudah hebat bila sudah tua. Aku rasa aku tak perlukan guru sekolahku dulu yang membawa rotan mengajar aku menangis merendah diri kesakitan.
Aku merasa aku sudah hebat bila buku pelajaranku tebal penuh dengan kandungan. Sehingga aku rasa tak perlukan guru sekolahku dulu yang mengajarku soal hormat dan adab.
Mungkin kerana aku rasa sudah hebat belajar ilmu-ilmu yang tinggi. Sehingga aku lupa pesan guru tadikaku; biar biasa dan rendah, yang penting bermanfaat!
Lalu selalu aku tanya pada diriku, mengapa kita sibuk menambah nilai diri kita agar kita jadi tinggi, tapi lupa menghiasinya agar jadi cantik berseri.
Ya, aku rindu jika dunia ini dipenuhi kanak-kanak yang suci. Kanak-kanak yang hanya tahu untuk tersenyum. Kanak-kanak yang hanya mahu berkawan. Kanak-kanak yang terkadang bergaduh jua, namun sekejap sahaja mereka lupa sengketa!
Sebab itu aku mengajak kita sama-sama mengenang semua itu.
Kerana kita semua adalah kanak-kanak dahulu. – 23 Februari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments