rencana

Kontroversi pekerja Bangladesh, mesyuarat kabinet berfungsi ke tidak? – Tuan Ibrahim Tuan Man

Kontroversi kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang berakhir dengan pembekuan pengambilan warga asing serta-merta oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi amat memalukan kerana ia mendedahkan betapa lemahnya kepimpinan kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penerangan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot yang menjelaskan jumlah 1.5 juta yang dinyatakan TPM adalah pekerja yang berdaftar dengan kerajaan Bangladesh untuk dihantar ke 139 negara yang memerlukan khidmat mereka lagi mengejutkan.

Ia cukup berbeza dengan apa yang dinyatakan TPM sebelum ini di mana kerajaan akan membawa masuk sejumlah 1.5 juta tenaga kerja Bangladesh secara berperingkat dalam tempoh 3 tahun.

Lebih mengejutkan graduan Oxford dari Umno juga merasakan apa yang diutarakan TPM sebelum ini itu munasabah.

Kenyataan TPM hari ini datang sehari selepas Najib memberitahu wartawan di Amerika Syarikat beliau akan berbincang dengan timbalan beliau mengenai kemasukan 1.5 juta Bangladesh.

Ini menimbulkan persoalan – apakah menteri-menteri ini menghadiri mesyuarat kabinet?

Apakah perkara sebesar ini dibincang di dalam kabinet?

Jika tidak, apa yang dibincang di dalam kabinet sebenarnya dalam setiap kali mesyuaratnya?

Apakah yang cuma dibincang ialah strategi mempertahankan kedudukan Najib sebagai  perdana menteri?

Apa yang berlaku dalam kontroversi kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ini, saya percaya, adalah hasil daripada tindakan mempertahankan perdana menteri dalam episod 1MDB dan juga derma RM2.6 bilion hingga ia menjadi satu budaya dalam Umno-BN.

Apa yang disebut pihak atasan diterima bulat-bulat tanpa soal ibarat lembu dicucuk hidung.

Apabila pihak atas membuat kesilapan yang terang-terang, tiada siapa yang berani memperbetulkannya hinggalah nasi menjadi bubur seperti apa yang dilakukan Richard Riot hari ini.

Lebih besar lagi, kontroversi kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ini, menonjolkan perdana menteri tiada masa menguruskan negara kerana disibukkan mempertahankan diri.

Ahli kabinet pula turut serta dalam kerja mempertahankan bos hingga alpa dengan kerja sendiri.

Apa yang rakyat boleh harap lagi daripada kabinet yang gemuk tapi kurang berfungsi ini? – 19 Februari, 2016.

* Tuan Ibrahim Tuan Man ialah timbalan presiden PAS.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments