rencana
KPN terburu-buru sekat kursus kilat Marxisme – Edry Faizal
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Ibrahim dilihat terburu-buru mengambil tindakan terhadap satu majlis ilmu yang melibatkan ideologi Marxisme sedangkan sepatutnya beliau perlu menyiasat dulu dengan terperinci.
Kelmarin beliau mengeluarkan kenyataan pihak polis tidak akan membenarkan “kursus kilat Marxisme” diadakan dengan alasan ia adalah usaha menghidupkan fahaman komunis.
Sememangnya apa saja berkaitan dengan komunis membawa trauma tersendiri buat anggota polis. Namun untuk terus menyekat majlis ilmu yang membincangkan idea Marxisme hanya kerana idea itu pernah dianuti komunis yang pihak polis anggap pengganas, merupakan tindakan terburu-buru.
Dewasa ini kita dapat lihat kumpulan pengganas menganuti pelbagai fahaman dan agama. Adakah itu bermakna pihak polis mahu menyekat semua majlis berkaitan fahaman dan agama itu juga? Pihak polis sepatutnya lebih teliti dan menyiasat secara terperinci sebelum menyekat.
Ada baiknya pihak polis mendengar dahulu apa yang diajarkan, apakah ia benar-benar mengajak kepada melakukan keganasan atau kerosakan, sebelum terus terburu-buru menyekat atas alasan seolah-olah yang akan diajarkan itu adalah keganasan.
Malangnya KPN mahu menyekat dulu program yang bakal berlangsung bulan depan itu kemudian barulah berhasrat memanggil penganjur.
Lebih aneh melihat sikap cepat melatah Khalid apabila hakikatnya terdapat kursus politik di universiti sendiri mengajar sedikit sebanyak tentang Marxisme.
Manakala buku-buku Marxisme boleh didapati dengan mudah di mana-mana kedai buku. Saya sendiri pernah membeli “Communist Manifesto” karangan Marx dan Engels di sebuah kedai buku terkemuka Kuala Lumpur.
Wacana Marxisme dewasa ini dilihat lebih tertumpu kepada soal alternatif ekonomi dan kritikan terhadap sistem ekonomi kapitalisme yang sudah menjadi lumrah dalam masyarakat hari ini. Persaingan idea sebegini sepatutnya digalakkan dan bukannya disekat.
Hanya melaluinya, pemikiran masyarakat akan semakin berkembang dan matang. Moga melaluinya juga masyarakat mungkin menjumpai alternatif yang jauh lebih baik daripada apa yang ditawarkan Karl Marx atau pendukung-pendukung ekonomi kapitalisme.
Diharap pihak polis dapat bertindak lebih profesional dalam hal ini dengan membenarkan kembali “kursus kilat Marxisme” dijalankan dan bukan berdasarkan emosi dan sentimen. – 29 Februari, 2016.
* Penulis adalah ketua Pemuda DAP Subang.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments