rencana
Langit sejarah, mitos bangsaku malas – Rahmat Islah
Sejarah sentiasa berbicara pada daerah waktu dan zaman, terutamanya apabila mengimbau zaman pasca kolonialisme sekitar abad ke-16 ke -20.
Pada ketika itu subur pemikiran yang ceroboh lagi angkuh hingga mengkubur kebenaran apabila penjajah barat pada saat itu mengangkat gagasan kapitalisme sebagai ideologi mereka.
Ideologi ini lebih memiliki gagasan atau ciri yang berat sebelah iaitu mempertahankan struktur politik, sosial dan ekonomi tertentu saja.
Manakalah menurut Weber, ciri kapitalisme menekankan pengajaran keuntungan yang sentiasa diperbaharui dengan pelbagai cara pengusaha secara rasional dan berterusan.
Mengikut pembacaan penulis, sebenarnya pelaksanaan sistem kapitalisme berbeza di Asia dan Eropah.
Bentuk kapitalisme yang berbeza ini digelar sebagai kapitalisme kolonial.
Apabila amalan kapitalisme di tanah Melayu, Indonesia dan Filipina berbeza dengan amalan kapitalisme tenaga buruh yang bebas di Eropah seperti yang berlaku di Indonesia, walaupun Belanda yang mendasari tenaga kerja bebas menjajah Kepulauan Jawa tetapi tenaga kerja bebas tidak diamalkan di Kepulauan Jawa.
Hasilnya, ideologi ini merembes racun yang menghias kemerdekaan negara terlibat pada memaparkan kepada masyarakat luar bahkan ia disulam penjajah barat kepada pemimpin kita bangsa kita ini adalah bangsa yang pemalas.
Mitos ini semakin tenat menular di kalangan pemimpin kita.
Bahkan, saya bersetuju kepada Syed Hussen Alatas apabila beliau mengatakan, para penulis, ilmuan, pemimpin serta bangsa Melayu menggambarkan bangsa sendiri adalah bangsa pemalas.
Kerana, pemikiran mereka didominasi doktrinisasi penjajah.
Tambah beliau lagi, Dominisasi ini lebih sesuai saya letakkan dengan istilah orientalisme.
Bak kata Edward Said, orientalisme ini ialah satu sistem pemikiran, penulisan, pandangan dan penelitian yang direkabentuk pelbagai institusi pendidikan dan latihan bagi pegawai awam ( dan Swasta ) kolonial, yang berkhidmat di tanah jajahan.
Bahkan ia membentuk tanggapan rasmi betapa rendahnya sesuatu masyarakat.
Bangsaku malas atau sejarah yang mendoktrinnya?
Hujan rintik sejarah dibayangi langit jendela sejarah yang tidak adil daripada pengkaji sejarah.
Sama ada pengkaji itu datang dari negara penjajah atau dari bangsa kita sendiri yang sering membuat kajian atau laporan yang tidak adil.
Sebagai contoh, para pelapor sejarah menggambarkan penduduk pribumi Melayu suka menghisap candu tanpa mendedahkan Inggeris dan Belanda adalah pembekal utama candu, dan akhirnya mitos pribumi malas ini dijajah ke merata tempat oleh penjajah.
Bahkan, andai ada penulisan yang agak adil dan tidak berpihak biasanya tidak terima pihak kolonial bahkan laporan yang benar turut dinafikan pihak mereka.
Pengamat sejarah barat juga sering melihat kehidupan sosial masyarakat pribumi pada waktu itu sangat sempit.
Mereka melihat kehidupan sederhana pribumi, terutamanya bangsa Melayu yang hidup sederhana adalah bukti kemalasan mereka.
Walhal, andai diperhatikan cara kajian mereka sungguh tidak telus.
Mereka mengukur kerajinan dan kuat berusaha itu pada fahaman kapitalisme yang berpandukan etika protestan.
Agama aliran protestant menurut penganutnya berusaha mencapai kekayaan di dunia adalah kewajipan.
Pencapaian mereka di dunia adalah penentu akhirat mereka dan hal ini juga dipertegas Max Weber melalui karyanya “The protestant Ethrics and the spirit of capitalism”.
Berbeza dengan masyarakat Melayu yang ketika itu berpegang teguh dengan agama Islam yang mengajarkan umat nya hidup sederhana menurut fahaman mereka.
Bahkan, masyarakat Melayu sudah selesa dan terbiasa dengan hidup sederhana.
Namun, adalah pelik apabila pemimpin masyarakat Melayu zaman ini yang hidup mewah di atas kesederhanaan hidup rakyat.
Pemerintah sepatutnya mencorak rakyat dengan lebih baik bukannya mengatakan rakyat ini pemalas atau menjatuhkan motivasi rakyat dalam bekerja dan menyumbang inovasi yang kreatif.
Rakyat pemalas. realiti atau fantasi?
“Pendeknya alam keliling menjamin keperluan makanan yang mencukupi untuk menampung seluruh penduduk sepanjang tahun. Kelaparan dan kebuluran yang sentiasa mengancam negeri lain. Seperti China, tidak terdapat di Tanah Melayu. Dalam keadaan begini maka semua orang dapat teruskan hidup. Malahan mereka yang paling lemah dan paling malas juga boleh hidup dengan selesa dan dapat berkahwin dan beranak pinak” – Dr Mahathir dalam karyanya Dilema Melayu.
Dalam buku tersebut juga, Dr Mahathir mengulas faktor persekitaran yang melingkari kehidupan orang Melayu, tanah yang mereka duduki mempunyai sumber yang mencukupi untuk mereka hidup dengan selesa.
Pendapat Dr Mahathir itu mempunyai nalar yang boleh dibincang atau didiskusikan.
Kerana, untuk kita berbicara dengan adil perlu kita terlebih dahulu mengkaji sejarah atau asal usul yang membawa mereka pada kedudukan nilai yang sungguh rendah di mata orientalisme hingga ada para pemimpin Melayu sendiri yang terpengaruh pada doktrin ini.
Bagi saya, jendela dunia tidak boleh melupakan kegemilangan bangsa kita.
Bermula dengan Parameswara yang membuka Melaka pada 1400.
Bahkan, raja Melaka mewujudkan sistem pemerintah yang kukuh sehingga terbit undang-undang baharu yang diadun khas untuk mengawal sistem darat dan laut dengan membahagikan undang-undang kepada 2 bahagian, iaitu undang-undang darat dan laut.
Ditambah lagi dengan pentadbiran yang telus dari pegawai kanan yang diketuai seorang bendahara, syahbandar, panglima dan laksamana.
Seperti wujud pada empayar Srivijaya, hingga, dada sejarah dunia tidak bisa menafikan kecekapan orang Melayu dalam bidang pelayaran dan pengurusan.
Maka terbukti bangsa kita adalah bangsa yang mampu mendepani cabaran.
Bahkan, tanggapan peribadi yang mengiyakan kerendahan martabat bangsa kita berbanding bangsa Eropah adalah pandangan yang dirasuk doktrin penjajah orientalisme.
Ideologi orientalisme ini bukan saja menjajah ruang fizikal masyarakat tetapi sedikit sebanyak juga telah mempengaruhi pemikiran tokoh Melayu.
Hal yang turut sama juga yang dijelaskan Shamsul Amri Baharuddin:
“ Kalau kita singkap kembali sejarah imperialisme dan kolonialisme barat, kita akan bertemu dengan bukti yang jelas tentang peri pentingnya ilmu dan analisis sosial untuk pemerintahan.
Misalnya, ilmu kolonial, cukup penting untuk sesebuah kuasa imperialis mengasaskan kekuasaannya di kawasan jajahan.
Kalau kekuatan ketenteraannya membolehkan sebarang kuasa menakluki secara fizikal sesebuah ruang geo-politik, melalui ilmu kolonial pula penjajah tersebut mampu menakluk ruang epistemologi, iaitu ruang sistem pemikiran dan intelektual masyarakat peribumi yang dijajah” – 16 Februari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments