rencana

Larangan masuk ke Sarawak, penyalahgunaan kuasa – Bersih 2.0

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) membantah tindakan kerajaan dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, yang baru-baru ini melarang kemasukan Mandeep Singh ke negeri tersebut.

Pada hujung minggu yang lepas, Mandeep, selaku aktivis dan pengurus Bersih 2.0,  berkunjung ke Sarawak untuk menjalankan tugas persiapan projek pemantauan pilihan raya negeri Sarawak yang bakal berlangsung.

Sewaktu dalam perjalanan pulang, beliau dimaklumkan pihak imigresen yang  beliau sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke Sarawak kerana namanya termasuk dalam senarai larangan sejak 28 Januari 2016 atas arahan ketua menteri.

Penyalahgunaan autonomi dan kuasa imigrasi

Tidak dinafikan Sarawak mempunyai autonomi dalam hal-hal imigrasi, sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia dan Akta Imigrasi 1959/1963.

Bagaimanapun, autonomi tersebut tidaklah termasuk kuasa untuk melarang seseorang tanpa asas kukuh.

Sebaliknya, seksyen 67 Akta Imigrasi 1959/1963 dengan jelas menyatakan autonomi tersebut “hendaklah tidak berkuat kuasa dalam hubungan dengan seseorang warganegara yang memasuki negeri Malaysia Timur hanya untuk menceburkan diri dalam aktiviti politik yang sah”.

Tujuan Bersih 2.0 dan Mandeep ke Sarawak adalah untuk menubuhkan kumpulan pemantau bebas untuk pilihan raya negeri yang bakal berlangsung.

Proses pemantauan bebas diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai salah satu langkah penting untuk memastikan pilihan raya dijalankan dengan telus dan adil.

Adakah larangan Adenan terhadap Mandeep dan Bersih 2.0 bererti beliau tidak menyokong proses pilihan raya yang bersih dan adil?

Jika tidak, Adenan perlu menyatakan dengan jelas sebab-sebab beliau mengarahkan larangan tersebut.

Perjumpaan Bersih 2.0 dan ketua menteri gagal berlangsung

Bersih 2.0 terkejut dengan tindakan Adenan kerana pada Disember lepas, pegawai beliau menghubungi untuk memaklumkan beliau bersetuju berjumpa dengan Bersih 2.0, ekoran 2 surat rasmi yang dihantar.

Perjumpaan tersebut bertujuan membentuk strategi kerjasama untuk memastikan pilihan raya negeri Sarawak berlangsung dengan bersih dan adil. Akan tetapi, perjumpaan tersebut gagal berlangsung walaupun Bersih 2.0 membuat susulan selama 2 bulan.

Sebaliknya, Bersih 2.0 kemudiannya diberitahu pegawai ketua menteri yang beliau hanya akan berjumpa dengan Bersih 2.0 selepas pilihan raya selesai, dan kini pula Mandeep dilarang masuk ke Sarawak.

Sekatan terhadap hak asasi rakyat

Mandeep bukanlah individual pertama yang dilarang masuk ke Sarawak. Sebelum ini, ramai aktivis, pemimpin NGO, dan ahli politik yang disenaraihitamkan.

Mereka termasuklah Maria Chin Abdullah (pengerusi Bersih 2.0) dan Datuk Ambiga Sreenevasan (mantan pengerusi-bersama Bersih 2.0), dan Wong Chin Huat (penyelaras sumber Bersih 2.0).

Tindakan Adenan ini bukan sekadar larangan untuk masuk ke Sarawak. Tindakan beliau merupakan penyekatan terhadap hak bersuara, hak berfikir, dan hak untuk berpolitik kesemua rakyat Malaysia, termasuk rakyat Sarawak.

Tindakan Adenan tidak seharusnya meneruskan dasar-dasar yang menyekat kebebasan rakyat sepertimana yang diamalkan bekas ketua menteri Sarawak.

Sebaliknya, beliau harus menunjukkan komitmen untuk mereformasikan sistem pentadbiran Sarawak, dan ini termasuklah keterbukaan untuk menerima pandangan dan kritikan daripada semua lapisan masyarakat.

Rakyat Sarawak pastikan pilihan raya berlangsung bersih dan adil

Bersih 2.0 menyeru kepada rakyat Sarawak untuk terus memperjuangkan hak dan kebebasan mereka melalui pilihan raya yang akan datang.

Sekatan-sekatan terhadap aktivis Bersih 2.0 juga tidak akan membantutkan kerja pemantauan yang akan dimulakan di Sarawak dalam masa terdekat.

Kami mengalu-alukan rakyat Sarawak yang berminat untuk menyertai pasukan pemantau Bersih 2.0 bagi memastikan pilihan raya berlangsung secara adil dan telus.

Mereka yang berminat untuk menyertai pasukan Pemantau Bersih boleh menghantar nama dan nombor telefon kepada: [email protected]. – 17 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments