rencana

Legasi sementara Mukhriz bersama KFA – Ahas Haikal

Peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah yang ke-11 semalam nyata memberi kesan cukup besar terhadap rakyat dan orang muda amnya.

Saya secara peribadi bukanlah anak jati negeri Jelapang Padi tetapi mengikuti perjalanan bola sepak ketika dipimpin Mukhriz sebaik sahaja beliau menjadi menteri besar.

Namun dimaklumkan terdapat dalam perlembagaan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang mana kerusi presiden KFA secara automatik akan disandang oleh menteri besar.

Ketika nama beliau diangkat sebagai bakal calon menteri besar baharu, Mukhriz meletakkan aku janji untuk membawa dan menaikkan semula bola sepak Kedah dalam manifesto dan berikut adalah petikannya, “Menebus kembali kegemilangan bola sepak Kedah melalui pembangunan semua peringkat seluruh negeri”.

Dan tempoh 3 tahun yang dijanjikan beliau nyata membuahkan hasil. Pada musim lalu Kedah meraih kejayaan selaku Juara Liga Perdana sekali gus melayakkan kembali bersaing di Liga Super 2016 serta bergelar naib juara Piala Malaysia selepas ditewaskan Selangor di Stadium Shah Alam.

Hasilnya dapat dilihat dalam tempoh yang singkat. Stadium Darul Aman kembali meriah dan dipenuhi semula puluhan ribu penyokong setiap kali perlawanan dilangsungkan dan ia mengingatkan kembali seperti zaman kegemilangan mereka ketika meraih gelaran double treble pada 2007 dan 2008.

Pada awal tempoh bergelar presiden, Mukhriz dan organisasi pimpinannya pernah dikecam peminat bola sepak negeri itu kerana bertindak menukar logo persatuan serta gelaran Sang Kenari kepada Helang Merah
.
KFA juga semakin terbuka dengan memberi kepercayaan kepada penyokong untuk melakar reka bentuk jersi pasukan mereka.

Selain itu, KFA di bawah naungan Mukhriz juga turut menjalinkan kerjasama dengan kelab Cardiff City yang dimiliki hartawan Malaysia.

Legasi sementara bersama KFA selama hampir 3 tahun yang dilakukan oleh anak mantan perdana menteri itu sudah pasti akan diingati penyokong bola sepak Kedah seperti mereka “mengagungkan” Maestro KFA sebelum ini, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil.

Semoga kehadiran semula pasukan dari utara tanah air itu dalam kancah Liga Super akan kembali merancakkan liga bola sepak Malaysia yang akan bermula pada minggu depan. – 4 Februari, 2016.

* Penulis adalah pembaca The Malaysian Insider.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments