rencana
Macam mana hendak jual negara – Syed Azidi Syed Abdul Aziz
Pada 4 Februari, 2016 Malaysia menandatangani perjanjian TPP di Auckland, New Zealand. Ini bermakna Malaysia bersetuju menyertai TPPA setelah diberi mandat oleh wakil rakyat di Parlimen Malaysia.
Semua 14 perkara terkandung dalam Bab Mukadimah teks yang ditandatangani. Bab ini pernyataan niat dan hasrat semua negara ahli terhadap perjanjian. Ringkasan dalam Bahasa Melayu boleh dimuat turun melalui pautan ini.
Bagaimana niat dan hasrat terhadap 14 perkara ini hendak dizahirkan? Teks perjanjian ini mengandungi 30 Bab setebal 595 muka surat, ditambah dengan 5,755 lampiran jadual dan surat memperincikan kaedah, peraturan dan tindakan bagi mencapai niat dan hasrat tersebut.
Apakah 14 niat atau hasrat ini akan menyebabkan Malaysia dijual atau dijajah semula? Pada 8 November 2015, Presiden Parti PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan rasminya berkata, cukup sekadar membaca Bab Mukadimah sudah membuktikan TPPA penjajahan baharu berlandaskan undang-undang. Saranan saya, layarilah Internet dan muat turun serta baca Bab Mukadimah ini untuk anda nilai kewibawaan pendirian PAS.
Bagaimana 14 niat dan hasrat ini boleh menjual negara dan menyebabkan Malaysia dijajah semula?
1) Adakah pemansuhan tarif yang membolehkan produk dari Malaysia dijual pada harga lebih berpatutan di pasaran luar itu akan menyebabkan Malaysia tergadai?
2) Apakah dengan mengukuhkan ikatan perdagangan antara kerajaan dengan kerajaan dan rakyat dengan rakyat adalah tindakan menjual negara? Jika begitu sudah beribu kalilah kita menjual Malaysia dan sebanyak itu jugalah Malaysia sudah dijajah memandangkan kita mengamalkan dasar berbaik-baik dengan semua negara.
3) Adakah mengiktiraf perbezaan antara negara, memperkukuhkan daya saing perniagaan dan menyokong pertumbuhan dan pembangunan industri mikro, mengutamakan kecekapan, ketelusan dan mengurangkan korupsi itu merupakan tindakan menjual negara? Tepuk dada tanya selera.
Tidak boleh dinafikan, kita mempunyai pandangan, nilai dan pemahaman berbeza dalam banyak perkara. Tetapi dalam soal martabat dan kedaulatan negara, tentu sekali pandangan kita tidak berbeza.
Biar saya senaraikan beberapa perbuatan dan tindakan yang jelas boleh ditafsirkan menjual negara dan membuka pintu kepada penjajahan semula.
1) Tindakan meminta kuasa besar memberi tekanan campur tangan dalam politik dan mengenakan sekatan terhadap Malaysia semata-mata untuk membebaskan individu yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah tertinggi negara.
2) Tindakan bersekongkol, memberi sokongan moral dan mengiktiraf kesahihan tuntutan individu atau keluarga yang menyerang dan ingin menghancurkan kedaulatan Malaysia.
3) Memperkecilkan dan mendakwa serangan pengganas dan musuh ke atas wilayah Malaysia sebagai sandiwara sedangkan perajurit negara terkorban dan jasad mereka diperbuat sesuka hati puak penyerang.
4) Tindakan mendapatkan sokongan dan bantuan agensi negara asing untuk memalukan dan menjatuhkan maruah pemimpin dan kerajaan yang dipilih rakyat menerusi proses demokrasi.
5) Tindakan mengagungkan penentang kemerdekaan negara sebagai wira sedangkan ribuan rakyat dan perajurit negara terkorban akibat keganasan yang dilancarkan individu tersebut.
6) Tindakan membelakangkan proses demokrasi dan menghasut supaya kerajaan yang dipilih rakyat digulingkan menerusi kebangkitan di jalan raya yang diselenggarakan sebahagiannya dengan menggunakan dana asing.
Senarai 6 perkara di atas adalah jelas tindakan menjual negara dan membuka kepada penjajahan semula jika tidak ditentang kita rakyat Malaysia dan dibendung pihak berkuasa.
Mengata dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih.
Menentang TPPA tanpa memahami apa kesan sebenar perjanjian ini kepada negara, rakyat dan generasi akan datang adalah sangat tidak wajar. Lebih tidak wajar ialah mendakwa Malaysia akan dijual kepada kuasa asing dengan menggunakan hujah orang asing, kajian di negara asing dan pandangan sarjana asing. Pelik.
Lebih pelik lagi, ialah penentang TPPA sendiri tidak faham dan tidak tahu apa sebenarnya TPPA tetapi begitu lantang menentang di pentas ceramah dan di perhimpunan jalanan.
Ada seorang pemimpin negeri berdiri di pentas dan menyatakan kekhuatirannya, apabila terlaksana TPPA kelak negerinya berkemungkinan tidak lagi dapat memastikan pekerja Islam dibenarkan pergi solat Jumaat dan peniaga Islam tidak lagi dibenarkan menutup kedai pada waktu solat.
Tidakkah beliau sedar Brunei, sebuah negara Islam yang dipujanya kerana melaksanakan hukum hudud adalah salah satu pengasas TPPA? Tidakkah dia sedar Indonesia, negara yang mempunyai penduduk Islam terbesar secara terbuka menyatakan hasrat menyertai TPPA?
Hari ini, Malaysia kekal dengan sistem demokrasi dan hubungan dengan China tidak menjadikan Malaysia sebuah negara komunis sebaliknya membawa banyak kemakmuran kepada negara dari sudut perdagangan dan pelaburan. Pencepatan setengah jam waktu Semenanjung tidak membawa kemurkaan Allah sebaliknya Malaysia terus menikmati kesejahteraan. Dasar Pandang Ke Timur melahirkan keyakinan baru kepada warga Malaysia dan membawa kita melonjak sebagai salah satu Harimau Asia pada dekad 90-an.
Bagaimanapun, kita tidak boleh lalai diruang selesa kerana keselesaan tidak berpanjangan jika kita gagal mengharungi kepesatan perubahan dunia. Sebab itulah Malaysia memilih untuk menyertai TPPA. Ia tidak akan berhenti di situ kerana kita juga sedang mengadakan rundingan dengan Kesatuan Eropah yang terdiri daripada 27 negara menerusi rundingan Malaysia-EU FTA, selain beberapa rundingan lain.
Dakwaan jual negara dan penjajahan semula hanyalah mainan politik murahan semata-mata. Malangnya, seperti yang terbukti oleh sejarah, banyak pihak merelakan diri mereka diguna. Hubungan erat Malaysia-China tidak menjadikan kita hamba kepada negara itu.
Dasar Pandang Ke Timur pula tidak membawa kembali peristiwa ngeri kekejaman tentera Maharaja Jepun dalam Perang Dunia ke-2. TPPA bukan Perjanjian Pangkor. – 17 Februari, 2016.
* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments