rencana

Membudayakan kesopanan dalam kehidupan – Nai’mah Isa

Kesopanan merupakan kata terbitan daripada perkataan sopan, yang membawa maksud baik budi pekerti, bersikap lemah lembut, beradab, hormat, tahu adat, dan tertib.

Sopan santun merupakan satu simpulan bahasa yang menunjukkan ketinggian akhlak seseorang, sama ada melalui perbuatan, percakapan mahupun pemikiran.

Kesopanan merupakan salah satu prinsip rukun negara, yakni prinsip kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.

Bersikap sopan dan bertatasusila sering dikaitkan dengan budaya ketimuran yang penuh adat, dan pengamatan, seperti halnya dalam masyarakat Melayu zaman dahulu kala.

Melangkah jauh ke dalam era globalisasi, pembangunan dan kemodenan tamadun seakan menghakis budaya sopan santun dalam masyarakat.

Muda mudi pada hari ini muncul dengan budaya hipster yang ditakrif mereka sebagai satu budaya yang bergaya, trendy dan juga dewasa.

Pengaruh budaya hipster ini menular dalam segenap masyarakat tidak kita bangsa dan agama, dan boleh dilihat melalui cara pemakaian dan cara bersosial.

Memetik satu contoh pemakaian golongan ini, iaitu pemakaian “skinny jeans” yang sememangnya singkat dan sendat adalah satu budaya yang kurang sopan, sedangkan Islam melarang penganutnya berpakaian seperti telanjang.

Selain aspek pemakaian, aspek perbuatan juga boleh dikaitkan dengan kesopanan. Orang yang sopan tahu untuk bertutur dengan baik, menggunakan perkataan yang tepat dalam apa jua situasi dan tahu apa kepentingan ucapan yang dilontarkan.

Tidak hanya pertuturan secara umum, pertuturan dalam organisasi juga perlu diambil kira di mana kita perlu sentiasa meraikan perbezaan pendapat, dan berbincang secara profesional tanpa mengguris hati mana-mana pihak.

Sebagai contoh, jika tindakan atau cadangan kita ditolak, tidak perlulah kita melawan atau mencabar pihak berkenaan dengan sesuatu yang kurang logik yang menampakkan kependekan akal fikiran kita.

Hadis Nabi Muhammad bersabda baik ataupun diam adalah saranan yang boleh diaplikasikan setiap masa dan di mana sahaja, kerana perkataan yang tidak baik itu hanya menambah dosa sahaja.

Pada hemah saya, aspek kesopanan ini perlu dibentuk sedari kecil. Namun, jika nilai itu makin hari makin menipis setelah meningkat dewasa, ia masih boleh diubati dengan berjalan pulang menuju Tuhan.

Agama kita tidak menjadikan kita jahat malah menambah nilai baik dalam diri kita. Sentiasalah meletakkan diri kita dalam ruang lingkup yang positif, supaya aura sekeliling itu boleh meresap ke dalam diri kita. – 21 Februari, 2016.

* Penulis merupakan salah seorang aktivis Ikram Siswa UPM.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments