rencana
Menangani ekstremisme – Amin Ahmad
Beberapa waktu kebelakangan ini kita dikejutkan dengan dakwaan keganasan yang sebahagiannya berpunca daripada apa yang disebut sebagai faham Wahabi.
Ia kelihatan serius apabila dibuat oleh seorang pegawai institusi agama dan ketua penolong pengarah bahagian keganasan-balas, cawangan khas Bukit Aman.
Lebih rumit lagi, ia turut merujuk pihak-pihak tertentu yang dikenali sebagai antara “ejen” penyebaran faham ekstrem ini.
Sorotan
Sebenarnya, tindak ganas sesetengah pihak memang banyak berlaku dalam sejarah. Cuma, dalam perkembangan terhampir, tidak keterlaluan jika ia dikaitkan dengan kempen “perang melawan keganasan” pasca 911.
Boleh dikatakan terdapat 2 bentuk tindak balas yang menonjol di dunia Islam.
Pertama, mungkin sedikit apologetik, merasa kesal dengan kejadian tersebut dan menekankan bahawa yang terlibat itu mungkin mengaku umat Islam tetapi sebenarnya Islam tidak memerintahkan demikian.
Kedua, agak skeptikal, merasakan ia sebahagian konspirasi besar pihak tertentu dan bertegas tidak mungkin umat Islam yang taat terlibat, sekali gus mengukuhkan sentimen anti Amerika Syarikat yang sedia terpendam dalam diri.
Pada masa yang sama, sikap pemerintah di dunia Islam (baca: salah guna kuasa, menyeleweng dan zalim) menambah lagi kebuntuan. “Perang melawan keganasan” digunakan sebagai slogan bagi mendiamkan kritik dan penentangan terhadap sikap sewenang-wenang mereka.
Adunan
Semua ini mewujudkan fenomena yang masih membingungkan ramai sehingga kini.
“Perang melawan keganasan” secara umum dan kebanyakannya meletakkan beban tanggungjawab apa yang terjadi pada 911 kepada umat Islam, lantas melihat Asia Barat, Timur Tengah dan Afrika Utara sebagai kawasan tumpuan yang memunculkan ramai pengganas.
Ini kerana kebanyakan universiti atau madrasah unggul pengajian Islam terdapat di rantau tersebut, di mana penuntut datang daripada seluruh dunia Islam.
Sentimen anti Amerika Syarikat yang sedia terpendam bukanlah baru dan tanpa asas.
Wajar ada sikap waspada dengan tindak tanduk Amerika kerana campur tangan di banyak negara sejak dulu, bahkan lagak kuasa dunianya dilihat menjengkelkan, malah wajib ditentang.
Cengkaman pemerintah negara masing-masing semakin tidak membantu. Dengan krisis kewangan yang berlaku selepas itu, resepi pergolakan di timur tengah telah cukup, satu demi satu pemimpin autokratik tumbang, ada perang saudara dan juga kudeta.
Tidak semua berhasil mencapai apa yang dimahukan, atau mungkin masih terlalu awal untuk menghakiminya. Tunisia antara yang paling berjaya, meskipun masih tidak cukup stabil. Syria masih bergolak teruk sehingga kini.
Tafsirannya juga pelbagai. Masih berlegar pada skop campur tangan kuasa asing, khususnya Amerika dan menentang pemerintah yang bersikap sewenang-wenang.
Melebar
Adunan rangkaian peristiwa ini tidak mudah dimengerti. Dengan capaian maklumat pantas kini, sentimen simpati terhadap saudara Islam di negara-negara bergolak tetap ada.
Malah, dikatakan ada segelintir yang pergi bersama membantu. Maka, terlepas apa pun sikap asal – apologetik atau skeptikal, sikap berjaga-jaga masih dilihat perlu.
Ia sekali gus menjadi pengakuan akan kecenderungan faham ekstrem di kalangan masyarakat di negara ini.
Tambahan pula, kata “amok” yang diambil sebagai kosa kata antarabangsa secara tersirat membayangkan sikap yang boleh muncul di kalangan kita.
Data Tinjauan Sikap Global menunjukkan tahap kebimbangan besar rakyat Malaysia terhadap keganasan meningkat tiga peratus antara 2013 hingga 2015.
Pendekatan lazim membendung ekstremisme cenderung bersifat kawalan.
Jalan lain
Namun begitu, 67% umat Islam di Malaysia menolak “tangan keras” pemimpin, sebaliknya percaya tindakan demokratik dalam menyelesaikan isu-isu yang ada.
Ini penting diberikan perhatian. Indeks Keganasan Global 2015 menyatakan 5 hubung kait dan pendorong keganasan ialah keganasan politik kerajaan (92% kes daripada 1989 hingga 2014); persekitaran yang tidak selamat; kurangnya rasa hormat terhadap hak asasi manusia (khususnya kebebasan beragama) dan badan antarabangsa; serta pelbagai faktor berbeza antara negara kaya dan lebih miskin.
Sejarah memang tidak sunyi daripada pemerintah yang menjadikan situasi tidak terkawal atau kecemasan sebagai pra teks kepada peningkatan cengkaman mereka terhadap kebebasan dan keadilan untuk semua.
Maka eloklah diingatkan bahawa tatkala bantahan ditekan, perubahan demokratik secara aman dijadikan mustahil, maka ia menyediakan persekitaran yang terdedah kepada eksploitasi, di mana keganasan akan dilihat sebagai penyelesaian tunggal.
Pihak berkuasa dan agamawan harus berhenti daripada galak menunjukkan pihak lain salah dan merasa diri suci daripada sebahagian punca faham ekstrim dan juga tindakan ganas.
Sesungguhnya warga Malaysia yang sederhana amat sedar atau peduli dengan sikap sewenang-wenang yang ada, cuma mereka masih meyakini peluang bagi mencapai kemajuan, kebebasan dan keadilan lebih terbuka dengan keamanan. – 7 Februari, 2016.
* Amin Ahmad ialah pengarah eksekutif, Institute for Leadership and Development Studies (LEAD).
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments