rencana

Mengembalikan Kelantan dalam ranah wacana sastera – Asri Yussof

Penulisan (buku atau bukan buku) dan wacana adalah suatu hal yang tidak boleh dipisahkan sama sekali. Ianya diibaratkan seperti isi dan kuku.

Perbincangan terhadap sesuatu tulisan (buku) adalah jalan untuk membangunkan wacana.

Namun, wacana juga timbul kerana isu yang berlegar dalam kalangan masyarakat.

Kelantan sejak sekian lama tidak mati dengan wacana.

Sehingga hari ini, Kelantan masih konsisten dengan wacana.

Persoalannya wacana yang macam mana masih bertahan di negeri Kelantan ini?

Wacana yang berlaku di Kelantan, hanyalah wacana politik.

Abdul Razak Mahmud  dalam program Bicara Tokoh yang diadakan di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) sekitar Disember 2015 menjelaskan, bagaimana wacana politik menjadi wacana yang begitu popular di Kelantan hari ini,

Sebenarnnya suasanalah yang membentuk kita. Bagaimana Kelantan boleh menjadi sebuah negeri yang gemilang dengan proses persuratan sebelum ini adalah disebabkan suasana yang digerakkan dan dimainkan peranan oleh rakyat itu sendiri.

Berbeza dengan hari ini, Kelantan sudah malap dalam persuratan sehinggakan wacana-wacana politik menjadi popular dan mengambil ruang-ruang di sekitar Kelantan.
Jadi, fahamlah kita, Kelantan menjadi begini hari ini disebabkan politik yang sudah mengambil semua ruang di Kelantan, hinggakan tiada lagi ruang untuk perbincangan persuratan, sastera di negeri Kelantan ini.

Dalam meneliti kenyataan sebegini, bolehkah kita mempersoalkan kembali slogan, Kelantan: Universiti politik terbuka?

Sekitar akhir 1999, beliau mencatatkan keresahannya dalam dunia persuratan:

“Inilah kenyataan yang ada di hadapan kita sekarang, semuanya sudah pada memudar dan malap. Amat disayangkan kalau diingat kita sudah memulakan tradisi ini dengan baik. Untuk selama satu abad, tradisi persuratan dan keilmuan ini yang kita bangunkan sambung bersambung. Ramai tokoh yang mengambil bahagian. Banyak karya tulis dihasilkan. Dan dengan dibantu oleh beberapa syarikat percetakan yang sengaja dibangunkan bagi memudahkan prasarana cetak; negeri Kelantan (Kota Baru) muncul menjadi antara pusat penerbitan dan persuratan Islam yang dihormati di Tanah Semenanjung. Sayangnya, menjelang akhir abad yang sama, tradisi ini menjadi malap, pudar dan malahan sirna. Meskipun hari ini terdapat ramai ilmuan lain, tetapi mereka tidak menulis.”

Partisipasi penulis Kelantan yang melalui hasil karya fiksyen atau bukan fiksyen mengambil manfaat darinya untuk menyampaikan kritikan sebagai tanggungjawab sosial untuk menyedarkan masyarakat dan memupuk wacana kritis ke dalam kelompok masyarakat sekitar.

Ini dapat disaksikan melalui tulisan Abdul Kadir Adabi dalam Melati Kota Bharu, Sebelas Rejab, tulisan S. Othman Kelantan dalam Wajah Seorang Wanita, Juara, Orang Kota Bharu dan banyak lagi karya sastera yang mengambil peluang untuk membangunkan kritik sosial melaluinya.

Pada 25,26 dan 27 Februari 2016 akan berlakunya acara Kota Bharu Hok Kita iaitu sebuah Pesta Buku Alternatif dan "Kota Bharu Literary Festival" bakal diadakan di Kota Baru, Kelantan.

Festival ini akan diadakan di KB Mall, bermula dari 10 pagi hingga 9 malam.

Apa yang menarik, inilah acara yang julung kali diadakan di Kota Baru dengan adanya wacana sastera dan jualan buku dalam satu festival.

Apa yang ditunggu dan diharapkan selama ini akhirnya bakal berlaku.

Kita sedia maklum dengan buku pilihan anak muda kini yang dipopularkan genre sebagai "Indie" atau lebih tepat sebagai buku alternatif.

Apa yang lebih penting dari itu, sastera (pengisian buku) itu sendiri haruslah menjadi releven untuk diwacanakan.

Faisal Tehrai berpendapat, karya sastera yang relevan adalah dengan karya itu sendiri menjadi medan untuk membantu orang tertindas, ditekan, dinafikan hak asasinya.

Kota Bharu Hok Kita adalah sebuah festival terbuka dan percuma untuk semua.

Penganjur utama diterajui bersama syarikat penerbitan Puteh Press, Dubook Press dan kedai buku SMO Bookstore dengan kerjasama syarikat penerbitan buku alternatif yang lain dan juga Majlis Pembandaran Kota Bharu (MPKB).

Festival ini nanti akan diisi dengan 10 wacana sastera bersama dengan penulis dan penerbit, 2 acara pelancaran buku baharu, satu acara puisi dan 3 persembahan kebudayaan serta busker.

Dengan berlangsungnya acara ini, kita berharap agar pembaca sastera bukan sekadar membaca tetapi dalam masa yang sama membangunkan wacana sastera dengan lebih giat dan membumi, dengan itu anak muda di sana (Kelantan) boleh membangun dengan intelektual yang baik dan berlaku emansipasi dalam lapangan kerja sosial dengan menghubungkan sastera sebagai jalan yang mampu bersuara untuk kemanusiaan.

Jikapun terlalu melangit untuk kita berharap Kelantan dalam mengembalikan kegemilangan persuratan seperti dulu, sekurangnnya para anak muda yang membaca ini dapat meneruskan pembaikan dalam persuratan dan wacana.

Perkara ini tidak mudah, anak muda ini harus memikul pencerahan yang baik buat dirinya.

Immanuel Kant dalam Beantwortung der Frage: Was ist Aufklarung?  (“Jawapan kepada Soalan: Apa itu pencerahan?”) mentakrifkan pencerahan untuk kita fahami sebagai:

“Pencerahan adalah kemunculan seseorang dari ketidakmatangannya yang sendiri dipikul. Ketidakmatangan merupakan ketidakupayaan seseorang untuk menggunakan kefahamannya tanpa panduan orang lain. Ketidakmatangan ini adalah sendiri dipikul apabila sebabnya bukanlah kekurangan dari segi kefahaman, tetapi kekurangan azam dan keberanian untuk menggunakannya tanpa panduan orang lain. Sapare aude! Beranilah menggunakan kefahaman sendiri! Itulah cogan kata Pencerahan.” – 12 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments