rencana

Mengurus perbezaan kepelbagaian pemikiran – Mohd Jamizal Zainol

“Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan agama Allah) melainkan se sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata mata kerana hasad dengki  sesama sendiri. Dan kalaulah tidak kerana terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap kitab itu.” (Al-Quran 42:14)

Mutakhir ini banyak perbincangan mengenai kepelbagaian pemikiran dalam Islam, pelbagai selok-belok lenggok pemikiran dihidangkan saban hari di dada akhbar mahupun kuliah-kuliah di masjid.

Isu isu seperti politik, sosial dan ekonomi sehinggalah ke isu-isu ranting di dalam agama Islam seperti amalan beragama turun temurun seperti tahlil, talkin, bersanding dan perayaan menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW dibincang dan dikupas melalui perspektif pemikiran firqah (kelompok dan kumpulan) masing-masing.

Pendek kata, sudah menjadi suatu macam minum teh tanpa gula jika isu itu tidak digarap melalui kaca mata firqah-firqah pemikiran berdasarkan kelompok mana mereka wakili sama ada pro-kerajaan, pembangkang, Wahabi, Ash’ary, Sufi Tarekat , sekularis liberalis dan pelbagai lagi.

Kita ambil contoh isu talkin (ucapan nasihat selepas seseorang Islam yang meninggal dunia  dikebumikan) adakah ia amalan yang dibolehkan atau tidak. Bagi penulis boleh atau tidak bergantung kepada hujah masing-masing.

Dan peri pentingnya kita sebagai orang awam dalam memahami wacana ini melihat kepada hujah-hujah ini berdasarkan dalil-dalil al-Quran sebagai rujukan utama dan hadis-hadis sahih yakni 2 sumber ilmu tertinggi dalam ajaran Islam.

Ada pandangan yang mengatakan isu-isu seperti talkin dan bacaan Yassin di malam Jumaat selesai kerana disepakati oleh ilmuwan Islam dan tidak perlu dipertikaikan. Ini tidak bermakna ia tidak boleh dibahaskan semula atas dasar kesesuaian keadaan sekarang.

Pernahkah kita mengalami sendiri di mana masyarakat setempat sudah menjadikan ia suatu kewajipan dan mesti dilaksanakan sehingga membeban dan menyusahkan? Ini belum lagi mengambil kira budaya masyarakat Melayu menjadikan penyediaan jamuan makanan dan minuman sebagai kewajipan dalam menguruskan kematian sehingga menjadi buah mulut masyarakat setempat jika ia dilanggari. 

Sudah tentu ini tugas ilmuwan Islam untuk menerangkan tempat duduk sebenar amalan-amalan itu supaya masyarakat benar-benar faham akan hakikat sesuatu amalan tanpa berniat mengharamkan dan memandang serong pada amalan-amalan itu.

Terpulanglah pada individu sama ada ingin beramal atau tidak selagi mana amalan itu didasari dengan ilmu yang benar. Bukankah ini yang menjadi slogan kerajaan supaya kembali kepada “Islam sebenar”?

Isu kalimah Allah misalnya pernah menjadi perbincangan yang begitu sengit sehingga mencetuskan bibit permusuhan bukan hanya sesama Islam tetapi juga dengan bangsa lain. Kita mudah melabelkan mereka yang bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain sebagai murtad dan kafir tanpa meneliti hujah didatangkan.

Adakah dengan mendatangkan hujah-hujah membolehkan penggunaannya boleh terus dihukum kafir,murtad dan sebagainya?

Ada juga pertentangan sengit dalam isu-isu tertentu walaupun ia sudah disepakati para ilmuwan Islam (ijmak’) dan pada hemat penulis ijmak’ adalah hasil pendapat manusia yang masih ada ruang berbeza pendapat.

Sudah tentu dengan isu-isu baru di zaman moden ini maka ijtihad (pandangan dan pendapat) perlu disesuaikan dengan masalah dan isu-isu terkini. Isu “vape” adalah salah satu misal yang memerlukan ijtihad terkini.

Isu “multi level marketing”, pelaburan seperti ASB, emas dan perdagangan wang asing (forex) juga adalah perkara yang memerlukan ijtihad baru oleh pakar ilmuwan Islam.

Pendirian sebagai orang awam

Kita tidak harus menolak suatu pandangan berdasarkan label atau dari firqah mana pandangan itu dilontarkan, misalnya terus menolak mentah-mentah pandangan kononnya daripada kelompok Wahabi (kadang-kadang saya kasihan melihat nasib Muhammad Ibnu Wahab salah seorang pemikir Islam dipersalahkan apabila timbul soal begini) yang tidak menggalakkan amalan-amalan ranting tertentu dalam Islam walaupun disepakati dan diamalkan masyarakat Muslim di Nusantara.

Sebaliknya kita harus berlapang dada dan menerima hakikat isu-isu ranting ini boleh berbeza pandangan dan terpulang kepada setiap individu untuk beramal atau tidak selepas meneliti dan berpuas hati dengan hujah ditawarkan.

Kendatipun begitu, kita sebenarnya sudah terperangkap dengan isu-isu sebegini sekian lama yang jika tidak diuruskan dengan bijaksana menyebabkan perpecahan serius dalam negara. Isu-isu sedemikian tertegak dengan hujah masing-masing tanpa perlu pihak tertentu menuduh pihak yang tidak bersetuju sebagai kafir atau murtad.

Sebenarnya mereka yang mudah mengkafir dan melabel inilah yang sebenarnya ekstrem yang jika tidak dikawal boleh menggugat keselamatan awam.

Nah, apabila sesuatu isu sudah boleh menggugat keselamatan awam maka sebagai kerajaan yang bertanggungjawab terpaksa bertindak bagi memastikan keharmonian terjamin termasuk menggunakan undang-undang yang sesuai bagi menangani ektremisme.

Apabila kerajaan sudah mula bertindak maka akan ada suara-suara sumbang mengatakan kerajaan zalim dan diktator. Pendek kata, kitalah sebagai individu yang bertanggungjawab memastikan perbezaan ini diurus dengan baik, tidak menggugat keselamatan awam sehingga mengundang campur tangan kerajaan.

Akhirnya masyarakat itu sendiri akan rugi dan meminjam kata-kata Dr Siddiq Fadzil seorang ilmuwan tersohor negara apabila “authority of ideas” bertukar menjadi “ideas of authority” (kekuasaan idea dan pendapat dalam masyarakat bertukar menjadi penguasa membungkam percambahan idea.)

Tidak keterlaluan jika penulis mengambil sikap pendekatan melihat sesuatu isu melalui kaca mata firqah- firqah hakikatnya ini tidak sihat dan mengundang perpecahan. Ketaksuban kepada firqah-firqah ini membingitkan dan selalunya tidak membuahkan hasil positif.

Tiada salahnya berbeza pendapat dengan syarat kita mampu mengurus perbezaan pendapat dengan baik terutama melalui dialog dan “engagement”. Tidak cepat menghukum menjadi prasyarat utama kepada mengurus perbezaan pendapat. Apatah lagi menghukum kafir bagi mereka yang tidak sependapat.

Kita perlu menerima hakikat perbezaan pendapat seperti ini adalah lumrah manusia yang dikurniakan akal. Manusia ini istimewa dilantik sebagai khalifah kerana kekuatan akal mampu berfikir, bertaakul, berinspirasi dan merancang.

Ini fitrah, kerana idea, percambahan pemikiran dan pandangan adalah sesuatu yang fitrah bagi manusia. Dengan adanya kebebasan idea dan pandangan inilah terbentuknya ketamadunan. Ini bezanya manusia dengan binatang dan tumbuh tumbuhan yang tidak dikurniakan pemikiran.

Menolak dan membungkam percambahan idea dan pemikiran ibarat menolak fitrah manusia itu sendiri.

Apa peranan kerajaan?

Sudah tentu dalam hal ini kerajaan menjadi agen bagi menguruskan perbezaan pendapat. Kerajaan perlu menyediakan ruang dan peluang supaya idea-idea dan pandangan dapat dilontarkan.

Dalam hal yang sama, kerajaan hanya perlu memantau supaya idea-idea ini tidak menggangu-gugat ketenteraman awam dan sensitiviti perkauman dan pastikan tiada elemen ekstrem seperti menghukum kafir bagi mereka yang berbeza pendapat.

Paling penting, kerajaan perlu menggalakkan usaha dakwah bukan menghukum. Bagi mereka yang basah lidah mereka dengan mudah mengkafirkan dan memurtadkan kumpulan itu dan ini, maka penulis menyeru kerajaan memberikan nasihat dan pemulihan kepada mereka dan jika masih berdegil maka tindakan berlandaskan undang-undang harus diambil.

Kita tidak mahu berulangnya sejarah hitam (mihnah) apabila ilmuwan Islam Ibnu Hanbal yang hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Al-Ma’mun di bawah kerajaan Abbasiyah diseksa dan dipenjarakan gara-gara tidak bersetuju dan tidak mahu mengakui fahaman Muktazilah yang mengatakan al-Quran itu makhluk.

Apa peranan ilmuwan Islam?

Memberikan perhatian kepada isu-isu lebih mendasar  dan muassir (kontemporari) seperti berikut:

1) Isu isu alam sekitar;
2) Isu isu melibatkan sains dan teknologi;
3) Isu isu ekonomi; dan
4) Isu isu tadbir urus negara (governance) dan penggunaan harta awam.

Dan jika perlu, ilmuwan Islam perlu menumpukan daya usaha dan tenaga berfikir bagi menghasilkan penciptaan , inovasi atau karya yang layak diiktiraf dunia sehingga memenangi Hadiah Nobel.

Pendek kata, setiap individu perlu meneliti dan memahami al-Quran dan sunnah supaya tidak ada perpecahan pada umat Islam. Islam itu satu, dan yang memporak-perandakannya dan membina firqah-firqah ini adalah mereka yang berhasad dengki seperti yang Allah berikan amaran di dalam ayat al-Quran yang penulis nyatakan di awal penulisan kerana seksanya amatlah pedih.

Dan yang paling penting kita raikan percambahan idea dan pandangan kerana itu adalah fitrah manusia , menolaknya seperti menolak fitrah manusia itu sendiri. – 19 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments