rencana

Menteri bukan wakil rakyat – Ishak Sairozi

Menteri adalah golongan yang dipilih rakyat melalui pilihan raya untuk melayan kerenah mereka. Setiap wakil rakyat tidaklah menjadi yang berhormat untuk kepentingan diri sendiri sebaliknya untuk kepentingan rakyat.

Apabila seseorang itu dilantik, ia bermaksud rakyat memilih pekerja yang sesuai untuk menyantuni kerenah mereka.

Tetapi melihat senario politik Malaysia, keadaan ini tidak menjadi seperti yang sepatutnya. Menteri-menteri kita marcapada umpama kaduk naik junjung.

Untuk mendapatkan khidmat mereka saja pelbagai proses yang rencam perlu dilalui. Kerenah birokrasi, protokol yang renyah, dan sistem yang sukar menyukarkan golongan ini didekati.

Tidak semua, tetapi kebanyakan menteri tidak akan mahu menyantuni rakyat biasa secara ringkas dan mudah. Aduan masalah ialah daripada aduan rakyat kepada menteri.

Menteri (bukan semua) tidak rajin untuk turun padang bagi menggali dan mengenal sendiri masalah yang dihadapi rakyat. Muka-muka ini hanya hadir apabila ada program yang perlu dirasmikan, ada jemputan yang dihadiri orang lebih besar daripada mereka dan sekiranya tiada urusan yang memerlukan mereka mengeluarkan wang, masa dan tenaga yang banyak.

Apabila rakyat mengeluh dan meminta wakil yang dipilih mereka mencari solusi yang mudah dan mendatangkan maslahat kepada rakyat, menteri akan memberikan solusi yang mudah dan tidak menyelesaikan masalah.

Sebaliknya, rakyatlah yang akan dipersalahkan kerana sendiri memilih untuk hidup susah. Rakyat tidak pandai berdikari, hidup hanya dengan subsidi, makan minum segala perlu disuap menteri.

Menteri zaman sekarang sudah tidak lagi punya rasa untuk berkhidmat kepada masyarakat. Mereka ada hanya kerana jawatan. Mereka pentingkan diri, bukan pentingkan orang yang mengundi. Perangai sebegini harus diubah sebelum golongan ini diperangi dan dibenci rakyat sendiri.

Sedarlah… kerusi empuk, baju berkot, leher yang diletakkan tali dan kereta bercermin gelap dengan pemandu peribadi bukanlah sesuatu yang abadi. Ia tidak diberi sekadar untuk dinikmati sendiri. Ia merupakan keistimewaan yang diberi untuk memudahkan mereka kembali menabur bakti kepada rakyat yang mengundi.

Ada 2 solusi yang boleh diambil kira. Pertama, kembali menabur jasa kepada rakyat jelata, penuhi segala permintaan dan mudahkan kehidupan mereka atau beri peluang kepada mereka yang lebih layak.

Ke-2, beri peluang kepada mereka yang ingin membantu rakyatnya menjadi masyarakat maju berdaya saing menjelang tahun wawasan yang tidak lama lagi. Berhenti pentingkan diri sendiri, bantulah orang yang perlu kita dekati.

Ingat pesan ini, jangan bersikap melebihi daripada ukuran diri, baik waktu duduk dalam satu majlis atau dalam cara berpakaian, berkenderaan, makan dan minum. Bersederhanalah. Semoga matahari akan bersinar kembali dan kepanasannya mencairkan beku ego di hati menteri. – 4 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments