rencana
Mitos Melayu malas 3M v 3D – Ridhuan Tee Abdullah
Mampukah belia Melayu menceburi bidang kerja 3D (Dirty, Difficult dan Dangerous) seperti yang dilakukan buruh asing, kaitan dengan cadangan untuk membawa masuk 1.5 juta Bangladesh? Jawapannya, sudah tentu mampu jika Melayu sedar diri dan mahu berubah.
Bacalah buku Pendeta Za’ba (2009), khusus untuk Melayu, perangai bergantung kepada diri sendiri. Mitos Pribumi Malas (Syed Hussein Alatas, 1989). Jika nak sesuatu itu berubah, mesti datang daripada diri sendiri terlebih dulu. Yang lain, hanya boleh membantu. Jangan pergi jauh, sektor pembantu rumah, berapa ramai orang Melayu yang sanggup bekerja? Hampir tiada.
Mengenali hakikat kejadian manusia, Allah jadikan kita sebaik-baik makhluk. Bacalah sejarah manusia dan sejarah Melayu. Setiap insan atau bangsa ada kelebihan tertentu, sama ada sedar atau tidak. Tidak timbul isu, hanya Cina saja rajin, Melayu tidak. Masa Melayu, selalu lambat, orang lain tidak. Masalahnya bukan berkaitan dengan bangsa tetapi sikap. Mahu berubah atau tidak? Apa pula tanggungjawab pemimpin terhadap umatnya. Kenapa Melayu di luar negara boleh berjaya? Kenapa tidak dalam negara? Apa punca masalahnya?
Ya, tidak dinafikan segelintir Melayu mahukan kerja glamor, popular dan kaya. Jika ada program realiti pastinya orang Melayu yang berbaris panjang, walaupun mungkin bakat seni tidak ada. Mari kita bersama cari ubat Melayu. Pertama, ubatilah hati agar bersih, ikhlas dan bersangka baik sesama sendiri.
Konsep ihsan mesti dihayati iaitu bekerja seolah-olah Allah nampak kita. Hari ini mesti lebih baik daripada semalam. Esok mesti baik daripada hari ini. Kata-kata siapakah itu?
Kedua, Melayu mesti menolong Melayu berasaskan Islam. Agama Islam sangat mulia dan terpuji. Sediakan sekumpulan pakar untuk mengajar subjek agama Islam sebagai agama yang positif dan dinamik. Islam sangat menentang sikap bermalas-malas. Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Jika boleh, masukkan kurikulum dan kursus kahwin, bukan hanya pendidikan seks semata.
Mereka yang berkebolehan, berbakat dan berilmu mesti diketengahkan. Jangan 'dipetiaiskan' kerana takut memberi ancaman. Ada pemimpin politik takut melantik orang yang lebih pandai daripadanya, takut-takut akan dicantas. Maka dilantiklah ahli yang mudah diperkuda dan kerjanya asyik membodek dan kata yes. Maka kekallah dia sebagai pemimpin sampai mati. Hati dan sikap Melayu sebegini perlu diubati.
Ketiga, sikap Melayu (Attitude). Attitude jika disusun susun huruf A = 1 markah sehingga Z = 25, hasilnya 100%. 1(A)+20(T)+20(T)+I(9)+T(20)+U(21) +D(4)+E(5)=100. Susunlah perbuatan lain, tidak dapat 100%. Bagaimana nak ubah sikap, juga berpunca dari hati.
Dalam Islam, apa jua sektor kerja diceburi, yang paling penting adalah halal, barulah berkat. Sanggupkah kita cuci longkang, potong rumput, bina bangunan di tengah panas terik matahari. Sanggup. Pokoknya, bayaran mesti setimpal. Kenapa kebanyakan orang suka berhijrah untuk cari pekerjaan? Bayarannya berbaloi. Jika Melayu diberikan gaji minima RM2,000 dan insentif lain, pasti ada yang sanggup. Negara untung, duit tidak mengalir keluar. Gejala sosial boleh dikurangkan, kerana pekerja asing selalu dahagakan seks.
Keempat, terdapat banyak institusi berkaitan Melayu dan Islam di negara ini dan dibiayai kerajaan kerana perlembagaan membenarkan, termasuk Majlis Profesor Negara. Buatlah kajian. Kerajaan dengarlah. Kenapa sampai sekarang masih membincangkan isu Melayu?
Lihat NGO Cina, segala jenis persatuan mereka ada. Persatuan bahasa (dialek), ikan, ayam, sayur, lori bas dan sebagainya. Bersatu dan dinamik. Sekali mereka gegar...kecut! Ramai yang tunduk.
Kita asyik bergaduh. Kalangan cendekiawan, agamawan, penjawat awam dan orang pencen tidak kurang politikingnya. Bila ada masa untuk membincangkan kekuatan Melayu. Melayu semakin Melayu.
Kelima, teringat kata hikmah Ungku Aziz, (1) rajin bercakap - rajin bekerja = bagus, (2) rajin bekerja - malas bercakap = kena buli, (3) malas bekerja - rajin bercakap = wayang Cina, (4) malas bekerja - malas bercakap = tak guna, (5) malas bekerja - suka mengadu = nyanyuk, (6) malas bekerja - selalu ponteng = baik berhenti, (7) malas bekerja - suka menyibuk = baik mati. Kategori mana duduk Melayu?
Melayu tidak boleh berlengah lagi. Perlu ada perancangan strategik jangka panjang dengan memberikan keutamaan kepada isu yang mendesak. Lakarkan visi strategik untuk melayari masa depan. Melayu juga perlu gigih mencari kumpulan pemimpin yang lebih baik yang mampu mewakili mereka dengan lebih berkesan dalam memperjuangkan kepentingan dan aspirasinya. – sinarharian.com.my, 25 Februari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments