rencana

Mudahnya umat Islam berbalah – Zulkiflee Bakar

Segalanya bermula apabila tercetus isu Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin mahu berdebat dengan Pengerusi Ahli Sunnah Wal Jamaah, Zamihan Mat Zin berhubung isu Wahabi.

Lanjutan itu kedua-dua mereka berbalas kenyataan, Asri menegaskan Zamihan mempunyai masa sehingga 17 Februari untuk berdebat dengan beliau manakala Zamihan pula mahu ia diadakan secara tertutup.

Kenyataan kedua-dua mereka disiarkan portal berita propembangkang, Malaysiakini. Penulis tidak kisah soal kenyataan mereka tetapi apa yang dipersoalkan bagaimana tindakan Malaysiakini yang membenarkan komen terhadap berita tersebut yang ada antaranya melampau.

Tindakan Malaysiakini melepaskan komen tanpa tapisan membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk “berdebat”, paling malang ia mencetuskan perbalahan antara umat Islam. Masing-masing mahu mempertahankan pendirian masing-masing. Kesudahannya berlaku perkara yang mendukacitakan, apabila ada antara komen-komen itu menghina pemimpin, mencaci ulama, mengecam mufti dan memaki para ustaz.

Berdasarkan ratusan komen berkaitan kenyataan Asri dan Zamihan itu, ternyata segelintir umat Islam sudah terperangkap dengan mainan pihak tertentu untuk memecahbelahkan mereka. Malah apa yang paling malang, ada juga yang mengambil kesempatan untuk memperlekehkan agama Islam.

Sebab itulah sejak awal lagi penulis sentiasa berpendapat, percanggahan pendapat atau khilaf antara ulama tidak harus dilakukan secara terbuka kerana ia tidak akan mendatangkan sebarang keuntungan kepada umat Islam.

Begitu juga apabila seorang ahli agama membuat kenyataan berkaitan ulama lain, ia hanya akan membuka ruang kepada “musuh Islam” untuk mengambil kesempatan. Malangnya, segelintir umat Islam di negara ini masih belum sedar atau sengaja buat-buat tidak sedar.

Perbincangan yang sepatutnya berteraskan kepada perbezaan pendapat dan dilakukan secara berhemah, sebaliknya dihiasi dengan kata-kata nista dan maki hamun.

Perbuatan itu terbukti jika kita mengkaji satu demi satu komen yang dimuatkan portal berita tersebut. Semuanya dilepaskan tanpa tapisan biarpun mengetahui ia boleh memecah belah umat Islam.

Atas sebab itulah, dalam apa juga situasi dan berdepan dengan apa juga isu, umat Islam sepatutnya rasional, bukannya emosional. Isu berkaitan hal ehwal Islam seharusnya diperbincangkan dengan penuh kesopanan dan kebijaksanaan.

Ia kerana musuh Islam hanya menanti masa saja untuk melemahkan umat Islam dengan mencetuskan perbalahan sesama mereka. Itulah yang berlaku dalam isu perdebatan antara Asri dan Zamihan tersebut.

Persoalannya sampai bilakah umat Islam akan begitu mudah dihasut untuk bersengketa sesama sendiri? Tidak cukupkah selama ini mereka bertelingkah kerana berbeza fahaman politik? Kenapakah perlu dibiarkan isu fahaman pula mewujudkan ketegangan kepada mereka?

Pihak berkuasa perlu memandang serius perkembangan ini termasuklah menyiasat motif di sebalik tindakan Malaysiakini menyiarkan komen berkenaan tanpa tapisan. Kalau betul Malaysiakini sebuah portal berita yang bertanggungjawab sudah tentulah mereka akan memahami bahaya komen seumpama itu.

Bagaimanapun hendak menyalahkan portal berita itu sepenuhnya pun tidak boleh juga. Ia kerana segalanya berpunca daripada sikap umat Islam sendiri. Dalam kalangan kita masih “jahil” untuk berbincang atau berhujah secara berhemah. Kalau seseorang itu tidak bersetuju dengan pandangan kita, maka dia akan “diserang” habis-habisan sehingga sampai ke tahap mengkafirkan antara satu sama lain.

Mereka lupa kepada peringatan Allah dalam surah Ali Imran ayat 19 yang bermaksud:“Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang yang diberi kitab kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barang siapa ingkar terhadap ayat Allah, maka sungguh, Allah sangat cepat perhitungan-Nya.”

Oleh itu, kalau benar, semua umat Islam memegang teguh ajaran Islam, sudah pasti setiap perbezaan akan diraikan dengan penuh kebijaksanaan termasuklah dalam berpolitik. Tetapi itu tidak berlaku. Apa yang sering kita saksikan adalah umat Islam mencerca sesama sendiri dan mahu menegakkan pendirian masing-masing sehingga mencetuskan permusuhan.

Kalau benar masing-masing berasa hebat sangat dalam ilmu agama kenapakah tidak mencontohi ulama besar walaupun mempunyai ilmu tinggi tetapi sentiasa saja menunjukkan kematangan dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat.

Mereka sentiasa berpandu kepada Al-Quran dan hadis serta tidak memaksa orang lain menerima hujah mereka dan sentiasa bersedia menerima perkara yang benar daripada sesiapa juga. Mereka tidak pernah menganggap pendapat yang dilontarkan sebagai paling tepat sehingga wajib untuk diikuti, dan menolak pendapat lain sehingga menganggapnya sebagai sesuatu yang bertentangan dengan agama.

Imam Syafi’i pernah mengungkapkan, ‘’Pendapatku benar, tapi memiliki kemungkinan untuk salah. Sedangkan pendapat orang lain salah, tapi memiliki kemungkinan untuk benar.”

Namun semua teladan yang baik tidak diikuti sebahagian umat Islam di negara ini. Bagi mereka, kalau sesiapa yang tidak mengikuti pandangan mereka atau tidak berada dalam kelompok mereka, maka orang itu akan dilihat sebagai “musuh”. Keadaan itulah yang melemahkan umat Islam dan memungkinkan orang Melayu tidak mampu bersatu.

Sepatutnya mereka mengingati firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 48 yang bermaksud;”Dan Kami telah turunkan kepadamu Al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang datang kepadamu. Untuk setiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang.

“Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan itu.” – utusan.com.my, 11 Februari, 2016. 

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments