rencana
Mukhriz yang diasak, Najib kena gasak – Muammar Qaddafi
Langkah penyingkiran Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang setakat ini berakhir dengan kegagalan nampaknya memakan diri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kumpulannya.
Sokongan rakyat Kedah kepada Mukhriz menonjol dengan jelas sekali, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga ahli Parlimen Pokok Sena juga tidak ketinggalan memberikan sokongan kepada menteri besar Kedah itu.
Video sekumpulan anak muda menyanyikan sorakan "Kami mahu Najib Undur" bergema di Stadium Darul Aman Kedah ketika perlawanan bola sepak antara pasukan Kedah dan Sg Ara FC yang turut dihadiri Mukhriz dan Mahfuz.
Selepas Najib ditolak dan dibenci rakyat Johor kerana tindakannya memecat Tan Sri Muhyidin Yassin, kini Najib terpaksa berhadapan dengan asakan rakyat Kedah yang tidak bersetuju perkara serupa dilakukan terhadap pemimpin mereka.
Sokongan Mahfuz kepada Mukhriz ternyata tepat walaupun mungkin tanpa merujuk daripada parti beliau terlebih dahulu.
Mahfuz memilih untuk menyokong pihak yang boleh memberi kelebihan kepada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang, sekurang-kurangnya beliau berjaya mengurangkan musuh dan mencari lebih kawan dalam menentang kebobrokan pemerintahan Umno dan Barisan Nasional hari ini.
Najib kini diasak bukan sahaja dari luar parti, bahkan dari dalam parti bahkan oleh penyokong atas pagar, dan yang pasti, ada orang mandi tak basah, hajat tak kesampaian, tidur tak lena.
Dan cinta sedondon tak berbalas kerana salah memilih penasihat dan panglima perang dalam menentang Mukhriz.
Kini kita tertanya tanya apa pula langkah PAS dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap isu ini? Adakah berkecuali sebagaimana MCA? Atau memberi bantuan kepada yang dinasihati mereka iaitu Najib dalam menjatuhkan Mukhriz?
Ataupun memilih langkah yang sama bijak seperti Mahfuz yang mampu membantu menarik sokongan rakyat Kedah untuk menyokong PAS menentang Umno dan Barisan Nasional pada PRU14 akan datang? – 2 Februari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments