rencana

Najib perlu contohi Umar lebih dari sekadar memecat gabenor - Muammar Qaddafi

Tindakan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak memecat Datuk Seri Mukhriz Mahathir disamakan dengan kisah Saidina Umar Al Khattab memecat  gabenornya oleh pemimpin Umno lain.

Ya benar, tindakan memecat pemimpin bawahan oleh pemimpin atasan itu tidak salah jika pemimpin atasan merasakan itu yang lebih baik untuk kepimpinannya walaupun pemimpin bawahan itu tidak melakukan kesalahan besar.

Saidina Umar juga pernah memecat panglima perang terbaik Islam Khalid Al Walid sejurus beliau mengambil alih peranan khalifah mengantikan Abu Bakar as-Siddiq.

Maka memecat Mukhriz adalah hak Najib, tidak mengapalah.

Namun suka untuk saya menyeru Najib sebagai pemimpin negara untuk mencontohi Umar lebih daripada sekadar memecat pemimpin bawahan beliau kerana banyak lagi contoh kepimpinan Umar yang wajar dicontohi berbanding 1 tindakan memecat pemimpin bawahan.

Kenyangkan perut rakyat!

Pada zaman pemerintahan Umar, Azerbaijan diperintah seorang gabenor bernama Utbah bin Farqah dan satu hari rakyat beliau menghadiahkan  makanan yang sungguh sedap lalu beliau mahu sang Khalifah juga merasainya.

Apabila anak buah Utbah menghantar makanan tersebut kepada Umar, lalu Umar bertanya "Adakah seluruh rakyat Azerbaijan dapat merasai makanan ini?"

Anak buah Utbah menjawab tidak semua boleh menikmatinya. Lalu Umar menyuruh anak buah Utbah pulang membawa makanan itu dan Umar mengirimkan surat kepada gabenornya,

"Makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada duit ayah dan ibumu! Kenyangkan perut rakyat sebelum engkau mengenyangkan perutmu!"

Kisah Umar yang diabadikan dalam kitab Manaqah Amirul Mukminin karya Ibnu Qayyim ini lebih wajar diikuti Najib dan pemimpin Islam seluruhnya.

Setiap pemimpin harus mengutamakan rakyatnya daripada segala soal, bukan hanya menggunakan slogan rakyat diutamakan tetapi menindas kehidupan rakyat dengan cukai dan undang-undang menindas tetapi sang menteri hidup mewah hasil cukai rakyat.

Kita lihat contoh lain Umar yang wajar dicontohi dalam konteks perut rakyat.

Apabila negara umat Islam didatangi musim kemarau yang panjang sehinggakan ramai rakyat datang ke Madinah untuk mendapatkan bantuan, maka bahan keperluan makin berkurangan dan sampai satu saat Madinah menghadapi kemuncak kelaparan.

Namun, satu hari Umar dihidangkan roti dicelup zaitun, lalu Umar memanggil seorang Badwi untuk makan bersama.

Umar hanya menyuap roti itu apabila Badwi itu terlebih dahulu memakannya lalu kemudian beliau bertanya, "Agaknya kamu tidak pernah menikmati makanan sesedap ini?"

Badwi itu menjawab benar, dia tidak pernah memakannya bahkan sudah lama tidak melihat orang ramai memakannya (kerana kesempitan hidup).

Sejurus mendengarnya Umar bersumpah tidak akan memakan lemak (zaitun) sehinggalah setiap rakyat memakannya.

Kata-kata Umar diabadikan sehingga kini iaitu, "Kalau rakyatku kelaparan, maka aku ingin menjadi orang pertama merasai kelaparan itu, kalau rakyatku kekenyangan, maka aku ingin menjadi orang terakhir merasai kekenyangan itu".

Padahal ketika itu Umar boleh sahaja hidup mewah dengan kekuasaan beliau ketika itu.

Tidak hairanlah seorang sahabat beliau menangis apabila terkenang sikap Umar dengan mengatakan, "Ya Umar,sesungguhnya engkau meletakkan aras yang tinggi dalam kehidupannya yang pastinya menyukarkan pemimpin selepasmu mengikuti jejakmu."

Maka, berbekal sedikit kisah Umar dari 1001 lagi kisah kepimpinan Umar, saya menyeru Najib untuk lebih mengutamakan untuk dirinya mencontohi Umar dalam konteks menjaga perut rakyat berbanding kisah beliau memecat gabenornya. – 6 Februari, 2016.       

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments