rencana

Najib yang harus turun bukan Mukhriz – Nabilah Syafiq

2016 menjadi tahun yang semakin tidak menjadi buat kepimpinan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak.

Isu yang terbaru ialah berkenaan kemelut pentadbiran kerajaan negeri Kedah di bawah kepimpinan Dato' Seri Paduka Mukhriz Mahathir.

Ia bermula selepas beberapa Adun serta kepimpinan Umno di peringkat negeri dan nasional melancarkan desakan supaya menteri besar Kedah meletakkan jawatan.

Aspirasi Rakyat Marhaen (ARM) melihat krisis ini jika tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri menjadi lumpuh.

Kami juga merasakan tekanan yang dibuat agar Mukhriz meletakkan jawatan adalah sesuatu yang jelas bermotifkan politik dan bukan atas faktor salah laku.

Malah pada hemat kami yang seharusnya meletakkan jawatan adalah Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Najib.

Semenjak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan, negara sering menjadi bahan jenaka negara asing.

Kerajaan juga turut menerima pelbagai asakan berkaitan skandal yang turut dipertikaikan negara lain.

Tidak hanya terhenti di situ, tindakan perdana menteri mengugurkan bekas timbalannya Tan Sri Muhyidin menjadi antara penyebab mengapa kredibiliti perdana menteri lebih selayaknya dipertikai berbanding dengan Mukhriz Mahathir.

Ini bukan kali pertama kontroversi pertukaran menteri besar bagi negeri yang ditadbir Barisan Nasional kerana Terengganu juga melalui fasa yang sama pada Mei 2014.

Kepada mereka yang berterusan mendesak sama ada atas alasan permintaan rakyat atau mempunyai kepentingan politik peribadi, sedarlah rakyat hari ini semakin hari makin terhimpit dengan kos sara hidup yang amat menekan.

Sepatutnya yang ditekankan ialah bagaimana rakyat perlu diberi nafas untuk bergerak bukan dengan permainan politik dendam pimpinan atasan.

ARM juga ingin menzahirkan tahniah kepada pihak Istana Kedah kerana tidak mudah tunduk kepada tuntutan sekelompok yang mendakwa mereka mewakili rakyat Kedah dengan alasan yang negeri jelapang padi itu mendambakan perubahan menteri besar.

Rakyat tidak seharusnya menerima akibat daripada persengkataan mereka di dalam parti.

Namun jika konflik ini kekal berlarutan, hanya ada satu jalan keluar yang terbaik, iaitu serahkan kembali mandat kepada rakyat Kedah. – 3 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments