rencana
Nilai-nilai Lee Kuan Yew sedang terhakis – Zainudin Maidin
Jika anda jalani sejarah Singapura pimpinan Lee Kuan Yew sejak awal yang bersiri tindakan dramatik, keras, tegas, pintar dan berani untuk membentuk masyarakat dan negara yang maju, kuat, bersih, berdisplin, setia, moden dan terpelajar maka sekarang anda akan dapat mengenali hakisan nilai-nilainya sama ada disedari pemerintah atau pemerintah tidak lagi dapat mengawalnya seperti dulu.
Rakyat Singapura keturunan Cina sendiri merasa tidak senang kerana keruntuhan ini yang berlaku disebabkan pendatang asing dari negara besar China menjejaskan maruah Cina tempatan.
Pendatang asing dari China bekerja sebagai pembantu kedai dan lain-lain kerja bertaraf rendah, bukan saja pelayan di restoran orang Cina tetapi juga di restoran mamak dan di kedai makan Melayu, umpamanya di Zam Zam Restoran di Arab Street atau kedai-kedai makan Melayu di Geylang Serai.
Majoriti rakyat keturunan Cina Singapura dikenali sebagai pekerja kolar biru atau golongan profesional. Mereka hanya mahu menjadi "taukeh" atau "tuan".
Orang Malaysia seolah-olah tidak percaya apabila pembawa makanan kepada mereka di restoran Melayu atau mamak di Singapura terdiri daripada orang Cina.
Seperti anak-anak Melayu di Malaysia tidak mahu menjadi pekerja atau pelayan di kedai mamak atau Cina maka demikianlah juga Cina rakyat Singapura.
Bagaimanapun, mereka terpaksa menerima keadaan ini seperti kita terpaksa menerima pekerja-pekerja dari Indonesia kerana kita mahu menjadi "raja".
Pendatang asing dari Cina di Singapura mudah dikenali. Kebanyakan mereka tidak tahu berbahasa Inggeris, berbasikal hingga 3 orang, membawa anak dan isteri melintas jalan tanpa mengikut peraturan.
Sekarang, di tepi-tepi jalan di Singapura juga terdapat peniaga-peniaga haram yang menjual pelbagai barangan dan juga pakaian murah. Mereka akan lari bila diserbu polis tetapi datang kembali ke tempat yang sama bila polis tiada. Ini saya lihat sendiri dalam perjalanan dengan teksi di jalan menuju ke Geylang Serai.
Kedai-kedai mamak juga bebas meletakkan kerusi meja makan di luar restoran, di lorong-lorang atau laman penjalan kaki seperti kedai-kedai mamak di Malaysia.
Tidak ramai perkerja Indonesia atau Bangladesh di Singapura. Tentunya kepimpinan negara Singapura mempunyai pertimbangan daripada segi keselamatan, ekonomi dan juga motif politik dalam mengutamakan pengambilan pekerja asing dari India dan China.
Mereka akhirnya akan diberikan permastautin tetap dalam proses menjadi rakyat Singapura. Jumlahnya sudah berjuta.
Kuan Yew sering mengingatkan rakyat Singapura mereka berada di tengah-tengah Nusantara Melayu.
Kajian dan rujukan secara terperinci perlu dibuat untuk memperkatakan pekara ini tetapi tulisan ini sekadar untuk memberitahu apa yang saya lihat iaitu kemasukan pendatang asing dari China ke Singapura sedang menghakis beberapa kualiti yang mahu dijadikan keagungan imej Singapura oleh Kuan Yew.
Bagaimanapun harus diingatkan Kuan Yew sendiri pun sebelum meninggal bersikap pragmatik, bertolak ansur dengan nilai-nilai yang mahu ditegakkannya demi untuk survival Singapura walaupun beliau menyatakan akan bangun dari kuburnya sekiranya dasar-dasar asas yang diletakkannya diganggu gugat.
Kuan Yew membenarkan perjudian dan kebudayaan kuning (pelacuran dan sebagainya) di Singapura.
Beliau membangunkan Singapura dengan tangan besi daripada pekara kecil hingga sebesar-besarnya termasuklah tidak mahu budaya Cina mendominasi Singapura.
Kuan Yew juga mengharamkan pembakaran gaharu dan perarakan mayat, menghukum keras mereka yang berludah dan membuang sampah di merata tempat, menyebat orang asing yang menconteng Singapura (grafiti) dan mengotorkannya dengan chewing gum (gula-gula getah).
Demikian hakikat dunia, pengalaman menjadikan manusia pragmatik dan bertolak ansur.
Tetapi yang terpenting ialah kepimpinan Singapura berjaya meletakkan negara dan majoriti besar rakyatnya mengenali dan berpegang terus kepada nilai-nilai baik yang membawa perubahan besar dalam membahagiakan kehidupan mereka sebagai bangsa yang maju, makmur dan bermaruah.
Biar pun cuba dibangkitkan kesilapan Lee Kuan Yew, Singapura tetap lebih menonjol sebagai sebuah negara maju yang terbina kejayaannya atas nilai dan asas-asas yang teruji dan terbukti benar. – zamkata.blogspot.my, 9 Mac, 2016.
* Tan Sri Zainudin Maidin ialah bekas menteri penerangan.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments