rencana
Pandangan Majlis Raja-raja Melayu tidak bererti jika… – Mahfuz Omar
Ampun Tuanku, maafkan patik berbicara,
Pendirian Majlis Raja-raja Melayu berkaitan dengan akta Majlis keselamatan Negara (MKN) agar kerajaan memperhalusi semula beberapa peruntukan akta tersebut agak terlambat kerana sudah diluluskan Parlimen. Walaupun ia masih boleh dipinda tetapi sukar untuk kerajaan mengaku salah menarik balik peruntukan yang menjadi pertikaian setelah kerajaan mempertahankan bermati-matian.
Sepatutnya Duli Tuanku Majlis Raja-raja Melayu sedari awal sebelum atau semasa pembentangan dan perbahasan akta tersebut di Parlimen mengambil langkah yang drastik menghalang pembentangan dan kelulusan.
Majlis Raja-raja sepatutnya lebih peka kepentingan negara dan rakyat agar kerajaan tidak sewenang-wenangnya mewujudkan undang-undang yang bertujuan kepada salah guna kuasa seperti akta MKN.
Ampun Tuanku dan terima kasih Tuanku,
Bagaimanapun, patik tetap berterima kasih kepada Duli Tuanku Majlis Raja-raja yang mengambil usaha untuk berbincang dan mendesak kerajaan memperhalusi semula akta MKN tersebut. Namun harapan patik kegelisahan Duli Tuanku Majlis Raja-raja tidak bererti jika tidak disusuli dengan mengambil langkah lebih drastik merentasi akta MKN dengan memastikan Najib yang menjadi punca masalah segera berundur dan pembaharuan politik dengan memperhalusi, merombak dan memansuhkan undang-undang mendorong kepada salah guna kuasa seperti akta MKN dan undang-undang yang mengekang hak rakyat.
Majlis Raja-raja juga perlu memastikan pembentukan satu pasukan baharu Kabinet kerajaan Malaysia yang bebas daripada salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan dengan meletakkan kepentingan rakyat dan maruah negara di depan. Moga Allah merahmati dan memberkati segala keprihatinan dan usaha Duli Tuanku Majlis Raja-raja.
Ampun Tuanku.
#JanganTakutPadaOrangSalah #SelamatkanMalaysia. – 20 Februari, 2016.
* Datuk Mahfuz Omar ialah ahli Parlimen Pokok Sena.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments