rencana

PAS kuat laung daripada gema – Mohd Sayuti Omar

PAS mengumumkan ia akan membentuk blok politik baharu sebagai menghadapi pilihan raya akan datang. Pengumuman rasmi akan dibuat pada 16 Mac ini.

Begitulah cerita Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan. Rancangan itu mewarnai suasana ketika pembangkang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan deklarasi anti Najib untuk selamatkan Malaysia.

Parti itu tidak sebut dengan siapa mereka akan berkolaborasi bagi mewujudkan blok politik baharu politik itu, hanya membayangkan dengan sebuah parti berbagai kaum.

Pemerhati lalu menyebut beberapa nama parti yang mungkin "gila" untuk berpakat dengan PAS. Antaranya parti milik Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, tetapi Kadir menafikan yang ia akan bergabung dengan PAS. Jadi dengan parti mana?

Apakah dengan parti Dayak, Kadazan, Iban atau Dusun di Sabah dan Sarawak? Di Sabah dan Sarawak memang banyak parti-parti serpihan yang boleh dipinang parti Islam itu. Elok juga bagi PAS menerima parti etnik bagi menunjukkan mereka terbuka dan liberal untuk menutup sikap mereka dengan DAP dan Amanah. Cara itu juga membolehkan parti itu berfungsi sebagai parti dakwah untuk mendapat keredhaan Allah.

Dalam pada itu ada beberapa parti lain yang mungkin menjadi pasangan parti itu tetapi ia sangat daif memandangkan parti itu juga hidup segan mati tak mahu.

Parti-parti lain ialah Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) , Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA),  Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) atau Parti Cinta Malaysia (PCM) yang berpusat di Pulau Pinang.

Pelik kalau parti itu sedia untuk bekerjasama dengan PCM sedangkan dengan DAP yang kuat dan memberi kelabaan kepadanya ditolak hidup-hidup.

Boleh dikatakan bodoh parti Islam itu kalau mereka tiba-tiba sedia bekerjasama dengan PCM sebaliknya sanggup melupai DAP yang terbukti dapat membantu menaikan imejnya. Cara berpolitik begitu undur ke belakang, bukan mara ke depan.

Jadi parti mana akan gila untuk bersama PAS? Sehingga kini saya tidak nampak ada parti yang gila untuk bersama PAS melainkan Umno.

Parti yang rasional tidak akan bersedia untuk bersama PAS. Dan apakah blok ke-3 itu akan dibentuk dengan NGO berorentasikan Islam seperti Jati, Isma ataupun Perkasa? Atau pun ketika ini sedang diusahakan penubuhan sebuah parti baru dengan bantuan Umno? Atau pun parti itu sudah pun wujud?

Kerana tidak nampak parti mana yang bakal menjadi pasangan PAS, maka sukar untuk melihat apa dilakukan PAS itu suatu aksi politik yang positif melainkan ia sebuah gimik.

Mungkin parti pimpinan ulama berlatar belakang nelayan kampung itu terpaksa membuat gimik bodoh selepas menyedari ia kini semakin tersempit dan menyendiri.

Gimik itu tidak lebih dan tidak kurang untuk menampakkan parti itu masih relevan serta untuk mendapat perhatian atau pun pemimpinnya kini ada idea sedangkan daripada segi logikal politiknya, ia sesuatu yang melucukan.

Jika hendak dikira pengumuman Takiyuddin itu juga kontras dengan sikap parti itu sebelum ini yang kononnya akan bersendirian tanpa bekerjasama dengan mana-mana pihak walaupun dengan Umno.

Jadi apabila ia akan membentuk blok baharu ia bererti parti itu mengubah pendiriannya. Perubahan ini dilihat betapa tidak konsistennya pemikiran parti berkenaan.

Semasa mengumumkan parti itu akan membentuk blok ke-3, sekali lagi pemimpinnya membuat penegasan yang ia tidak akan bersama Umno. Alasannya kerana Umno sudah ada Barisan Nasional (BN).

Bolehkah dipercayai akan penafian itu kerana sebelum ini walaupun dinafikan, dalam masa lain ia mendekati Umno. Sikap dan perasaan lunak para pemimpinnya kepada Umno menyerlah apa yang terbuku dalam hati para pemimpin berkenaan.

Keletah itu juga menyebabkan ramai orang sangsi dan bingung dengan sikap parti Islam ini kerana pendiriannya tidak tetap dan konsisten. Mulut kata tidak, tetapi hati hendak.

Kesimpulannya, pembentukan blok ke-3 yang akan diumumkan itu tidak lebih daripada gimik parti berkenaan bagi menunjukkan pemimpinnya ada idea dan masih diyakini pihak lain.

Walhal hakikatnya, ia makin menyendiri dan sudah berasa "kesit" dalam saat arus politik orang lain makin deras diperkatakan umum. Bagi saya rancangan PAS itu untuk menghibur hati sendiri saja.

Rancangan PAS untuk membentuk blok ke-3 itu tidak ubah seperti ianya terlebih laung tetapi gemanya tiada.  Pihak Pakatan Harapan mahupun Umno tidak perlu bimbang dan terkesima dengan pengumuman PAS itu kerana ia hanya ilusi sahaja. – msomelayu.blogspot.com, 12 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments