rencana

Pekerja asing dan nilai martabat anak bangsa – Mujahid Hasanuddin

Keghairahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membawa masuk jutaan pekerja asing khususnya dari Bangladesh menimbulkan perdebatan hangat di kalangan aktivis.

Dalam penulisan saya baru-baru ini, saya menyatakan pendirian saya yang kita menentang usaha ini kerana impaknya pada usahawan muda rakyat Malaysia.

Penentangan dan respons dari pihak yang menentang idea ini disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan mempersoalkan adakah anak muda sanggup melakukan kerja-kerja 3D ini – ''dangerous, dirty and difficult” ini.

Ini disambut dengan sorakan dari peserta seminar tersebut. Tempelak sinis yang diberikan ini membawakan gambaran betapa rendahnya martabat saudara-saudara kita dari Bangladesh di mata mereka.

Saya terlintas, adakah tujuan utama pekerja asing ini di bawa ke Malaysia bagi menyelesaikan masalah warga tempatan yang tidak mahu melakukan kerja terbabit ataupun kerana warga asing ini boleh diperkudakan sesuka hati?

Apakah kurang manusia mereka daripada kita? Bagaimana tasawwur/sudut pandang kita dalam menangani isu ini?

Antara faktor utama saya memilih bersama Parti Keadilan Rakyat adalah pada teras nilai perjuangan yang sering kali ditekankan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbincangan,penulisan dan tindakan beliau: “Tunjang kepada demokrasi dan masyarakat madani ialah konsep karamah insaniah!”.

Karamah insaniah bermaksud memartabatkan seseorang secara adil di tempat yang mulia tanpa mengira latar dan status.

Kemuliaan diri dan karamah insaniah semestinya disuburkan di tengah-tengah masyarakat melalui unsur keadilan, akhlak, dan ihsan. Hal ini melangkaui batas politik dan budaya.

Ketiga-tiga konsep ini menjadi milik umat sejagat, timur dan barat, utara dan selatan.

Dalam Islam perkara ini jelas: "Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.

Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa antara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenal (Al-Hujurat, ayat 13).

"Dan sesungguhnya Kami memuliakan anak-anak Adam; dan Kami beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang Kami ciptakan“ (Surah Al Isra, ayat 70).

Jika kita melihat isu kebergantungan kepada pekerja asing ini dari neraca ini, makan cara kita menangani dan respons kita pasti berbeza. Saya tidak nafikan keperluan kita kepada tenaga pekerja asing ini, tetapi naratif keperluan kita harus betul.

Kita berikan harus puji bagaimana kerajaan Pulau Pinang berjaya memaksimumkan tenaga warga tempatan pada kerja-kerja 3D ini dengan menyediakan gaji yang menarik dan persekitaran kerja yang kondusif.

Kita lihat bagaimana Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menghentikan penggunaan syarikat swasta dalam mengurus sampah dan pada 2014 mengambil alih sepenuhnya pengurusan tersebut.

Hari ni hampir 3000 orang pekerja tempatan bekerja dalam sektor 3D ini. Saya melihat faktor kebajikan dan gaji minima yang dilaksanakan. Bekerja sebagai pekerja kontrak tetapi mendapat manfaat sebagai pekerja tetap.

Ini adalah contoh bagaimana teras prinsip karamah insaniah. Meletakkan kemuliaan manusia pada tempatnya. Manusia sanggup bekerja keras seandainya maruah dan kemuliaannya sebagai manusia di hargai.

Jadi sekarang anda tahu mengapa banyak kenyataan menteri-menteri kita seolah-olah tidak menghargai tahap “kemanusiaan” rakyat! – 17 Februari, 2016.

* Mujahid Hasanuddin ialah ahli Majlis Pimpinan Pusat Pemuda PKR.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments