rencana
Pembunuhan kejam tutup mulut akan berterusan – Syed Iskandar Jaafar
Pengakuan seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat skim cepat kaya peribadi negara ala Pak Man Telo yang beliau tidak berkata sesuatu dalam sesi pendengaran jawatankuasa Parlimen ialah perkara paling bodoh untuk dilakukan.
Ini bermakna tidak mustahil nyawa perlu ditamatkan sebelum beliau membuat pengakuan berbeza. Tiada bezanya sekiranya diracun atau mati kemalangan yang tidak akan ternampak seperti pembunuhan namun nyawanya kini tetap dalam bahaya. Dah besar panjang tapi bahalul.
Kita imbas kembali beberapa pembunuhan sebelum ini, seorang model Mongolia dibunuh kejam kenapa? Mudah saja untuk menutup mulut. Kenapa penyiasat persendirian boleh bernyawa bertahun-tahun bersembunyi di India tetapi bila pulang ke Malaysia cuma 3 minggu meninggal dunia mengejut. Apa agaknya yang dimakan atau diminumnya? Jika dia dibunuh, jawapannya ialah untuk menutup mulut.
Kenapa peguam asing yang mendraf perjanjian mengenai kapal selam yang dibeli dijumpai mati terapung di sebuah pulau persendirian miliknya di luar negara? Mudah juga jawapannya iaitu untuk menutup mulut. Tidak logik sekali untuk peguam berkenaan mati lemas bila beliau mampu membeli sebuah pulau untuk diri sendiri, untuk beriadah.
Kenapa timbalan pendakwa raya mati dibunuh dan mayatnya simen? Mudah juga kesimpulannya, iaitu untuk menutup mulut. Tidakkah skripnya ada persamaan iaitu bunuh dulu kemudian bom menggunakan C4 dalam kes wanita Mongolia.
Kenapa pengasas sebuah bank mati ditembak? Juga tidak susah untuk meneka iaitu untuk menutup mulut. Cerekarama yang dibuat ialah mengenai pertelingkahan akaun sebuah tokong manakala skrip sama untuk kes timbalan pendakwa raya ialah kerana pergaduhan terbuka untuk kes lain di Mahkamah Shah Alam sebelum kejadian.
Kenapa helikopter yang canggih tiba-tiba terhempas? Jawapannya pun mudah selain hendak menutup mulut ia juga dendam kesumat sepertimana pengeboman mayat bekas ratu cantik Mongolia.
Rakyat ketawa memikirkan ada beberapa versi kenapa kehadiran seorang perempuan muda yang dilaporkan juga seperti model sekalipun bukan model warga asing dalam helikopter berkenaan. Kenapa pula pegawai kanan badan siasatan negara dimasukkan ke wad? Mudah saja ada sesuatu yang tak kena dengan skop tugas mereka menyiasat kes tertentu.
Kenapa pula tiba-tiba ada yang mati mengejut walaupun bukanlah tua sangat pun? Juga tidak mustahil mungkin untuk menutup mulut. Maka, nyawa mereka yang berurusan dengan dalang jenayah kejam ini tidak mustahil turut berada dalam bahaya memandangkan kedua-dua dalang sedang hidup dalam ketakutan kerana jenayah mereka mula dibongkar pelbagai media berkredibiliti dari segenap pelosok dunia.
Sesiapa saja perlu mati akan dipastikan mati bagi memastikan gaya hidup mewah para dalang jenayah kejam diteruskan dengan penuh keyakinan.
Jika di awal kemuncak kuasa, cuma mangsa hilang seketika saja dan muncul semula dengan pendirian berbeza kemudiannya namun kini pembunuhan perkara biasa.
Pembunuhan menutup mulut dengan cara memastikan mangsa mati kini satu perkara biasa dan tiada siapa akan terkejut lagi. Maka semua rakan dalang pembunuhan kejam bersiri patut mula berfikir untuk menyelamatkan diri dan keluarga ataupun tampil berani mendedahkan segala bukti jenayah kejam supaya dalang sebenar pelbagai jenayah dapat di hukum dengan seadilnya.
Sejak akhir-akhir ini ada video pengakuan itu dan ini daripada orang yang sudah dihukum mati oleh mahkamah. Sebelum orang berkenaan berubah fikiran tidak mustahil beliau akan didapati mati dalam tahanan imigresen Australia. Kebodohan ini sama seperti kebodohan ahli lembaga pengarah syarikat skim cepat kaya negara. Maka, kedua-duanya sudah dengan sendiri menamatkan talian hayat untuk terus hidup iaitu perlu mati sebelum bertukar fikiran.
Apa kata ahli keluarga waris melantik penyiasat persendirian antarabangsa menyiasat kembali kes sedemikian serta melantik pakar antarabangsa untuk membuat ujian ke atas mayat atau tulang mengenai punca kematian sebenar mangsa. Sama ada kerana benar-benar sakit atau diracun dan sebagainya.
Pembunuhan kejam bersiri ini boleh dihentikan jika dalang ditahan reman untuk siasatan dan didakwa serta di hukum dengan sewajarnya setimpal dengan pelbagai jenayah berat yang dilakukan.
Jika benar bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor hendak tahan kerana kononnya memfitnah, tidak mustahil Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersama rakyat dan Pakatan Harapan dalam mempertahankan bekas bosnya itu.
Ingat kata Tun dulu, dalam politik tiada musuh yang kekal selamanya sebagai musuh. Ini tidak susah dilakukan kerana mereka pernah rapat dan kemungkinan perhubungan menjadi renggang akibat penasihat dengan agenda peribadi masing-masing ketika Tun menjadi PM. – 16 Februari, 2016.
* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments