rencana

Pengangguran, bahasa Inggeris dikambinghitamkan? – Sazmani Samat

Kita dikejutkan dengan jumlah pengangguran dalam kalangan graduan hingga mencecah lebih 200,000 orang. Kita tidak mahu menafikan keadaan tersebut. Keadaan ini sudah lama menjadi masalah kepada negara malah graduan itu sendiri. Jika kita menyusuri keadaan ini, sebenarnya kisah ini terjadi sejak awal 2000 lagi.

Namun jumlah pengangguran pada masa itu, tidaklah seteruk kini kerana “diselamatkan” program KPLI, J-Qaf dan DPLI. Pada masa itulah, berbondong-bondong yang memohon menjadi guru melalui pelbagai cara. Namun kini, berlaku lambakan dalam pengambilan guru dan akhirnya KPLI dan DPLI khabarnya ditutup.

Rata-rata alasan yang diberikan kerajaan tentang isu pengangguran ini adalah gagal bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris.  Isu ini sudah lama, hampir 20 tahun ia dijadikan alasan untuk “melepaskan diri” oleh kerajaan. Takkan tak selesai-selesai!

Usaha menangani masalah ini dilakukan kerajaan terutama di peringkat sekolah melalui beberapa program seperti memperkenalkan PPSMI selain menghapuskan sistem kuota kemasukan ke IPTA dengan digantikan dengan sistem meritokrasi. Namun, melalui pendedahan ini semua usaha kerajaan bolehlah dikatakan masih gagal.

Persoalannya, adakah alasan mengatakan bahasa Inggeris faktor utama menyebabkan pengangguran ini berlaku?  Isu bahasa Inggeris ini mula ditimbulkan sejak wujudnya desas-desus mengatakan peluang pekerjaan semakin mengecil pada awal 2000, padahal graduan sebelumnya begitu mudah mendapat pekerjaan walau tidak tahu langsung berbahasa Inggeris.

Namun mereka proaktif, apabila berjaya mendapatkan pekerjaan, banyak dibelanjakan untuk memasuki kelas bahasa Inggeris. Malangnya graduan sekarang bukan hanya gagal mendapatkan pekerjaan, malah habis wang beribu ringgit kerana menghantar permohonan dan menghadiri temuduga.

Kita perlu cermat memilih untuk beralasan bahasa Inggerislah punca utama pengangguran berlaku. Ramai sebenarnya yang boleh bertutur bahasa Inggeris dalam jumlah 200,000 tersebut. Namun disebabkan peluang pekerjaan semakin mengecil, akhirnya mereka terpaksa memilih pekerjaan yang kurang sesuai dengan mereka. Alasan majikan lagi, tiada pengalaman dan masalah komunikasi.

Punca. Sejak akhir 1990-an, kolej swasta tumbuh bagai cendawan. Kolej ini juga menawarkan jurusan yang lebih kurang sama dengan jurusan yang terdapat di IPTA. Terdapat kolej yang menawarkan pengajian di peringkat sijil, diploma malah ijazah. Mereka juga menjadi graduan seperti graduan IPTA.  Keluar dalam tempoh yang sama dengan pelajar IPTA.

Bayangkan, dalam setahun berapa jumlah graduan yang tamat pengajian di peringkat diploma dan ijazah dari IPTA, IPTS dan pengajian dari luar negara. Saban tahun sejak 2000, jumlah IPTA dan IPTS semakin meningkat. Dengan kiraan mudah, dalam setahun graduan yang akan menamatkan pengajian bagi sebuah IPTA lebih kurang 1,000 orang. Itu baru sebuah IPTA, Malaysia ada lebih kurang 15 IPTA. Ditambah graduan daripada IPTS iaitu dari kolej, kolej universiti dan universiti swasta serta pengajian dari luar negara. Adakah jumlah pekerjaan yang ada boleh menampung mereka untuk mendapatkan pekerjaan?

Keadaan ini lebih parah lagi apabila umur persaraan dalam sektor kerajaan dilanjutkan hingga umur 60 tahun adalah antara punca sektor kerajaan semakin tepu. Kita tidak mengesampingkan golongan yang berpengalaman, namun pada masa sama, golongan muda yang memerlukan pekerjaan perlu diutamakan.

Kegagalan pihak kerajaan mengurus keseimbangan antara kewujudan IPT dan peluang pekerjaan sebenarnya faktor utama jumlah pengangguran ini meningkat malah akan terus meningkat.

Sesungguhnya, penulisan ini tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris terutama dalam sektor pekerjaan namun janganlah jadikan faktor bahasa Inggeris sebagai “pelepas” diri untuk menutup kelemahan sendiri.

Jika peluang pekerjaan banyak, majikan tidak kisah pun kemampuan pemohon kerana sudah pasti setiap organisasi mempunyai sistem latihan pekerja mereka sendiri. Lihat saja, sekitar 1970 hingga 1990-an, peluang pekerjaan sangat banyak. Bukan juga kerana mereka fasih berbahasa Inggeris.

Tidak salah bercakap benar dengan mengakui kesilapan sendiri. Berjiwa besarlah. – 8 Mac, 2016.

* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.  

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments