rencana
Pengguguran Najib syarat kerjasama PAS dan Umno – Zainudin Maidin
Umno seolah-olah mendapat suatu kepercayaan besar dan kekuatan baru apabila Tun Dr Mahathir Mohamad berkonspirasi dengan pembangkang untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Kepercayaan inilah yang memberikan keberanian kepada kabinet untuk menyingkirkan Dr Mahathir sebagai penasihat Petronas.
Dr Mahathir, walaupun sedar beliau seharusnya meletak jawatan tetapi menunggu tindakan bagi meraih simpati terhadapnya dan menambah sokongan rakyat.
Memang wajar bagi kerajaan bertindak membuang Dr Mahathir kerana beliau tidak lagi mendokong kerajaan.
Bagaimanapun, satu komen ringkas di Facebook mengenai pembuangan Dr Mahathir itu menjadi viral dengan tiba-tiba yang membuktikan bercanggah dengan sentimen rakyat dan betapa salahnya perhitungan kerajaan dan pemimpin Umno.
Banyak yang saling bertanya sudahkah membaca komen ini yang menunjukkan selari dengan sentimen mereka? Saya tidak tahu penulis asalnya. Inilah komennya: "Petronas yang tidak bermasalah, penasihatnya dipecat tetapi 1MDB bermasalah besar penasihat masih memegang jawatan."
Apabila dipetik ‘tweet’ saya, di ‘retweet’ pula ramai orang yang mendatangkan tidak kurang 30,000 orang pembaca dalam masa hanya sekejap saja. Ini menunjukkan sikap majoriti rakyat di lapangan pada masa ini.
Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan lain-lain agensi sokongan kerajaan yang membuat tinjauan di lapangan berasaskan pada penemuan mereka, sewajarnya memberikan laporan sejujurnya kepada menteri masing-masing untuk dilaporkan kepada kabinet iaitu Najib sedang menghadapi masalah kredibiliti dan integriti yang sukar sekali untuk diperbaiki kembali, sekalipun dalam pekara yang benar.
Sentimen Melayu yang digunakan Umno untuk memburukkan konspirasi Dr Mahathir dengan pembangkang terutama Lim Kit Siang (DAP) sudah tidak laku lagi. Orang mahu perubahan dan mereka tidak mengira apa parti pun. Mereka sedia mengundi apa jua parti asalkan bukan Najib.
PAS, walaupun tidak menandatagani "Deklarasi Rakyat", tidak menolak sentimen ahlinya turut berada dalam semangat deklarasi itu. PAS mempunyai strategi lain untuk menolak Najib bila sampai masa yang sesuai.
Penganalisis politik Umno tentunya dapat membaca dari sekarang strategi PAS untuk bekerjasama dengan Umno dalam pilihan raya umum akan datang berasaskan sentimen dan pendirian ahli-ahlinya yang sedar tentang sikap rakyat terhadap Najib.
Jika PAS bekerjasama dengan Umno tanpa berlaku perubahan pucuk pimpinan atau tidak ada jaminan yang Najib tidak akan terus menjadi perdana menteri, maka kalangan kepimpinan PAS menjangkakan akibat yang buruk kepada parti mereka sendiri yang mempunyai harapan untuk menang besar.
Kenyataan Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man tentang ‘biawak hidup’ adalah gambaran terhadap syarat kerjasama PAS dan Umno.
Di Kedah, PAS sudah mencanangkan mereka akan kembali menguasai Kedah dan dalam suatu majlis pelancaran buku “Prinsip Haji Hadi” di Kuala Terenganu baru-baru ini, pemimpin-pemimpin PAS negeri dan juga nasional menyatakan keazaman untuk merebut kembali beberapa kerusi yang akan membolehkan PAS kembali menguasai Terenganu.
Jika Umno mahu bekerjasama dengan PAS untuk mengekalkan kuasa, maka mereka mestilah bersedia untuk menerima beberapa tekanan dari PAS.
Terlalu memperkecil dan memperbodohkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekiranya Umno menganggap beliau tidak sensitif dan tidak menghayati gelombang besar kebangkitan rakyat di seluruh negara yang mahukan perubahan pucuk pimpinan negara. – zamkata.blogspot.my, 13 Mac, 2016.
* Tan Sri Zainudin Maidin ialah bekas menteri penerangan.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments