rencana
Peranan Raja-raja selamatkan Malaysia – A Kadir Jasin
Pada 1 Mac lepas, akhbar New Straits Times (NST) melaporkan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, sebagai berkata rasuah adalah satu isu yang sangat penting yang perlu ditangani dengan rapi oleh kerajaan dan agensi berkaitan.
Baginda berkata di majlis Utusan Business Award, agensi yang bertanggungjawab menghapuskan rasuah wajib mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa saja yang melanggar undang-undang.
Ini Sultan Nazrin yang titah dan NST yang laporkan. Ramai tahu perhubungan akrab Sultan Nazrin dengan keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan hakikat NST adalah "milik" presiden Umno.
Bertitik-tolak daripada laporan di atas, izinkan saya mengemukakan beberapa pertanyaan dan mengulas ringkas.
Tetapi sebelum itu, benarkan saya memberi peringatan kepada para pembahas budiman tajuk ini amat sensitif kerana membabitkan Raja-raja.
Jadi saya mohon agar berhati-hati dan ambil maklum aplikasi Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, Akta Multimedia dan menghina raja (lese majeste).
Pertanyaan saya:
1. Adakah Raja-raja Melayu berpuas hati dengan reaksi pentadbiran Najib terhadap titah perintah para duli tuanku mengenai 1MDB?
Awal Oktober lalu Raja-raja Melayu mengeluarkan kenyataan menitahkan supaya penyiasatan kes 1MDB diselesaikan segara dan tindakan sewajarnya diambil ke atas semua yang didapati terlibat.
Hampir 5 bulan sudah berlalu. Dalam tempoh itu, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan atas alasan beliau sakit dan tidak boleh menjalankan tugas. Tidak ada “Medical Board” dipanggil.
Tetapi Gani cukup sihat sehingga boleh membuka syarikat guaman sendiri. Pengganti beliau, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dilantik dalam suasana yang mencurigakan.
2. Apakah para duli tuanku berpuas hati Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong diberikan maklumat yang sah mengenai kesihatan Gani apabila baginda bersetuju dengan kerajaan untuk menamatkan tempoh perkhidmatan Gani sebelum cukup tempoh?
Kita khuatir Yang di-Pertuan Agong, sebagai wakil Raja-raja, dipersembahkan maklumat yang tidak tepat mengenai kesihatan Gani.
3. Adakah para duli tuanku bersetuju dengan apa yang terjadi kepada penyiasatan ke atas 1MDB sehingga kini, khususnya tindak-tanduk Apandi membatalkan, melambatkan dan menolak hasil siasatan ke atas 1MDB?
4. Apakah kebimbangan Raja-raja Melayu mengenai Akta Majlis Keselamatan Negara sehingga menyebabkan para duli tuanku menitahkan peguam negara supaya melakukan penapisan (refinement) ke atasnya?
Pakar perlembagaan dan perundangan berkata akta itu memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri dan agensi-agensi pelaksana (polis dan tentera) mengisytiharkan kawasan darurat dan memberikan kekebalan kepada mereka dalam menguatkuasakan akta itu.
5. Berkenaan 1MDB, akaun peribadi Najib dan dakwaan pemesongan RM42 juta wang SRC International Sdn Bhd, tidakkah boleh Raja-raja Melayu menitahkan agar sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi mengambil alih semua tugas menyiasat 3 isu itu?
6. Akhir sekali, adakah Raja-raja Melayu sehati sejiwa bersama rakyat jelata menyelamatkan Malaysia?
Masanya sudah sampai bagi setiap warganegara Malaysia - daripada Raja kepada rakyat totok, tanpa mengira agama dan bangsa, parti dan ideologi – bersatu hati menyelamatkan Malaysia secara sah, aman dan bertamadun. Wallahuaklam. – kadirjasin.blogspot.my, 4 Mac, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments