rencana
Perbezaan pandangan dan faham akhlak - Zulhilmi Zakaria
Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita lewat ini apabila kita sudah berani untuk menyesatkan saudara se-Muslim yang lain, kita sudah berani untuk menentukan syurga dan neraka manusia lain.
Kita merasakan kebenaran itu hanya milik kita seorang, hanya milik kumpulan kita, hanya milik parti kita, hanya milik ‘ustaz’ kita.
Fahaman ini amat membahayakan masyarakat terutamanya mereka yang kurang didikan agama dan tidak tahu menahu tentang urusan keagamaan.
Ia akan memberi bibit perpecahan dalam masyarakat dan mengeruhkan jiwa yang sepatutnya tenang dan rahmat dengan agama, tetapi lebih menjauhkan diri serta membekas skeptisisme beragama.
Malah, sikap sepert ini turut melanda agamawan sehingga mereka sanggup menyesatkan, membid’ahkan, mentawhibkan (mewahabikan) dan ada juga sehingga tahap mengkafirkan.
Segelintir mereka sanggup menggunakan dalil agama untuk memenangkan atau membenarkan semua perbuatan mereka dan kumpulan mereka.
Bukan tidak boleh untuk beragama menggunakan dalil, malah perlu sekali. Tetapi, menolak semua pandangan yang berbeza daripada sudut tafsiran dan konteks, ia akan menjadi satu masalah dan perpecahan.
Persoalan yang perlu diselesaikan ialah bagaimana untuk menguruskan perbezaan, bukan menolak semua idea yang berbeza.
Ramai ulama di dalam intelektualisme Islam menulis tentang adab dalam menangani perbezaan ini baik yang turath (silam) atau kontemporari.
Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Dr Yusuf Al-Qaradhawi turut menulis tentang “Fiqh Ikhtilaf”. Dr Taha Jabir Al-Alwani turut menulis “Adab al-Ikhtilaf fil al-Islam” kemudian turut diterjemah ke dalam bahasa Inggeris berjudul “The Ethics of Disagreement in Islam”.
Dr Taha menyebut di dalam bukunya apabila menghuraikan tentang masalah khilaf yang berlaku tidak memberi kebaikan kepada umat malah menjauhi moral dan akhlak yang diajar Islam melalui utusan Nabi Muhammad:
“Disputes which lead to division and disunity are tantamount to abandoning the guidance of the Prophet Muhammad in the Qur’an with regard to 'those who have broken the unity of their faith and have become sects' and say: 'You have nothing to do with them' (6:159). This verse expresses a condemnation of all sectarianism arising out of people’s intolerant, mutually-exclusive claims to being 'the only true exponents' of divine teachings.” (Alwani, 1993:3).
Ini merupakan bala yang menimpa kita hari ini. Apabila agama yang sepatutnya menjadi rahmat dan menyatukan kita berlaku sebaliknya. Agama pula menjadi sebab berpecah hubungan anak murid dengan guru, menjadi sebab mengeruhkan ukhuwah sesama Muslim serta yang bukan Islam.
Fikiran kepuakan makin menjadi-jadi. Semua ingin merebut kebenaran, mendakwa mereka di pihak yang benar. Sehingga mengenepikan semua pandangan lain.
Malah, ditambah dengan sikap mencerca, memaki hamun, mengumpat dan sebagainya yang dapat merosakkan akhlak dan budi pekerti. Akhirnya, roh rahmat dan kasih sayang dalam agama itu hilang.
Sungguh kita sudah jauh sekali dengan tujuan benar agama diturunkan. Segelintir agamawan sifatnya tidak lagi boleh dicontohi. Apabila kita mengkaji sendiri tentang Sunnah Nabawiyah, maka jauh sekali akhlak yang dipamerkan Nabi Muhammad dengan mereka yang sudah hilang tauladan akhlaknya.
Pendeta Za’ba pernah menulis pelbagai makalah yang mengkritik akhlak masyarakat Melayu pada ketika itu. Dan semestinya ia masih relevan untuk diamati tulisan beliau pada hari ini. Beliau mengaitkan sesuatu masalah ekonomi yang berlaku itu, bukanlah pada kemiskinan wang, harta benda, atau sumber tenaga tetapi kemiskinan akhlak mereka yang menguruskan.
Za’ba juga menulis di dalam makalahnya, penurunan agama terhadap manusia adalah untuk percaya dan berbuat baik serta percaya dan meninggalkan perbuatan jahat. Inilah asasnya agama diturunkan. Sehinggakan Za’ba meneruskan lagi katanya:
“Dengan perkataan yang lain, perkara mendapat keredaan Tuhan itu bukanlah tujuan agama. Melainkan tujuan agama ialah supaya manusia berkelakuan baik dan menjalankan kehidupan yang betul; kemudian maka daripada kehidupan berhasillah buahnya, iaitu keredaan dan nikmat selamat – yang kerap kali disangka dan dijadikan orang ialah tujuan agama padahal bukannya.” (Za’ba, 2015:3).
Tetapi, masyarakat kita hari ini, semakin dia ‘beragama’, semakin keras perwatakannnya, semakin ‘judgemental’ sikapnya terhadap orang lain.
Ia hanyalah segelintir daripada mereka. Sikap toleransi dan hormat-menghormati semakin lama semakin susut. Adab dalam berkhilaf itu sudah jauh sekali diperbincangkan.
Tuhan sudah pun berfirman dalam Al-Quran:
“Dan kalau Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan.” (Surah Hud: 118).
Prof Dr Hamka ketika menafsir ayat ini di dalam Tafsir Al-Azharnya dengan menyatakan:
“….kalau Tuhan Allah menghendaki, bisa sajalah manusia itu bersatu semua, akur semua, tidak ada berkelahi-kelahi. Sama rata saja semua, akur dalam membangun, akur dalam berketurunan, damai saja, diam saja. Mustahillah Tuhan Allah tidak sanggup mentakdirkan manusia sama seperti demikian.”
Hakikatnya, manusia itu memang berbeza rupa, warna kulit, kepercayaan agama dan pendapat politik. Kemudian Allah meneruskan ayat Surah Hud itu dengan menyatakan:
“Kecuali barangsiapa yang dirahmati Tuhan engkau.” (Surah Hud: 119).
Kerana mereka yang dirahmati Tuhan itu tidak mengundangi celaka meskipun berselisih. Khilaf mereka membawa rahmat. Perselisihan mereka memajukan akal fikir dan ketamadunan, sentiasa diwaspadai akan percintaan persaudaraan sesama Muslim itu.
Inilah yang perlu kita fahamkan dan perjuangkan. Adab dalam menangani perbezaan perlu dizahirkan melalui keluhuran budi dan akhlak sebagai Muslim. Maka di situ rahmat Tuhan akan dilimpahkan. Insya-Allah.
Lihat sahaja tokoh ulama yang ulung seperti Syeikh Shah Waliyullah al-Dihlawi (1703-1762) iaitu seorang ulama India yang banyak sekali mengharmonikan atau mencari titik pertemuan dalam perkara furu’ di kalangan ulama.
Dalam ilmu tasawuf, Imam al-Dihlawi terkenal dengan mencari titik pertemuan antara fahaman Wehdatul Wujud Ibn Arabi dengan Wehdatul Shuhud Imam Sirhindi yang menjadi polemik panjang.
Beliau juga arif dalam ilmu hadis (sehingga digelar muhaddith), ilmu fiqh dan ilmu kalam. Beliau memang terkenal dengan sifat tatbiq atau synthesizing teori-teori yang menjadi percanggahan dalam masyarakat.
Kita memerlukan tokoh seperti beliau yang amat berakhlak dalam menanggapi idea dan pandangan berbeza. Kita sentiasa mengambil yang baik daripada pendapat lain serta meninggalkan pendapat yang kita tidak bersetuju tanpa perlu memaki hamun, mencerca atau melabel yang tidak baik.
Kesimpulannya, seteruk mana sekalipun berselisih pendapat, masih ada ruang untuk kita bersatu, bertoleransi dan berukhuwah sesama Muslim.
Supaya kita akhirnya beragama untuk menjadikan akhlak kita lebih baik dan meninggalkan akhlak yang buruk. Jadi, mengharapkan keredaan Tuhan itulah setinggi-tinggi tujuan. – 19 Februari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments