rencana

Perkasa sektor 3D tarik minat belia – Lee Lam Thye

Golongan belia di negara kita harus menyahut ca­baran kerajaan untuk men­­ceburi sektor pe­kerjaan yang sukar, kotor dan berbahaya (3D) supaya kita da­pat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Dianggarkan terdapat kira-kira 5.8 juta pekerja asing di Malaysia tetapi cuma separuh atau 2.9 juta dari jumlah yang berdaftar dan mempunyai permit kerja yang sah.

Kerajaan sudahpun mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja asing baharu ke negara ini, jadi inilah masanya bagi rakyat Malaysia meninjau peluang pekerjaan dalam sektor yang banyak bergantung kepada pekerja asing.

Langkah penangguhan itu, yang bertujuan membolehkan kerajaan mengkaji keperluan sebenar pekerja asing yang diperlukan pihak industri dan juga meneliti semula keputusan terhadap pembayaran levi 2 tahap yang diumumkan sebelum ini, adalah keputusan yang wajar.

Sebelum ini ramai di antara rakyat Malaysia mempertikaikan jumlah pekerja Bangladesh yang akan dibawa masuk ke Malaysia kerana mereka khuatir lebih ramai pekerja asing yang akan membanjiri pasaran pekerjaan dan menikmati kemudahan asas di negara ini, sementara masih ramai orang di Malaysia terutamanya graduan yang menganggur.

Oleh itu, kita perlu membuat sesuatu supaya sebahagian besar kekosongan di sektor 3D dapat diisi pekerja tempatan.

Di Malaysia, terdapat banyak jenis kerja 3D dalam pelbagai sektor seperti pembinaan, perladangan, penyelenggaraan automotif, perkhidmatan pembersihan dan juga pekerjaan vokasional.

Sebenarnya, risiko bahaya wujud dalam semua jenis pekerjaan dan di dalam apa juga industri dan bukan sahaja dalam sektor 3D. Yang penting, pihak pengurusan dan majikan tahu menguruskan risiko itu demi menjaga keselamatan dan kesihatan pekerja. Para pekerja pula harus menghadiri kursus keselamatan untuk memahami risiko bahaya dalam bidang pekerjaan masing-masing.

Pekerjaan yang sukar serta dalam keadaan yang kotor pula seperti dalam sektor perlombongan atau minyak dan gas dapat diatasi dengan latihan yang sesuai. Majikan pula harus mengambil langkah untuk membuat suasana bekerja lebih selesa kepada pekerja mereka.

Salah satu sebab rakyat Malaysia tidak berminat untuk mengisi kekosongan kerja 3D mungkin kerana persepsi masyarakat terhadap jenis pekerjaan tersebut.

Bagi saya, belia kita perlu mengubah minda yang memandang rendah kepada pekerjaan 3D kerana hakikatnya, semua pekerjaan di dalam mana-mana organisasi dan industri menyumbang kepada operasi dan perolehan organisasi tersebut.

Tidak ada pekerjaan yang harus dipandang hina melainkan ia bertentangan dengan undang-undang dan seseorang itu bukan bekerja dengan ikhlas atau mencari rezeki yang halal.

Faktor lain yang menyebabkan rakyat Malaysia kurang berminat dengan kerja 3D adalah gaji dan elaun yang tidak munasabah yang ditawarkan majikan. Memandangkan kos sara hidup di Malaysia yang semakin meningkat, tentunya kerja 3D yang menawarkan gaji rendah tidak cukup bagi pekerja tempatan untuk menyara keluarga, membayar pinjaman rumah dan kenderaan serta keperluan asas yang lain.

Laporan berita baru-baru ini mengatakan seramai 600,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura dengan melakukan pelbagai kerja 3D. Ini menunjukkan belia kita mampu dan mahu melaksanakan kerja-kerja yang berat, sukar dan kotor tetapi mereka memilih untuk bekerja di negara jiran disebabkan gaji yang ditawarkan lebih tinggi dan berbaloi.

Saya cadangkan majikan yang memerlukan tenaga kerja untuk kerja 3D supaya selain daripada membayar gaji minimum atau lebih, mereka juga harus menyediakan rumah pekerja atau pengangkutan pergi-balik ataupun elaun berulang-alik ke tempat kerja, berserta elaun makanan.

Insentif perubatan untuk pekerja dan tanggungan juga harus disediakan. Ini tentunya akan menarik minat pekerja tempatan untuk bekerja dengan majikan tersebut.

Saya yakin majikan di Malaysia lebih suka menggaji pekerja tempatan berbanding pekerja asing. Malah, menggaji pekerja asing melibatkan kos yang tinggi termasuk yuran ejen, levi, tiket penerbangan, pembaharuan permit, bayaran bagi pembaharuan permit dan perubatan.

Jadi apa salahnya sediakan sedikit kemudahan kepada pekerja kolar biru tempatan memandangkan kos menggajikan mereka tidaklah tinggi berbanding gaji yang dibayar kepada eksekutif dan pengurus.

Jika diberi latihan kemahiran serta peluang, pekerja tempatan dalam sektor 3D boleh mencapai peningkatan kerjaya dan ini akan memberi manfaat kepada organisasi berkenaan.

Saya percaya kita masih ada banyak sumber tenaga manusia dari kawasan luar bandar di Semenanjung dan juga Sabah dan Sarawak yang boleh mengisi kekosongan kerja 3D dalam pelbagai sektor di negara ini. Apa yang perlu majikan lakukan adalah menyediakan kemudahan serta elaun yang menarik untuk mereka.

Kerajaan harus pastikan majikan betul-betul sudah berusaha untuk mendapatkan pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan dalam syarikat mereka sebelum diberi kebenaran untuk mengambil pekerja asing.

Para majikan terutamanya dalam industri kecil dan sederhana mesti berpandangan jauh dan laksanakan automasi, mekanisasi dan gunapakai teknologi dalam pengeluaran mereka supaya mereka menjadi lebih produktif dan dapat kurangkan tenaga kerja.

Inisiatif kerajaan menempatkan 1,000 bekas pelatih Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk bekerja di sektor perladangan di seluruh negara menerusi program Oil Palm For Life (OPAL) adalah satu usaha yang amat baik.

Peserta program ini yang akan ditempatkan secara berperingkat di 20 ladang Felda dan Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV) di seluruh negara, akan menerima gaji minimum RM900 dengan kontrak kerja selama 2 tahun selain disediakan kemudahan asrama dan pengangkutan.

Ini adalah strategi serampang 2 mata di mana bekas penagih diberi peluang ke-2 untuk membina kehidupan sementara sektor perladangan pula dapat mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing. Saya harap banyak lagi inisiatif seperti ini dijalankan dalam sektor-sektor lain di negara ini yang memerlukan pekerja 3D.

Malah, pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja syarikat-syarikat yang terjejas akibat kelembapan ekonomi serta penganggur tidak mahir juga mempunyai potensi untuk memenuhi kekosongan kerja 3D.

Ini adalah masa yang sesuai bagi kerajaan untuk merangka satu Pelan Induk Pembangunan Sumber Manusia yang menyeluruh dan meliputi setiap aspek sumber manusia termasuk keperluan tenaga kerja asing.

Perancangan jangka masa panjang ini harus mengoptimumkan semua sumber manusia tempatan yang ada di negara ini termasuk belia di luar bandar serta di Sabah dan Sarawak, pesara, suri rumah, orang kelainan upaya, dan juga masyarakat Orang Asli. Sesetengah daripada mereka boleh bekerja sebagai pekerja separuh masa.

Pelan ini bukan saja dapat memudahkan sektor industri merancang pengembangan operasi mereka dan pihak institusi pengajian tinggi mengeluarkan graduan yang sesuai dengan keperluan industri, tetapi juga membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing. – 26 Februari, 2016.

* Tan Sri Lee Lam Thye ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments